Pemerintah akan menaikkan had pendapatan bagi pembeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO) serta menurunkan usia kelayakan pembeli flat bujang apabila keadaan sesuai, kata Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pengangkutan), Cik Sun Xueling.
Berucap di Parlimen pada 26 September, beliau berkata Jawatankuasa Penyelarasan BTO sedang meneliti beberapa isu seperti akses pengangkutan awam dan kekurangan kemudahan yang mungkin dihadapi penduduk kejiranan BTO baru.
Beliau menjelaskan, walaupun had pendapatan kali terakhir disemak pada 2019 iaitu $14,000 bagi pasangan dan keluarga, pemerintah sedar pendapatan rakyat telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Permintaan daripada golongan bujang untuk membeli flat sebelum usia 35 tahun juga semakin meningkat, justeru penting bagi pemerintah memenuhi aspirasi mereka, tambah Cik Sun.
“Untuk mengorak langkah selanjutnya dari segi dasar, kami perlukan ruang dasar dan bekalan flat BTO yang lebih besar,” katanya.
Justeru, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan “membina lebih banyak flat dengan lebih pantas dan lebih baik” dalam penggal pemerintah ini, tambahnya.
Perkara itu kali pertama diumumkan Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, dalam wawancara sulungnya bersama media selepas menggalas jawatan tersebut pada Ogos.
Encik Chee berkata sebarang perubahan pada had pendapatan dan usia kelayakan golongan bujang, kini pada usia 35 tahun, bergantung pada bekalan serta permintaan flat pada masa depan.
Sejajar itu, Cik Sun berkata sekitar 55,000 flat BTO baru akan dilancarkan dari 2025 hingga 2027.
Ini termasuk sekitar 4,000 flat Masa Tunggu Lebih Singkat (SWT) setiap tahun, untuk tempoh dua tahun seterusnya.
Jumlah itu 10 peratus lebih tinggi berbanding sasaran awal iaitu 50,000 flat, tambahnya.
Sebanyak 4,500 flat SWT baru bakal dilancarkan pada 2025 iaitu hampir 20 peratus lebih tinggi berbanding sasaran awal 3,800 flat SWT.
Selain itu, HDB menggiatkan usaha menambah laluan berbumbung, pusat jagaan kanak-kanak dan lebih banyak pilihan kedai makan, tambah Cik Sun.
Menurutnya, usaha itu dimulakan selepas Jawatankuasa Penyelarasan BTO mendapatkan maklum balas daripada penduduk di estet baru seperti Tengah dan Punggol, dengan butiran lanjut akan diumumkan tidak lama lagi.
Cik Xueling berkata: “Merentasi seluruh agensi pemerintah, kami akan merancang dan menyelaras secara lebih rapat (antara agensi) supaya penduduk (di estet BTO baru) menikmati kemudahan yang lebih baik apabila mereka pindah (ke rumah baru).
“Kami akan terus mendapatkan maklum balas daripada penduduk dan pemimpin masyarakat serta menggunakan pendekatan berteraskan penduduk dalam perancangan, pembangunan dan pelaksanaan (sesuatu inisiatif).”
Dibentuk pada 2024, jawatankuasa berbilang agensi yang dipengerusikan Cik Sun itu, meneliti masalah yang dihadapi penduduk apabila mereka berpindah ke estet kejiranan BTO yang baru.
Beliau turut menyentuh kerja peningkatan di estet lama dan menyatakan pusingan kedua, Program Peningkatan Rumah II (HIP II) akan ditawarkan kepada flat yang mencecah 60 tahun.
Butiran lanjut akan diumumkan pada 2026.
Ini di samping peningkatan keseluruhan estet melalui inisiatif seperti Program Pembaharuan Kejiranan, merangkumi penambahbaikan kemudahan seperti laluan berbumbung dan taman riadah baru.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg