Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertimbang kaedah kreatif kumpul derma, manfaat analitik data

Perlu pastikan usaha lebih berkesan di tengah-tengah pelbagai kempen derma
Mar 16, 2025 | 10:06 PM
Derma untuk kempen ‘Aid For Gaza’ diadakan di masjid di serata Singapura.
Derma untuk kempen ‘Aid For Gaza’ diadakan di masjid di serata Singapura. - Foto YAYASAN RLAF

Begitu cepat masa berlalu. Sudah 15 hari kita berpuasa.

Minggu-minggu yang mendatang pasti sibuk dengan ibadah menjelang 10 akhir Ramadan di samping sibuk menyiapkan persiapan menjelang Hari Raya.

Semasa Ramadan inilah, pertubuhan Islam dan masjid mempergiat usaha bagi meminta derma dan zakat.

Tidak kurang pula kutipan derma yang dilakukan bagi pelbagai projek kemanusiaan dan bantuan diperlukan di luar negara.

Pada masa inilah, masyarakat Islam di Singapura amat murah hati menghulurkan derma bagi mengejar pahala yang berlipat ganda semasa Ramadan.

Malah, pada hari-hari biasa juga semangat memberi memang tersemat dalam sanubari masyarakat kita.

Usaha mereka untuk sedia membantu golongan yang memerlukan dapat dilihat dalam beberapa kempen kutipan derma yang diadakan ketika ini.

Sejak bermulanya Ramadan, M Kuasa Tiga (M³) telah melancarkan usaha mengumpul dana bagi bantuan kemanusiaan bagi Gaza.

‘M³ in SG60 Action: Connecting, Contributing & Caring – Aid for Gaza’ (Tindakan SG60 M³: Menghubung, Menyumbang & Mengambil Berat – Bantuan bagi Gaza) merupakan projek mengumpul dana hasil kerjasama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan disokong Berita Harian (BH) sebagai media rasmi.

Berdasarkan laporan 6 Mac lalu, sebanyak $266,000 telah dikumpulkan dari $600,000 yang disasarkan bagi kempen itu yang berjalan sehingga 6 April.

Sebagai sebahagian daripada daya usaha masyarakat dalam sambutan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60), kempen itu turut bekerjasama dengan M³@Bandar untuk menganjurkan pelbagai kegiatan bagi meningkatkan derma serta menggalakkan penyertaan masyarakat, termasuk pengagihan bubur, iftar masyarakat, pengedaran set makanan, serta acara di bazar Raya sepanjang Ramadan.

Masjid setempat masih menggiatkan usaha mengumpul dana bagi membiayai projek Ramadan dan kerja pembaikan dan meluaskan masjid.

Namun, beberapa masjid berdepan dengan cabaran untuk mencapai sasaran dana mereka, menurut laporan akhbar ini pada 13 Mac.

Tinjauan Berita Harian (BH) ke atas beberapa masjid mendapati mereka telah mengumpul antara 20 peratus dengan 80 peratus sahaja daripada jumlah disasarkan untuk perbelanjaan sepanjang Ramadan iaitu antara $100,000 dengan $300,000.

Menurut beberapa masjid, cabaran dihadapi termasuk kos perbelanjaan yang meningkat serta persaingan pelbagai program mengumpul dana.

Tidak dinafikan bahawa kos perbelanjaan masjid semakin hari semakin tinggi.

Kos perbelanjaan bubur masjid telah meningkat berbanding lima tahun lalu kerana kos bahan makanan lebih tinggi.

Beberapa masjid yang ditinjau menyatakan harga bubur telah meningkat lebih 50-70 peratus.

Beberapa masjid yang ditinjau menyatakan harga sepeket bubur berharga $1.50-$1.70 lima tahun lalu tetapi kini berharga $2.70-$3.

Dengan kos semakin tinggi, tentunya, lebih banyak derma yang diperlukan hasil sumbangan jemaah bagi menampung kenaikan itu.

Malah, bagi tajaan berbuka puasa, terdapat masjid meletakkan $300 bagi harga tajaan minimum berbanding $100-$200 pada tahun-tahun yang sudah.

Ini baru bubur masjid atau tajaan buka puasa.

Ia belum lagi mengambil kira kos-kos lain yang meningkat seperti kos air dan elektrik yang tentunya meningkatkan kos penyenggaraan.

Masjid Al-Istiqamah menggalak sumbangan derma menerusi penjualan kurma, kuih Raya, madu dan sejadah ‘premium’ yang mencecah harga $215.

“Namun kami akur bahawa ada jemaah yang bertanyakan tentang kos tinggi sesetengah produk.

“Kami menetapkan harga sedemikian untuk menampung kos Ramadan kerana setiap tahun perbelanjaan meningkat dan kami perlu mencari cara kreatif untuk mengumpul dana,” kata Pengerusi eksekutif Masjid Al-Istiqamah, Encik Muhammad Firdaus Suraidi.

Masjid itu menyasarkan sasaran $180,000 berdasarkan kehadiran jumlah jemaah iaitu sekitar 300 hingga 400 sehari, serta hidangan berbuka.

Oleh kerana banyak pertubuhan dan masjid cuba menarik derma, setiap masjid perlu mencari jalan bagi memastikan pakej mereka lebih menarik.

“Cabaran pada 2025 ialah untuk mendapatkan penderma kerana masjid lain juga menjalankan usaha mengumpul dana seperti kami dan kami perlu mencari jalan untuk membuat pakej kami kelihatan lebih menarik.

“Ada yang sudah menderma sebelum Ramadan, jadi kami perlu menggalakkan mereka menderma sempena Ramadan dengan cara berbeza seperti pakej istimewa dan jualan bazar,” kongsi Pegawai Agama Masjid (MRO) Masjid Al-Islah, Ustaz Uwais Al-Qarni.

Sehingga 8 Mac, masjid tersebut berjaya mengumpul $175,000 daripada sasaran sebanyak $300,000.

Sedang banyak masjid dan pertubuhan melumba-lumba bagi mendapatkan derma, masyarakat juga mempunyai ‘pilihan luas’ untuk memilih masjid atau pertubuhan mana untuk mendermakan duit mereka.

Senang kata, masyarakat juga tertanya, “masjid atau pertubuhan mana yang ingin didermakan?”

Adakah kita memilih masjid yang dekat dengan hati kita atau masjid yang lebih memerlukan?

Melihat banyak usaha meminta derma dari pelbagai pihak, adakah masyarakat merasakan ‘donation fatigue” atau rasa lelah kerana banyak pertubuhan atau masjid yang meminta derma?

Tidak dinafikan memberi sedekah memang dianjurkan kerana tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima.

Namun, jika beberapa masjid menyediakan pek kurma ajwa, kupon Arnold’s atau beriyani amal percuma bagi derma $12, apakah perbezaan yang membezakan sebuah masjid atau pertubuhan daripada yang lain yang akan mendorong seorang jemaah menghulurkan dermanya?

Mungkin sudah masanya masjid memikirkan cara pengumpulan dana yang lebih segar dan berbeza bagi menarik golongan yang sebelum ini tidak pernah menghulurkan dana atau derma.

Mungkinkah juga pihak masjid boleh memanfaatkan analitik data bagi mengukur sejauh mana jayanya usaha pengumpulan derma itu?

Dengan analitik data, kita boleh mengetahui berapa peratus yang menderma merupakan penderma pertama kali.

Golongan mana yang sering menderma dan apakah demografik mereka?

Jam berapa mereka sering menderma?

Apabila kita mengetahui maklumat ini, boleh tidak kita mempunyai pendekatan lebih khusus atau ‘targeted approach’ untuk mendekati golongan tertentu yang disasarkan?

Seperti juga pendekatan pemasaran, siapakah yang menjadi kumpulan sasaran kempen pengumpulan dana itu?

Adakah strategi pemasaran boleh disesuaikan berdasarkan kumpulan yang berbeza?

Misalnya, adakah usaha boleh dijalankan bagi menumpukan perhatian kepada golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) untuk menggalak mereka memberi derma?

Apakah boleh masjid menyediakan kursus peningkatan diri atau kemahiran sebagai usaha mengumpulkan dana?

Berbanding dulu, tentunya masjid telah memperbarui langkah bagi memudahkan masyarakat menghulurkan derma.

Dengan kod QR dan Paynow, ia amat mudah bagi sesiapa sahaja menghulurkan derma kepada masjid atau pertubuhan bila-bila masa mereka mahu.

Tonton sahaja syarahan asatizah seperti Ustaz Fatris Bakaram di sebuah masjid yang disiarkan secara langsung di Facebook, jemaah yang menontonnya dari rumah boleh terus menderma melalui kod QR atau Paynow dengan mudah.

Laman seperti Ourmasjid.sg juga menyediakan wadah bagi penderma memilih untuk menderma sekali atau secara tetap.

Malah, jemaah boleh memilih masjid mana untuk didermakan berdasarkan projek peningkatan mereka.

Dengan kaedah menderma dalam talian yang semakin banyak digunakan, lebih banyak maklumat mengenai penderma yang dapat diperolehi untuk dikaji bersama bagi menjadikan kempen mengumpul derma dapat dijalankan dengan cara yang lebih berkesan.

Sifat murah hati memang sebati dengan diri masyarakat Islam di Singapura.

Mereka juga rasa peduli dengan nasib golongan yang kurang bernasib baik di negara dan luar negara.

Semangat menderma itu tidak akan pudar.

Tetapi bagi pihak yang mencari derma yang ‘melumba-lumba’ mendapatkan derma masyarakat, mungkin terdapat kaedah pengumpulan derma lebih baik yang dapat dipertimbangkan bagi menjadikan kempen derma mereka menjadi lebih berkesan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg