Hampir 2,000 unit BTO di estet baru Berlayar ditawar pada Jun
Hampir 2,000 unit BTO di estet baru Berlayar ditawar pada Jun
Projek rangkumi flat fleksi dua bilik, flat tiga dan empat bilik
Satu projek Bina Ikut Tempahan (BTO) dengan hampir 2,000 flat di estet baru, Berlayar – di tapak bekas Kelab Keppel – akan ditawarkan pada Jun, seiring dua projek berhampiran sekolah di Ang Mo Kio.
Ini merupakan antara tujuh projek yang akan ditawarkan, termasuk dua projek di kawasan kejiranan baru Sembawang North yang menyediakan 2,000 flat.
Pada 4 Februari, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menerbitkan butiran 6,900 flat di Ang Mo Kio, Bishan, Bukit Merah, Sembawang dan Woodlands yang akan dilancarkan pada Jun.
Projek BTO kedua di estet baru Berlayar di Bukit Merah, yang merupakan sebahagian daripada Greater Southern Waterfront, akan mempunyai 1,960 flat.
Terletak di Telok Blangah Road, bersebelahan stesen MRT Telok Blangah, projek itu merangkumi flat fleksi dua bilik, serta flat tiga dan empat bilik.
Sebahagian besar unit terdiri daripada flat fleksi dua bilik (810 unit); dan flat empat bilik (980 unit); sementara baki 170 unit pula merupakan flat tiga bilik.
Projek itu juga akan dilengkapi dengan kemudahan seperti gerai makan, pasar raya, restoran, kafe, kedai dan prasekolah.
Penganalisis hartanah berkata projek tersebut berkemungkinan dikategorikan sebagai flat Prime, memandangkan lokasinya di pinggir bandar dan dijangka menarik permintaan tinggi.
Flat Plus dan Prime, yang terletak lebih dekat dengan pusat bandar, pusat pengangkutan dan kemudahan, tertakluk kepada syarat penjualan semula yang lebih ketat seperti Tempoh Penginapan Minimum (MOP) selama 10 tahun, serta pemulangan sebahagian subsidi, berbanding flat Standard.
Ketua Penyelidik dan Pakar Strategi di firma hartanah Realion (OrangeTee & ETC) Group, Cik Christine Sun, menjangkakan kadar permohonan yang tinggi bagi projek itu kerana kedudukannya yang berada di hadapan stesen MRT.
“Dengan banyak flat dua bilik dan lokasi yang sangat strategik, unit ini dijangka mendapat permintaan tinggi daripada pemohon bujang,” katanya, sambil menambah bahawa projek BTO pertama di estet tersebut mencatat kadar permohonan bujang 7.4, iaitu lebih tujuh pemohon bagi setiap flat fleksi dua bilik.
Bagi flat baru, pemohon bujang berusia 35 tahun ke atas hanya boleh memohon flat fleksi dua bilik.
Kira-kira 7,000 flat HDB dan 3,000 rumah privet akan dibina di tapak bekas Kelab Keppel.
Pada Oktober 2025, sebanyak 880 flat telah dilancarkan di Berlayar Residences, projek pertama di estet baru tersebut.
Sementara itu, jualan pada Jun bagi dua projek di Ang Mo Kio akan merangkumi 1,050 unit.
Salah satu projek terletak di Ang Mo Kio Avenue 2, bersebelahan Sekolah Perempuan CHIJ St Nicholas, dengan sekitar 480 flat tiga dan empat bilik serta kemudahan seperti gerai makan, kedai dan prasekolah.
Satu lagi projek, dengan 570 unit flat fleksi dua bilik dan flat empat bilik, terletak di Ang Mo Kio Avenue 1, berhampiran Sekolah Menengah Mayflower dan Taman Bishan-Ang Mo Kio.
Kedua-dua projek tersebut terletak sekitar 10 hingga 15 minit dengan berjalan kaki dari stesen MRT Mayflower.
Ketua Pegawai Eksekutif PropNex, Encik Kelvin Fong, menjangkakan kedua-dua projek itu, yang mungkin dikategorikan sebagai flat Plus, akan menarik pemohon yang sudah berkeluarga kerana kedudukannya terletak berhampiran sekolah seperti Sekolah Perempuan CHIJ St Nicholas dan Sekolah Rendah Ang Mo Kio.
Di estet baru Sembawang North pula, sebanyak 2,000 unit akan dibina menerusi dua projek di Sembawang Drive dan Sungei Sembawang.
Projek lebih besar, dengan 1,130 unit, akan merangkumi flat fleksi dua bilik, tiga, empat dan lima bilik, serta unit tiga generasi.
Projek yang bersebelahan Sekolah Rendah Northoaks, merangkumi 870 unit flat fleksi dua bilik serta flat tiga, empat dan lima bilik.
Menurut Encik Fong, jenis flat lebih besar dalam projek itu dijangka menarik minat keluarga yang membesar dan isi rumah berbilang generasi.
Projek tersebut mungkin dikategorikan sebagai flat Standard.

