Singapura mesti menjangkakan dan bertindak balas terhadap perubahan dunia secara kolektif, dan kekal relevan dengan membangunkan keupayaan yang tidak boleh ditiru dengan mudah oleh orang lain dalam semua bidang daripada ekonomi hingga pertahanan.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.
Negara ini perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi “pelbagai senario lebih luas berbanding sebelum ini, termasuk ketidaksinambungan berbahaya”, ujarnya.
“Dunia akan berubah lebih banyak dan lebih pantas dalam tahun-tahun mendatang,” kata beliau, yang juga Menteri Pertahanan.
“Kita tidak harus bergantung pada andaian yang telah membimbing kita selama beberapa dekad lalu, mahupun menjangkakan negara-negara lain menghormati undang-undang antarabangsa dan norma seperti masa lalu,” tambah beliau.
Encik Chan berkata demikian semasa hari terakhir perbahasan Amanat Presiden di Parlimen pada 26 September.
Seramai 81 Anggota Parlimen (AP) mengambil bahagian dalam perbahasan selama lima hari itu, termasuk Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan juga 32 AP penggal pertama.
Kenyataan Encik Chan itu dibuat sedang dunia terus bergolak dengan ketidaktentuan ekonomi sejagat dan geopolitik, dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan pada 25 September, pusingan baru tarif import yang besar terhadap pelbagai barangan, termasuk tarif 100 peratus ke atas ubat berjenama serta 25 peratus ke atas trak berat.
Encik Chan mengetengahkan empat cara rakyat Singapura boleh menyumbang untuk bertindak secara bersama seiring perubahan dunia iaitu memahami dunia dengan lebih mendalam, mewujudkan cadangan untuk kekal relevan, mengekalkan perpaduan, dan menegakkan prinsip.
Dalam melindungi diri daripada tersisih ke arah yang berbeza, Encik Chan berkata rakyat perlu memahami kepentingan negara, membaca dan berfikir secara mendalam, dan bercakap secara meluas dengan individu berbeza bagi memahami perspektif dan agenda mereka.
Pada masa yang sama, rakyat juga harus bijak apabila mengakses kandungan, terutama dengan maklumat yang mudah diperolehi melalui pelbagai wadah hari ini.
Dengan memahami diri sendiri dengan lebih mendalam, dan juga dunia, barulah negara ini boleh membuat cadangan yang relevan untuk rakan kongsi Singapura, kata Encik Chan.
“Ia adalah satu disiplin bukan hanya untuk melihat atau membaca apakah algoritma enjin pencarian berikan kepada kita.
“Ia adalah satu disiplin untuk mencari perspektif baru, dengan semua orang yang kita temui dalam perjalanan kita, untuk membawa pulang idea baru dan menguji andaian kita sendiri,” tambah beliau.
Namun, sedang negara ini menyesuaikan pendekatan, Encik Chan berkata Singapura mesti kekal sebagai rakan tekal dan berprinsip, sambil menambah bahawa dasar asing yang berprinsip adalah penting bagi negara kecil mengekalkan rasa hormat dan relevan di peringkat sejagat.
“Meskipun kita tidak akan memihak, kita mesti mengambil pendirian berdasarkan prinsip yang menggalak penakatan dan kejayaan jangka panjang Singapura,” kata beliau.
Encik Chan berkata Singapura perlu mempunyai perspektif sendiri dan bukannya menjadi “jurucakap atau proksi” kepada orang lain, di samping membangunkan keupayaan sendiri.
“Kita perlu membangunkan keupayaan yang tidak boleh ditiru dengan mudah oleh orang lain – keupayaan untuk berfikir dan melaksanakan untuk jangka panjang; keupayaan membina kepercayaan secara dalaman dan luaran, dan keupayaan memupuk perpaduan di tengah-tengah kepelbagaian.
“Tetapi pada dasarnya, kita perlu membina keupayaan nyata – dalam semua bidang daripada ekonomi hingga pertahanan – untuk orang lain melihat nilai dalam bekerjasama dengan kita,” kata beliau.
Dengan ketidaktentuan sejagat yang sedang berlaku, Encik Chan berkata Singapura perlu mencipta nilai cadangan sendiri, dengan memahami keperluan pasaran dan mengenal pasti “titik akupunktur” yang membuatnya sukar bagi negara lain memintas Singapura.
Ini seperti dengan mempelbagaikan ekonomi, membentuk rangkaian alternatif untuk menegakkan sistem perdagangan dan pelaburan sejagat dengan lebih bersepadu, dan bekerjasama dengan rakan yang seiring pemikiran bagi mewujudkan rangkaian plurilateral dan kerjasama pelbagai hala baru.
Menggulung perbahasan itu yang digerakkan beliau pada 22 September, Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Changi) berkata beliau gembira dengan keyakinan mendalam dan kejelasan tujuan dalam ucapan para AP, dan “bersama, ia mencerminkan keazaman kolektif kita untuk mempertingkat kehidupan rakyat Singapura dan untuk memajukan kemajuan negara kita sebagai rakyat yang bersatu padu”.
Sementara itu, Parlimen pada 26 September turut melantik tujuh AP ke Jawatankuasa Pemilihan. Jawatankuasa ini mencalonkan AP lain kepada enam Jawatankuasa Pilihan Tetap Dewan yang lain.
Mereka ialah Ketua Dewan dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah; Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh; Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang; Encik Henry Kwek (Kebun Baru); dan Encik Ng Chee Meng (Jalan Kayu).
“
“Kita tidak harus bergantung pada andaian yang telah membimbing kita selama beberapa dekad lalu, mahupun menjangkakan negara-negara lain menghormati undang-undang antarabangsa dan norma seperti masa lalu.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg