Perumahan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim perumahan Vers bukan bagi jana kekayaan atau cipta ‘kesan loteri’

Sep 24, 2025 | 6:09 PM
Vers, Sers, HDB
Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (Vers) bertujuan membolehkan isi rumah HDB meraih manfaat apabila flat dan estet HDB mereka dibangun semula sebelum tempoh pajakan 99 tahun luput. - Foto ST

Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (Vers) tidak seharusnya dilihat sebagai skim menjana kekayaan atau mencipta ‘kesan loteri’, iaitu kebergantungan terhadap peluang dan nasib, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) GRC Tanjong Pagar, Encik Foo Cexiang dan AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Parti Pekerja (WP), Encik Andre Low, dalam sidang Parlimen pada 24 September.

Encik Foo bertanya sama ada Vers mempunyai kesan loteri, manakala Encik Low bertanya sekiranya skim itu adalah program pembaharuan semata-mata dan bukannya menjana kekayaan.

Kedua-dua hujah itu diakui dan dipersetujui Encik Chee.

Encik Chee menegaskan bahawa pakej pampasan bagi Vers adalah lebih rendah daripada apa yang ditawarkan di bawah Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (Sers) tetapi butirannya masih sedang diteliti.

Dilancarkan pada Ogos 1995, penyertaan penduduk flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dikenal pasti untuk Sers adalah mandatori dan penduduk harus menjual flat mereka kepada pemerintah.

Sejak dilancarkan, 80 projek Sers telah diselesaikan manakala dua tapak sedang dibangunkan semula, menurut laman web HDB.

Penduduk yang terlibat menerima pampasan berdasarkan nilai pasaran semasa flat serta geran lain dan juga berpindah ke flat baru dari blok terjejas.

Lumrahnya, pemilik flat yang terkesan dengan Sers dapat membeli flat awam baru dengan tempoh pajakan 99 tahun tanpa kos tambahan atau kos minimal selepas menjualnya kepada pemerintah.

Ini menyebabkan ramai pemilik flat menganggap Sers sebagai salah satu kaedah meraih durian runtuh.

“Flat di bawah Vers akan mempunyai baki tempoh pajakan lebih pendek berbanding flat di bawah Sers sebelum ini, jadi pampasan keseluruhan untuk Vers adalah lebih rendah berbanding Sers.

“Sama seperti kaedah penilaian flat berbeza-beza hari ini, jumlah pampasan juga akan berbeza merentas tapak dan flat Vers,” kata Encik Chee.

Diumumkan buat kali pertama semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2018 oleh perdana menteri pada waktu itu, Encik Lee Hsien Loong, Vers bertujuan membolehkan isi rumah HDB meraih manfaat apabila flat dan estet HDB mereka dibangun semula sebelum tempoh pajakan 99 tahun luput.

Encik Chee menambah Kementerian Pembangunan Negara (MND) sedang mengkaji butiran Vers seperti proses pengundian dan cara menyokong pelbagai kumpulan demografi merentas tapak-tapak Vers berbeza dengan pilihan penempatan semula.

Antara pertimbangan utama Vers, kata Encik Chee adalah berkaitan dengan tujuan utamanya iaitu memudahkan pembangunan semula sesebuah kawasan secara teratur.

Beliau berkata ini membolehkan kerja pembangunan semula dijalankan secara berperingkat, sekali gus mengurangkan gangguan kepada penduduk dan perniagaan.

“Berdasarkan pendekatan ini, tidak semestinya setiap flat yang lebih tua perlu melalui Vers, kerana kami peka gangguan yang boleh berlaku ke atas penduduk yang perlu berpindah apabila flat mereka menjalani Vers,” kata Encik Chee.

Bahkan, beliau akur ada kalanya para penduduk tidak ingin menyertai skim tersebut.

Pertimbangan lain adalah bagi memastikan rakyat Singapura mempunyai rumah yang meliputi jangka hayat mereka.

Pada masa ini, sekitar 2.5 peratus isi rumah HDB tidak memiliki flat dengan tempoh pajakan yang meliputi penghuninya, sehingga mereka berusia sekurang-kurangnya 95 tahun, kata Encik Chee.

Dengan jangka hayat median semasa rakyat Singapura 84 tahun, ini bermakna hampir semua isi rumah HDB memiliki flat dengan tempoh pajakan yang dapat menampung penghuninya seumur hidup, tambahnya.

“Kami akan terus memantau dengan teliti bahagian isi rumah HDB yang tidak memiliki flat dengan tempoh pajakan mencukupi yang boleh menampung penghuni sehingga akhir hayat mereka dan mengekalkan bilangan ini dalam jumlah yang kecil seberapa mungkin,” kata Encik Chee.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg