Perumahan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 pelancaran pinggir bandar lonjak jualan rumah privet pada Feb

Mar 18, 2025 | 1:43 PM
Parktown Residence di Tampines menjual 87 peratus unitnya pada harga median $2,363 sekaki persegi.
Parktown Residence di Tampines menjual 87 peratus unitnya pada harga median $2,363 sekaki persegi. - Foto UOL GROUP

Pemulihan penjualan rumah privet baru mendapat dorongan pada Februari, dengan dua pelancaran utama pinggir bandar dan kadar gadai janji yang lebih rendah mendorong jualan pemaju ke paras tertinggi dalam 13 tahun untuk bulan itu.

Jualan pemaju mula berkembang pesat pada 2025, mencatatkan 2,658 urus niaga rumah privet baru pada Januari dan Februari.

Sebagai perbandingan, sebanyak 2,714 unit dijual antara Januari dengan Ogos 2024, lapor The Straits Times.

Ketua penyelidik Knight Frank, Encik Leonard Tay, berkata: “Dengan kadar faedah yang berkurangan berbanding kadar faedah setahun lalu (2024), pembeli giat mendapatkan rumah baru, lebih-lebih lagi kerana kadar faedah dijangka tidak akan turun lagi.”

Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dijangka mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat dasarnya pada 20 Mac, di tengah-tengah ketidakpastian terhadap dasar ekonomi Presiden Amerika, Encik Donald Trump, termasuk pemotongan perbelanjaan dan tarif yang menyeluruh.

Pemotongan kadar yang lebih sedikit di Amerika akan mengehadkan penurunan untuk kadar jangka pendek Singapura seperti Purata Kadar Semalaman Singapura (Sora), yang mempengaruhi kadar gadai janji.

Pemaju juga mengeluarkan lebih banyak pelancaran baru.

Tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), 1,694 unit baru yang kesemuanya berada di pinggir banda merangkumi 1,193 unit Parktown Residence di Tampines dan 501 unit Elta di Clementi, telah dilancarkan untuk dijual pada Februari.

Ini peningkatan 89 peratus berbanding 896 unit pada Januari.

Hasilnya, jualan rumah baru, tidak termasuk EC, melonjak 45.4 peratus kepada 1,575 unit pada Februari, berbanding 1,083 unit pada Januari, menurut data yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 17 Mac.

Ini peningkatan 10 kali ganda berbanding hanya 153 unit setahun lalu dan mewakili jumlah jualan Februari tertinggi sejak 2012 apabila 2,417 unit dijual.

Termasuk EC, jualan rumah baru meningkat sebanyak 45.3 peratus kepada 1,604 unit pada Februari berbanding 1,104 unit pada Januari.

Mendorong momentum ialah permintaan terpendam untuk projek mega bersepadu sepenuhnya yang pertama di Tampines, Parktown Residence, dan Elta di Clementi, kawasan yang tidak menyaksikan sebarang pelancaran baru sejak Clavon pada 2020.

Parktown menjual 87 peratus – atau 1,041 – unitnya pada harga median $2,363 setiap kaki persegi (psf), sebahagiannya disebabkan oleh akses terus kepada kemudahan, termasuk pusat beli-belah, stesen MRT Tampines North yang akan datang di Laluan Thomson-East Coast, dan sebuah pusat pertukaran bas.

Dengan kira-kira 2,500 flat di Tampines mencapai tempoh pendudukan minimum (MOP) antara 2024 dengan 2025, Parktown Residence berada pada kedudukan yang baik menarik pemilik HDB yang mahu menaik taraf, kata ketua pegawai eksekutif ERA Singapore, Encik Marcus Chu.

Cik Christine Sun, ketua penyelidik dan ahli strategi OrangeTee Group, menarik perhatian kepada potensi kenaikan harga pada masa depan di Tampines dan daerah timur, serta permintaan terpendam kerana pelancaran pembangunan bersepadu terakhir di kawasan sekitar iaitu di Pasir Ris 8 pada Julai 2021.

“Penempatan semula Pangkalan Udara Paya Lebar dijangka membebaskan tanah berharga untuk projek kediaman dan komersial baru. Pemerintah juga mengumumkan rancangan prasarana, termasuk pembangunan rangkaian pengangkutan baru, taman dan kemudahan awam, yang berkemungkinan akan meningkatkan nilai hartanah,” tambahnya.

Sementara itu, Elta menjual 65.1 peratus atau 326 unit pada Februari pada harga median $2,538 psf.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg