Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertubuhan Melayu/Islam giat ambil relawan bantu agih daging korban

Jun 14, 2024 | 7:08 PM
Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA)
Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) mengambil antara 30 dengan 40 sukarelawan setiap tahun bagi pengagihan daging korban. - Foto MTFA

Beberapa pertubuhan Melayu/Islam (MMO) di Singapura telah menyaksikan peningkatan dalam bilangan sukarelawan yang diperlukan untuk pengagihan daging korban 2024 berbanding pada 2023.

Menurut mereka yang ditinjau, kenaikan jumlah sukarelawan yang diperlukan ini disebabkan oleh peningkatan bilangan penerima daging korban.

Sebagai contoh, Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) menyaksikan jumlah sukarelawan yang direkrut meningkat sekitar 30 peratus memandangkan jumlah penerima turut bertambah kepada 500 orang berbanding sekitar 400 pada 2023.

Pertubuhan seperti Perdaus pula buat kali pertama mengambil sukarelawan dan anak muda untuk menolong mengagihkan daging korban bagi “meningkatkan tahap dan membangunkan golongan ini terutamanya remaja”.

Pada tahun-tahun yang lalu, Perdaus hanya menggunakan tenaga kakitangannya.

Menurut Timbalan Pengarah MTFA dan Pengurus Projek Khas, Encik Muhammad Saiful Abdul Karim, MTFA mengambil antara 30 dengan 40 sukarelawan setiap tahun.

“Kini, kami mempunyai sekitar 40 sukarelawan yang sudah mendaftar untuk mengagihkan daging korban kepada 500 isi rumah penerima,” kata Encik Muhammad Saiful.

“Tahun lepas (2023), jumlah sukarelawan kamu kurang sedikit kerana bilangan penerima dan isi rumah yang memerlukan juga berkurangan – 400 penerima sahaja,” tambahnya.

MTFA telah membuka pendaftaran bagi sukarelawan pada 4 Jun, merentas semua wadah media sosial MTFA serta rangkaian sukarelawan biasa dan lalu.

Jumlah sukarelawan diambil Persatuan Muhammadiyah pada 2024 kekal stabil seperti 2023 – sekitar 120 sukarelawan.

“Berbanding tahun lepas (2023), jumlah sukarelawan yang berdaftar kali ini adalah setanding tetapi tahun lepas (2023) kami mempunyai jumlah sukarelawan secara walk-in yang agak ramai,” ujarnya.

Persatuan itu menerima tempahan lebih 600 ekor haiwan korban di dalam dan luar negara.

Sementara itu, menjelaskan lanjut, Pegawai Eksekutif Kanan Perdaus, Cik Khatim Hamidon, berkata usaha pengambilan sukarelawan buat kali pertama pada 2024 dijayakan dengan pembukaan cabang belia dan sukarelawan baru.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kakitangan mereka sendiri yang melakukan pengagihan tersebut.

Bagi Pertapis pula, penyertaan lebih ramai vendor dalam tender yang dibuka kepada umum bagi pengagihan daging korban mencerminkan kerancakan industri itu, kata Pengurus Kemudahan Pertapis, Syed Fazal Sakaf Syed Husain Sakaf, yang juga pengurus projek korban.

Ia telah melantik tiga vendor daripada enam vendor daripada tender.

“Terdapat peningkatan dalam bilangan vendor dan kami fikir ia adalah kerana permintaan untuk korban secara langsung di Singapura. Pada tahun sebelumnya, kami mempunyai tiga hingga empat vendor yang mengambil bahagian dalam tender,” kata Syed Fazal.

Pertapis telah menerima tempahan 150 ekor kambing pada 2024.

Dengan jumlah penerima dan ibadah korban yang dilakukan kian meningkat, sudah tentu cabarannya terletak pada pengambilan sukarelawan yang mencukupi.

Itulah salah satu cabaran yang MTFA hadapi, dan ia disebabkan “lebih ramai penerima di bawah jagaan kami setiap tahun”, kongsi Encik Muhammad Saiful.

Persatuan Muhammadiyah pula menyasarkan untuk mengagihkan kepada 100 isi rumah. Namun, mereka sudah melakukan persediaan “sekiranya tidak mempunyai jumlah sukarelawan yang mencukupi”.

“Jika sukarelawan tidak mencukupi untuk membantu, kami akan bertukar kepada pilihan mengambil sendiri tempahan mereka atau self-collection, atau melakukan pengagihan berasingan pada tarikh berbeza,” tambah pertubuhan itu.

Pertapis turut berkongsi antara cabaran lain yang dihadapi iaitu keperluan untuk mempunyai lebih kakitangan di tapak, lantas “seramai 270 orang terdiri daripada vendor dan juga kakitangannya diaktifkan untuk bertugas bagi Korban 2024”.

Persiapan yang dilakukan

Pelbagai usaha dijalankan untuk memastikan persiapan ibadah korban berjalan lancar.

Bagi acara LIVE Korban 2024 Pertapis yang bakal diadakan di  Rumah Peralihan Pertapis pada 17 Jun, semua kakitangan dan sukarelawannya telah menjalani latihan penyembelihan.

“Matlamat utama kami adalah untuk memastikan, bahawa korban dijalankan mengikut prinsip, piawaian dan etika Islam,” jelas Syed Fazal.

Bagi MTFA, Encik Muhammad Saiful berkongsi bahawa antara persiapan yang mereka lakukan adalah termasuk tempahan korban, pembungkusan daging dan pengurusan sukarelawan pada hari pengagihan.

Persatuan Muhammadiyah, yang turut akan mengadakan ibadah korbannya di Muhammadiyah Kindergarten, perlu melakukan persiapan awal.

“Kami harus menetapkan lokasi korban yang selaras dengan keperluan pihak berkuasa, termasuk penyediaan khemah, pengagihan dan pengurusan kambing, menjalani pemeriksaan dan taklimat yang diperlukan, dan juga perancangan dan urusan logistik yang lain,” jelas jurucakap Persatuan Muhammadiyah.

Pengagihan daging korban

MTFA bakal mengadakan pengagihan daging korban pada 29 Jun untuk sekitar tiga jam dari 9 pagi hingga 12 tengah hari. Mereka menjalankan korban di Australia dan daging korban bakal dibawa ke Singapura.

Pertapis bakal mengagihkan daging korban kepada para sohibul korban dan menyasar untuk mengagihkannya juga kepada 250 keluarga yang merupakan penerima bantuan Pertapis.

Ibadah korban bagi Muhammadiyah bakal diadakan di beberapa negara termasuk Singapura, Australia, Uganda, Sri Lanka, Kemboja, Indonesia dan Palestin.

Menurut Persatuan Muhammadiyah, hanya daging korban dari Australia dibawa ke Singapura. Secara keseluruhan, hampir 1,000 keluarga bakal menerima daging korban dari pertubuhan itu.

Perdaus mengadakan ibadah korban di Indonesia, Kemboja dan Australia.

Korban yang diadakan di Indonesia dan Kemboja, dagingnya akan diagihkan ke penduduk kampung di sana manakala terdapat dua pilihan bagi yang melakukan korban di Australia – menghantar dagingnya semula ke Singapura atau ke Palestin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg