Sebahagian besar defisit bersih $6.34 bilion yang dicatatkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi 2024 terkait dengan kos binaan dan jualan flat, serta geran perumahan yang diberikan kepada flat jualan semula dan flat baru.
Dalam satu kenyataan HDB pada 11 November, kos sedemikian mencecah $5.51 billion, disebabkan kerugian kasar penjualan flat, kerugian yang dijangkakan ke atas flat yang sedang dibangunkan, dan pengagihan Geran Perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Ketua Pegawai Eksekutif HDB, Encik Tan Meng Dui, berkata ia telah mempergiatkan usaha membina lebih banyak flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan ia kini sedang membina sekitar 23,600 flat bagi memenuhi permintaan perumahan.
“Jumlah defisit yang amat ketara bagi 2024, sekaligus mencerminkan komitmen tidak terhingga kami bagi menyediakan rumah bermutu dan boleh dimampui untuk warga Singapura,” ujarnya.
Jumlah defisit yang dicatatkan HDB bagi 2024 adalah lebih rendah berbanding rekod defisit $6.775 bilion pada 2023.
HDB menyatakan daripada $5.51 bilion, kerugian kasar $1.77 bilion adalah bagi 14,900 jualan flat yang telah siap manakala $881 juta pula telah disalurkan kepada pembeli yang layak bagi flat jualan semula dan Kondominium Eksekutif (EC) pada 2024.
Ini di samping $2.69 bilion yang diperuntukkan bagi kerugian untuk flat yang sedang dibina pada 2024.
Apabila HDB memulakan pembangunan projek perumahan baru, peruntukan dibuat untuk anggaran kerugian projek sedemikian kerana flat HDB dijual pada harga bersubsidi – iaitu lebih rendah daripada kos pembangunannya.
HDB berkata peruntukan ini dikemas kini semasa fasa pembinaan projek disebabkan oleh perubahan kos.
Apabila kunci diserahkan kepada pembeli flat, menandakan selesainya penjualan, peruntukan bagi kerugian yang boleh dijangka kemudian diterbitkan, dengan kerugian sebenar daripada jualan dapat dikemukakan, tambah HDB.
Dalam erti kata lain, ia mencerminkan kerugian kasar atas penjualan flat.
HDB menambah kira-kira 23,600 flat telah mula dibina manakala 14,900 jualan flat telah siap.
Sementara itu, $532 juta telah dibelanjakan untuk inisiatif menaik taraf bagi memperbaiki dan meningkatkan flat HDB yang lama – peningkatan sebanyak 34 peratus berbanding $396 juta yang dibelanjakan bagi 2023.
Inisiatif ini termasuk Program Peningkatan Rumah (HIP), Program Peningkatan Lif (LUP) dan Program Pembaharuan Kejiranan (NRP).
Sebanyak $570 juta turut dibelanjakan untuk fungsi sampingan kediaman.
Ini termasuk pentadbiran pajakan, penyediaan dan pengurusan kemudahan seperti tempat letak kereta di kawasan perumahan, serta perancangan dan pentadbiran bangunan.
Menurut HDB, perangkaan ini adalah 28 peratus lebih tinggi berbanding $446 juta yang dicatatkan pada 2023.
“Peningkatan 28 peratus daripada $446 juta bagi Tahun Kewangan 2023 sebahagian besarnya dipacu oleh perbelanjaan lebih tinggi untuk Program Peningkatan Beban Elektrik (ELUP), memandangkan lebih banyak blok HDB telah dinaik taraf untuk menampung keperluan elektrik penduduk yang semakin meningkat
“Kami akan terus menyemak dan memperhalusi dasar perumahan apabila perlu, untuk menyokong keperluan dan aspirasi perumahan rakyat Singapura dan memastikan perumahan awam kekal mampu milik, mudah diakses dan bersifat inklusif,” ujar HDB.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg