Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertapis naik taraf rumah kebajikan, jenama semula logo

Jan 9, 2026 | 8:45 PM
Pertapis, Zhulkarnain, lawatan
Penaung baru Pertapis, Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (empat dari kiri), bertemu dengan Presiden Pertapis, Encik Shaharin Nordin (lima dari kiri), dan kakitangan lain semasa lawatannya ke Rumah Peralihan Pertapis (PHH) pada 9 Januari. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pertapis akan menaik taraf rumah-rumah kebajikannya secara berperingkat dan menjenamakan semula logonya sebagai sebahagian proses pembaharuan bagi memperkukuh hala tuju masa hadapan, kata Presiden Pertapis, Encik Shaharin Nordin, pada 9 Januari.

Pertapis juga akan bekerjasama rapat dengan pertubuhan Melayu/Islam (MMO) dan masyarakat bagi mengukuhkan hubungan sedia ada di samping menjalin hubungan baru.

Encik Shaharin berkongsi perkembangan tersebut kepada penaung baru Pertapis, Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, semasa lawatan beliau ke Rumah Peralihan Pertapis (PHH).

Mengulas lanjut mengenai daya usaha baru yang sedang dilaksanakan Pertapis, Encik Shaharin, berkata:

“Antara fokus utama kami sekarang ialah menaik taraf rumah-rumah kebajikan Pertapis.

“Kerja-kerja ini akan akan dilakukan secara berperingkat dan dari segi kos, anggaran keseluruhan adalah sekitar $4 juta hingga $6 juta.

“Selain itu, kami akan mengadakan pelaksanaan penjenamaan baru yang akan dilancarkan dengan secara menyeluruh pada 2026, insya-Allah.

“Penjenamaan semula ini bertujuan memperkukuhkan identiti Pertapis yang telah 55 tahun berkhidmat kepada masyarakat, sambil memastikan pertubuhan ini terus relevan untuk masa hadapan.”

Encik Shaharin menjelaskan sebahagian besar kos bagi kerja naik taraf telah dibiayai oleh pemerintah manakala baki $200,000 telah dikumpul melalui kempen, ‘Upgrade Our Homes, Uplift Our Lives’.

Pertapis mengendalikan empat rumah kebajikan termasuk, Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Pertapis, Pusat Pertapis Untuk Wanita dan Remaja Perempuan, Rumah Pemulihan Pertapis, dan Rumah Warga Emas Pertapis.

Selain itu, Pertapis akan bekerjasama dengan 12 MMO dan Maybank Singapura selaku penyumbang utama bagi inisiatif, ‘Kasih Ramadan’, pada 8 Februari yang bertujuan menawarkan bahan keperluan dapur bagi membantu penerima bantuan membuat persiapan menjelang Ramadan.

Encik Zhulkarnain mengadakan lawatan pertamanya ke PPH sebagai penaung sejak dilantik pada 1 Oktober 2025, menggantikan penaung terdahulu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Merakamkan penghargaannya kepada Encik Masagos, Encik Zhulkarnain berkata:

“Kepimpinan Encik Masagos telah membantu Pertapis berkembang dari segi kekuatan, keupayaan dan kepercayaan masyarakat.

“Sebagai penaung, saya menerima peranan ini sebagai satu amanah, satu tanggungjawab, untuk menyokong pertubuhan ini dalam misinya yang berteraskan khidmat, ihsan dalam melakukan kebaikan, serta usaha kolektif untuk membawa rahmah kepada mereka yang memerlukan.

“Semoga usaha dan khidmat Pertapis terus menjadi sumber manfaat kepada masyarakat dan juga kepada Singapura.”

Encik Zhulkarnain mengambil alih daripada Encik Masagos yang telah menjadi penaung Pertapis sejak 2018.

Semasa lawatan ke PHH, beliau berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan anggota lembaga pengarah serta kakitangan Pertapis.

Di samping itu, beliau juga sempat bertemu dan beramah mesra dengan beberapa penghuni PHH dan mengunjungi kemudahan yang ada seperti bilik untuk belajar memotong rambut dan ruang solat yang telah diubah suai dan dibuka semula pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg