Pertarungan tiga penjuru bakal berlaku di GRC Ang Mo Kio bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), melibatkan dua parti pembangkang – Parti Bersatu Singapura (SUP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) – menentang parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Ini setelah ketiga-tiga pasukan mengemukakan pencalonan mereka untuk bertanding di kawasan tersebut semasa Hari Penamaan Calon yang berlangsung pada 23 April di Sekolah Menengah Deyi.
Pasukan SUP terdiri daripada Setiausaha Agung, Encik Andy Zhu, 42 tahun, dan Bendahari, Cik Noraini Yunus, 57 tahun, yang pernah bertanding di GRC yang sama di bawah Parti Pembaharuan (RP) dalam GE2020.
Tiga anggota lain adalah Pengerusi SUP, Encik Ridhuan Chandran, 53 tahun; pramugara Encik Nigel Ng, 39 tahun; dan Dr Vincent Ng, 52 tahun.
Apabila ditanya tentang pertandingan yang kini melibatkan PPP di kawasan itu, calon SUP, Encik Zhu, berkata:
“Saya keliru mengapa mereka berada di sini?
“Pertarungan tiga penjuru sepatutnya tidak berlaku apabila kami sudah turun padang bertahun-tahun di kawasan ini,” kata beliau.
Beliau enggan mendedahkan butiran perbincangan yang diadakan antara pihak SUP dengan seorang wakil PPP sebelum ini.
“Perbualan itu bersifat peribadi dan saya ingin menunaikan janji untuk merahsiakannya.”
Setakat ini, SUP belum mengumumkan manifesto parti mereka – dokumen yang memperincikan pendirian dan janji anggota calon sekiranya dipilih menjadi Anggota Parlimen (AP).
PPP, yang diketuai anggota politik pembangkang veteran, Encik Goh Meng Seng, telah terlebih dahulu mengumumkan pada 5 April hasrat mereka untuk bertanding di GRC Ang Mo Kio.
Barisan calonnya merangkumi Bendahari parti, Encik William Lim, 47 tahun; pesara penjawat awam Encik Martinn Ho, 64 tahun; penyelaras keselamatan Encik Thaddeus Thomas, 43 tahun; jurutera IT Encik Samuel Lee, 33 tahun; dan pakar hortikultur Encik Heng Zheng Dao, 24 tahun.
Manifesto PPP merangkumi lapan teras utama, antaranya termasuk memberikan rakyat Singapura pilihan untuk menolak vaksinasi, menetapkan jumlah had penduduk di Singapura serta memudahkan proses pemilikan rumah.
“PPP komited dalam menyokong semua rakyat Singapura di setiap peringkat kehidupan,” kata Encik Ho.
Apabila ditanya Berita Harian (BH) mengenai kepelbagaian dalam barisan calon PPP, Encik Thaddeus, yang menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu, berkata:
“Kami melihat diri kami sebagai rakyat Singapura terlebih dahulu dan pihak PPP akan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada semua lapisan rakyat Singapura.”
Berbanding pasukan PAP yang telah mencalonkan Cik Nadia Samdin, dan SUP yang telah mencalonkan Cik Noraini Yunus, PPP tidak mempunyai calon wanita Melayu bagi GRC Ang Mo Kio.
Dalam ucapannya kepada penyokong, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, 73 tahun, pula berkata:
“Pilihan raya kali ini berlangsung dalam suasana yang mencabar.”
Beliau menambah terdapat banyak cabaran mendatang yang akan menjejas mutu kehidupan, pekerjaan, keluarga dan masa depan.
Encik Lee, yang mula menyertai politik pada 1984, menyeru:
“Undilah pasukan yang anda boleh percayai, agar kami dapat terus bekerjasama dengan anda untuk memastikan Singapura selamat, terus maju, dan menjamin masa depan yang lebih cerah untuk semua.”
Pasukan PAP di GRC Ang Mo Kio yang diketuai Encik Lee turut merangkumi AP pada penggal lalu, Encik Darryl David, 54 tahun; dan Cik Nadia Samdin, 35 tahun.
Mantan penjawat awam kanan, Cik Jasmin Lau, 41 tahun; dan Encik Victor Lye, 63 tahun, yang pernah bertanding di GRC Aljunied, turut diperkenalkan dalam pasukan tersebut pada 20 April.
“Singapura bakal melangkah ke dunia masa depan yang serba global, di mana aturan lama mungkin tidak lagi berdaya menahan arus perubahan,” kata Cik Lau.
Sementara itu, ibu bapa calon PAP, Cik Lau, turut hadir pada pagi Hari Penamaan Calon untuk memberi sokongan kepada anak mereka.
Encik Lau Kwak Cheong, 75 tahun, dan isterinya Cik Lim Swee Eng, 69 tahun, telah menyampaikan kata-kata perangsang kepada anak mereka:
“Jasmin, ibu dan ayah di sini untuk sokong kamu dan berikan dorongan.
“Semoga maju jaya dan kami akan sentiasa mendoakan yang terbaik buatmu.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg