Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zhulkarnain: Dasar luar negara mesti lindung kedaulatan S’pura

Anggap tugas sertai institusi lindungi kepentingan S’pura satu penghormatan
Jan 6, 2026 | 2:12 PM
Zhulkarnain Abdul Rahim, Dr Vivian Balakrishnan, mfa
Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan), bersama Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, di pejabat Kementerian Ehwal Luar (MFA). - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO MFA

Dasar luar negara mesti tumpu kepada melindungi kedaulatan, menjamin keselamatan dan memastikan Singapura kekal relevan di mata dunia.

Demikian kata Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, dalam satu video yang dimuat naik ke laman sosial Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 5 Januari.

Encik Zhulkarnain memulakan tugas barunya itu setelah mengangkat sumpah sebagai Menteri Negara di Istana pada 5 Januari.

Dalam video tersebut, Encik Zhulkarnain mengakui tugas di MFA adalah persekitaran baru baginya.

Namun beliau menyifatkannya sebagai satu penghormatan untuk menyertai “sebuah institusi yang telah melindungi kepentingan Singapura dan memajukan kedudukan kita di dunia ini”.

“Dalam dunia yang berpecah-belah dan semakin terpisah hari ini, sama ada sebuah negara kecil dan terbuka seperti Singapura boleh bertahan dan berkembang maju bergantung pada bagaimana kita mengharungi landskap antarabangsa.

“Dasar luar negara kita sendiri mesti tertumpu pada melindungi kedaulatan, memastikan keselamatan dan mengekalkan kerelevanan kita di dunia ini,” ujar Encik Zhulkarnain.

Beliau turut berkongsi harapan agar dapat bekerjasama rapat dengan rakan sekerjanya di MFA untuk memperkukuh dan meluaskan rangkaian perkongsian Singapura, menegakkan aturan antarabangsa berasaskan peraturan dan mengharungi persekitaran global yang lebih rumit.

“Kami akan terus berkhidmat bagi rakyat Singapura dan kepentingan terbaik Singapura di dalam dan luar negara,” tambahnya.

Encik Zhulkarnain, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, memulakan tugasnya sebagai Menteri Negara lebih awal dari yang jadual.

Beliau sepatutnya dilantik sebagai Menteri Negara pada 1 Februari disebabkan urusan yang perlu diselesaikan dahulu sebagai rakan kongsi kanan dalam kumpulan amalan Litigasi dan Penyelesaian Pertikaian serta Timbang Tara Dentons Rodyk.

Namun, kerana berjaya menyelesaikan komitmennya itu lebih awal, beliau dapat melaksanakan peranan politik barunya lebih awal juga.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam satu hantaran di Instagram pada 5 Januari berkata beliau mengalu-alukan penyertaan Encik Zhulkarnain sebagai anggota pasukannya.

“Saya gembira beliau dapat menyelesaikan komitmennya lebih awal dan kini boleh menyertai kami lebih awal dari jadual,” kata Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg