Perumahan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekalan tanah bagi rumah privet di bawah senarai sah GLS jatuh separuh pertama 2026

Dec 2, 2025 | 5:04 PM
GLS, private housing, perumahan privet
Penganalisis berkata walaupun permintaan untuk perumahan privet kekal stabil, pemaju dijangka lebih memilih dalam membuat bidaan kerana risiko yang datang dengan tapak bersaiz besar. - Foto fail

Bekalan tanah yang diperuntukkan bagi perumahan privet di bawah senarai sah program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) akan terus berkurangan pada separuh pertama 2026, sementara bekalan dalam senarai simpanan akan meningkat.

Di bawah senarai sah, terdapat lapan tapak kediaman privet dan satu tapak komersial serta kediaman, yang boleh menghasilkan 4,575 unit kediaman privet – termasuk 635 unit kondominium eksekutif.

Bilangan ini turun daripada 4,725 unit pada separuh kedua 2025. 

Ia juga menyediakan keluasan lantai kasar 22,500 meter persegi untuk ruang komersial.

Pengurangan itu menandakan kali kedua berturut-turut pemerintah mengurangkan bekalan tanah untuk perumahan privet, lapor The Straits Times (ST).

Penganalisis berkata, walaupun permintaan kekal stabil, pemaju dijangka lebih berhati-hati untuk membida kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu dan risiko yang datang dengan tapak bersaiz besar.

Sementara itu, jumlah potensi rumah privet dalam senarai simpanan akan meningkat kepada 4,610 unit, naik daripada 4,475 unit dalam enam bulan terakhir 2025, kata Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam satu kenyataan pada 2 Disember.

Senarai simpanan merangkumi enam tapak kediaman privet, satu tapak komersial, tiga tapak ‘putih’ – yang membolehkan penggunaan campuran – serta dua tapak hotel.

Terdapat juga keluasan lantai kasar 186,650 meter persegi bagi ruang komersial, serta 970 bilik hotel.

Tapak dalam senarai simpanan hanya akan dilancarkan untuk tender apabila pemaju mengemukakan bidaan minimum yang boleh diterima atau apabila terdapat minat pasaran yang mencukupi.

Ketua penyelidikan Knight Frank Singapore, Encik Leonard Tay, berkata sejak separuh pertama 2025, pemerintah telah mengurangkan tapak di bawah senarai sah sambil memperluaskan senarai simpanan.

Menurut beliau, pendekatan itu menunjukkan pemaju dijangka menggunakan senarai simpanan jika mereka merasakan permintaan tidak dapat dipenuhi oleh tapak di bawah senarai sah. 

Namun, beliau menambah para pemaju lazimnya kurang berminat dengan senarai simpanan, dengan hanya dua tapak bukan industri – Marina View dan Zion Road (Tapak B) – yang diaktifkan untuk tender sejak 2020.

Walaupun senarai sah lebih kecil, jumlah keseluruhan unit rumah privet dalam rancangan GLS bagi Januari hingga Jun 2026 akan kekal tinggi sekitar 9,200 unit, hampir sama dengan enam bulan sebelumnya, kata MND.

Kementerian itu menyatakan pembelian unit kediaman privet kekal tinggi dalam 10 bulan pertama 2025.

“Pemerintah akan terus memantau keadaan ekonomi dan pasaran hartanah dengan teliti, serta menyesuaikan pelepasan bekalan GLS bagi memastikan pasaran perumahan yang stabil dan mampan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg