Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perubahan menjalankan ibadah korban di S’pura

Jun 20, 2025 | 4:15 PM
ibadah korban, masjid, masjid al-istiqamah
Kanak-kanak melihat kambing yang dibawa masuk dari Australia dan New Zealand di Masjid Al-Istiqamah, Serangoon North untuk ibadah korban pada 2006. Pada 2025, hampir kesemua masjid di sini tidak lagi menjalankan ibadah korban di tapak masing-masing. - Foto fail

Ibadah korban sinonim dengan sambutan Aidiladha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Haji, dengan masjid-masjid di Singapura mengimport biri-biri dari berbilang negara, sebahagian besarnya dari Australia dan New Zealand, untuk disembelih di masjid masing-masing.

Ibadah tersebut, yang perlu dilakukan selepas solat Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijah hingga sebelum waktu Asar pada 13 Zulhijah, sering dilakukan di masjid serata Singapura dan menjadi tumpuan masyarakat Melayu/Islam menjelang Aidiladha.

Selain menyaksikan haiwan korban disembelih sebagai sebahagian daripada usaha menegakkan syiar Islam, masyarakat di sini berganding bahu bagi menjayakan penyembelihan – dari memunggah haiwan hinggalah memotong dan membungkus haiwan sedemikian.

Bahkan sejak sekian lama, ia seakan satu ‘tradisi’ bagi mengadakan ibadah korban di tapak-tapak masjid mahupun beberapa pertubuhan Melayu/Islam.

Namun ketika Covid-19 melanda pada 2020, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu kenyataan pada Jun 2020 memutuskan perlunya pendekatan berbeza dan mengaturkan ibadah tersebut untuk dilaksanakan dan diselenggara sepenuhnya di rumah penyembelihan bertauliah di Australia.

Bagi memudahkan usaha penyelarasan tempahan haiwan korban dalam kalangan masjid-masjid, timbul inisiatif SalamSG Korban pada 2022 – disokong Muis, jawatankuasa itu antara lain bertanggungjawab merancang program sepanjang Ramadan hingga Zulhijah.

Sebelum 2020, ibadah korban dilaksanakan secara langsung di masjid setempat dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS).

Pada 2023, model dwipilihan diperkenal – korban tempatan mula dilaksanakan semula di beberapa masjid yang memenuhi garis panduan keselamatan yang disyorkan pihak berkuasa, manakala sebahagian besar tempahan masih dilaksanakan di luar negara atas pertimbangan kos, logistik dan kemudahan.

Meskipun kembali dilaksanakan secara langsung oleh sekumpulan masjid terpilih dan dijalankan di bawah penyelarasan ketat, operasi di masjid-masjid itu kini dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak operator swasta – bukan lagi pihak masjid.

Ini merupakan satu perubahan ketara dengan pihak masjid kini hanya menawarkan tempat penyembelihan sahaja.

Pada 2025, hampir kesemua masjid di sini tidak lagi menjalankan ibadah korban di tapak masing-masing, dengan sekurang-kurangnya empat masjid sahaja yang mendapat kebenaran untuk menjalankan korban di kawasan masjid.

Masjid-masjid itu adalah Masjid Tentera Diraja, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Omar Salmah dan Masjid Al-Firdaus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg