Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran 2024 telah bermula di sini sejak Jun. Acara itu dikelolakan oleh Masjid Ar-Raudhah dan beberapa masjid di Singapura seperti Masjid Mujahidin, Masjid Kampung Siglap, Masjid An-Nur, Masjid Al-Ansar, Masjid Al-Istighfar dan lain-lain di bawah jawatankuasa bersama.
Tema QuranSG pada 2024 ialah. ‘Al-Quran: Pemangkin Keyakinan dan Kebijaksanaan’.
Pertandingan tahfiz yang berlangsung hingga 29 Jun memaparkan semangat peserta yang diuji kemahiran mereka dalam menghafal dan menghayati kandungan suci Al-Quran.
Pertandingan tilawah peringkat saringan akan dimulai dengan kategori kanak-kanak pada 13 dan 14 Julai di Masjid An-Nur.
Peserta muda akan menampilkan kefasihan mereka membaca dan memahami ayat-ayat Al-Quran.
Pada 20 Julai, kategori belia akan berlangsung di Masjid An-Nur, diikuti oleh kategori dewasa pada 4 dan 5 Ogos di Masjid Ar-Raudhah.
Peringkat akhir pula akan diadakan di Masjid Sultan pada 24 dan 25 Ogos dengan finalis akan bertemu dan bersaing untuk merebut gelaran juara tilawah Al-Quran 2024.
“Dengan semangat kecemerlangan dan dedikasi yang melimpah, Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran 2024 menjanjikan pengalaman berharga bagi semua peserta dan penonton yang hadir, serta menyuburkan semangat untuk lebih mendalami dan menghargai keagungan Al-Quran dalam kehidupan harian,” kongsi Ustaz Mohamed Ali Atan, Pengerusi Eksekutif Kanan, Masjid Ar-Raudhah.
Menurutnya, QuranFest akan turut diadakan di setiap tempat pertandingan. Selain menghimpun peserta, ia mempromosi program Al-Quran di setiap masjid mengikut kawasan.
Antara program Al-Quran di Masjid Ar-Raudhah ialah kelas mingguan, ‘Raudhatul Quran’ dan juga ‘Sedetik bersama Al-Quran’.
“Acara ini diharap dapat memupuk cinta kepada Al-Quran serta memperkukuhkan ikatan masyarakat dalam memahami dan mengamalkan ajaran Al-Quran,” tambahnya.
HULUR DERMA
Cara menderma kepada Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Hantarkan cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ dan poskan ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. Imbas kod QR yang disediakan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg