Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zhulkarnain angkat sumpah sebagai Menteri Negara

Jan 5, 2026 | 6:37 PM
Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan), menerima watikah pelantikan daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana pada 5 Januari setelah mengangkat sumpah sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga).
Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan), menerima watikah pelantikan daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana pada 5 Januari setelah mengangkat sumpah sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga). - Foto MDDI

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) pada 5 Januari di Istana.

Dengan itu, ia bermakna beliau menggalas tugas tersebut lebih awal dari yang dijadual.

Beliau sepatutnya dilantik sebagai Menteri Negara pada 1 Februari.

Mengucapkan tahniah, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam satu hantaran di Instagram berkata beliau mengalu-alukan penyertaan Encik Zhulkarnain sebagai anggota pasukannya.

“Saya gembira beliau dapat menyelesaikan komitmennya lebih awal dan kini boleh menyertai kami lebih awal dari jadual,” kata Encik Wong.

Awal sebelum ini, ketika Encik Wong mengumumkan barisan Kabinet pada Mei 2025, Encik Zhulkarnain, 45 tahun, dijadual memegang jawatan Menteri Negara pada 1 Februari.

Ini berikutan tanggungjawab yang masih perlu beliau laksanakan sebagai rakan kongsi kanan dalam kumpulan amalan Litigasi dan Penyelesaian Pertikaian serta Timbang Tara Dentons Rodyk.

Menyentuh tentang kerjaya guaman lebih dua dekad Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang itu, Encik Wong berkata:

“Selama lebih 20 tahun, Zhul membina kerjaya undang-undang yang cemerlang.

“Saya tahu ia bukanlah keputusan yang mudah untuk meninggalkannya.

“Pilihannya untuk berbuat demikian menunjukkan azam dan tujuan yang mendalam untuk berkhidmat.”

“Saya mengalu-alukan kerjasama rapat dengannya dalam usaha kita memperkukuh hubungan Singapura di luar negara dan terus menyokong keluarga di tanah air kita,” tambah Encik Wong.

Dalam satu podcast berita dan ehwal semasa Berita Harian (BH), BHerbual baru-baru ini, Encik Zhulkarnain akur meninggalkan sektor guaman swasta, termasuk kes-kes besar di peringkat antarabangsa, merupakan satu pengorbanan.

“Memang ada pengorbanan dari segi kewangan.

“Mungkin itulah sebabnya ramai daripada sektor swasta tidak mahu tampil memasuki politik,” katanya dalam podcast tersebut.

Namun bagi beliau, nilai kehidupan tidak diukur dengan pendapatan semata-mata.

“Komoditi paling mahal sebenarnya ialah masa.

“Jadi mungkin masa saya terbaik diluangkan dengan berkhidmat dan cuba menyumbang kepada masyarakat, kepada rakyat.

“Itu tanggungjawab dan amanah yang penting bagi saya,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg