Peningkatan sementara bilangan penyewa yang dibenarkan di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bersaiz besar dan hartanah privet akan dilanjutkan selama dua tahun lagi bagi menyokong isi rumah yang bercadang untuk menyewa.
Sehingga 31 Disember 2028, pemilik flat empat bilik atau lebih besar serta rumah privet seluas sekurang-kurangnya 90 meter persegi, akan terus dibenarkan menempatkan sehingga lapan orang yang tidak mempunyai hubungan keluarga yang sama.
Ini meningkat daripada had sebelum ini seramai enam orang.
Demikian menurut HDB dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam satu kenyataan bersama pada 16 Januari.
Bilangan penghuni yang dinaikkan itu diperkenalkan pada 22 Januari 2024 dan pada mulanya dijadual tamat pada 31 Disember 2026.
“Kami akan terus memantau keadaan pasaran sewa dengan teliti dan menilai keperluan untuk melanjutkannya melepasi 2028,” kata HDB dan URA.
Hampir 100,000 rumah selesai dibina dan berada di pasaran kediaman awam dan privet dari 2023 hingga 2025, tambah mereka.
Anggaran 21,000 flat HDB dan rumah privet dijangka siap pada 2026.
Menurut pihak berkuasa, walaupun bekalan rumah yang bertambah telah membantu dalam mengurangkan tekanan pasaran sewa dan mengekang kenaikan sewa, permintaan sewa secara keseluruhan masih tinggi.
Penganalisis berkata lanjutan sementara kelonggaran bilangan penghuni itu akan memberi sedikit kelegaan kepada penyewa, menstabilkan pasaran sewa dan mungkin dilanjutkan lagi.
Menurut agensi hartanah privet terbesar Singapura, Huttons, anggaran 91,273 rumah privet dan 39,054 flat HDB disewa pada 2025, masing-masing meningkat 3.1 peratus dan 6.5 peratus berbanding 2024.
Namun, bilangan rumah selesai dibina turun pada 2025.
Sekitar 4,544 rumah privet siap pada 2025, manakala sekitar 8,000 flat memenuhi Tempoh Penginapan Minimum (MOP).
Angka itu lebih rendah berbanding 2024.
Pengarah Kanan Analitik Data Huttons, Encik Lee Sze Teck, berkata bekalan rumah privet dan flat yang memenuhi MOP akan meningkat secara bertahap pada 2026 dan 2027, serta mencapai puncaknya pada 2028.
Bagi rumah privet, menaikkan bilangan penghuni sewa boleh membantu dalam mengurangkan tekanan kenaikan sewa, kata Pegawai Eksekutif Utama, agensi hartanah, ERA Singapore, Encik Eugene Lim.
Ini amat relevan memandangkan sewa rumah privet meningkat selama lima suku berturut-turut, dari suku kedua 2024 hingga suku ketiga 2025.
Namun, apabila lebih ramai orang tinggal dalam satu unit, ia juga menimbulkan cabaran, seperti bunyi bising yang meningkat dan penggunaan bersama kemudahan awam seperti lif dan kemudahan kondominium yang lain, tambahnya.
Pemilik flat HDB, serta pemilik dan penyewa hartanah komersial HDB, perlu mendapatkan kelulusan HDB sebelum sewa bermula.
Permohonan untuk menyewa flat HDB atau bilik boleh dihantar secara dalam talian melalui perkhidmatan e-HDB.
Pemilik dan penyewa hartanah komersial HDB yang ingin menyewakan ruang kediaman mereka boleh memohon melalui portal GoBusiness.
Pemilik yang ingin menyewakan rumah privet yang sekurang-kurangnya 90 meter persegi kepada sehingga lapan penyewa yang tiada kaitan kekeluargaan, perlu mendaftar dengan URA dan akan diberitahu jika hartanah mereka dibenarkan untuk tujuan itu.
Mereka yang mempunyai pertanyaan mengenai penyewaan flat HDB atau ruang kediaman boleh mengisi borang e-Feedback atau menghubungi talian perkhidmatan cawangan HDB di 6225-5432 (untuk flat) atau talian pertanyaan hartanah komersial HDB di 6866-3073 (untuk ruang kediaman).
Bagi pertanyaan mengenai penyewaan hartanah privet, menelefon talian 6223-4811 atau hubungi URA melalui borang e-Feedback.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg