Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semangat tabur bakti dari remaja, kini sumbang tenaga untuk ibadah korban

Jun 14, 2024 | 7:56 PM
Encik Sahabuddin Jasin, 55 tahun, yang merupakan ketua penyembelih untuk korban di Persatuan Muhammadiyah tahun ini bergambar di hadapan tempat penyembelihan kambing di Muhammadiyah Kindergarten pada 17 Jun nanti.
Encik Sahabuddin Jasin, 55 tahun, yang merupakan ketua penyembelih untuk korban di Persatuan Muhammadiyah tahun ini bergambar di hadapan tempat penyembelihan kambing di Muhammadiyah Kindergarten pada 17 Jun nanti. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sejak di bangku sekolah menengah lagi, Encik Sahabuddin Jasin sudah mula berjinak-jinak menjadi sukarelawan dengan Persatuan Muhammadiyah kerana didorong semangat ingin membantu orang lain.

Semangat menabur baktinya itu berterusan sehingga hari ini.

Kini, Encik Sahabuddin, 55 tahun, merupakan ketua penyembelih dan pengagih daging korban di persatuan itu.

Beliau, yang mula menjadi penyembelih pada 2014, berkata perkara yang membuatkannya terdorong melibatkan diri dalam ibadah korban ialah semangat gotong-royong dan kepuasan yang dapat dirasai selepas melaksanakannya secara fizikal.

“Korban ini adalah satu ibadah, namun ia juga adalah sesuatu yang dijalankan secara gotong-royong.

“Bila kita laksanakan dengan teman-teman, suasananya jadi lebih meriah. Sewaktu menjalankan tugas, kemeriahannya tidak nampak sangat, tetapi ketika waktu mengemas, kita boleh rasakan kemeriahannya,” jelas Encik Sahabuddin, yang juga Penolong Setiausaha Umum di Persatuan Muhammadiyah.

Berkongsi penglibatannya dalam menjalankan ibadah korban dalam satu temu bual menerusi telefon dengan Berita Harian, Encik Sahabuddin berkata beliau komited membantu masyarakat Islam Singapura melaksanakannya kerana ia bukan sekadar proses pembelian binatang sembelihan, bahkan lebih daripada itu.

Untuk ibadah korban pada 2024, Encik Sahabuddin ditugaskan memimpin pasukan penyembelih dan pengagihan daging korban.

Beliau mula belajar cara menyembelih dengan memerhatikan orang yang lebih berpengalaman sebelum menjadi penyembelih bertauliah.

Kini, beliau ditugaskan mengajar penyembelih baru. 

Sepanjang 10 tahun menjadi sukarelawan korban, Encik Sahabuddin mendapati bahawa mereka yang melakukan kerja amal, seperti membantu dalam ibadah korban, terdiri daripada golongan ‘seangkatan’ dengannya.

Walaupun “yang menguruskan di sini kebanyakannya seusia atau lebih tua darinya”, beliau akur bahawa “terdapat penglibatan golongan muda” dan beliau yakin “golongan (itu) bakal mengambil alih tugasan ini”.

“Anak muda ada minat dalam ibadah korban, tetapi kita harus didik mereka tentang kepentingan melakukan korban di Singapura.

“Apabila kita lakukan korban secara fizikal, kita akan rasa kebahagiaan dan dapat lihat proses keseluruhan yang dilakukan,” tambah Encik Sahabuddin, yang turut berkongsi bahawa Persatuan Muhammadiyah bakal mengadakan korban secara fizikal di Muhammadiyah Kindergarten pada 17 Jun, dengan 100 kambing biri-biri bakal disembelih.  

Persiapan sudah dimulakan di Muhammadiyah Kindergarten untuk acara korban 17 Jun.
Persiapan sudah dimulakan di Muhammadiyah Kindergarten untuk acara korban 17 Jun. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Mengulas penglibatannya sebagai sukarelawan pula, Encik Sahabuddin berkata beliau perlu bijak membahagi masa antara tugas-tugas itu dengan masa bersama keluarga.

Menurutnya, sokongan keluarga adalah perkara yang sangat penting dan ini tidak mampu dicapai tanpa komunikasi.

Ayah kepada seorang anak lelaki itu menambah:

“Kita harus berkomunikasi. Sebagai ayah, kita harus tunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak, walaupun kita bekerja, ada keluarga dan mencurah bakti sebagai sukarelawan.

“Kita harus bijak mengutamakan perkara yang lebih penting, iaitu keluarga,” ujar Encik Sahabuddin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg