Topik diikuti
Pergi ke BHkuHDB lancar 6,952 flat BTO, termasuk projek Prime di Berlayar, Upper Thomson
HDB lancar 6,952 flat BTO, termasuk projek Prime di Berlayar, Upper Thomson
Tujuh projek BTO ditawar di Ang Mo Kio, Bishan, Bukit Merah, Woodlands dan Sembawang
HDB lancar 6,952 flat BTO, termasuk projek Prime di Berlayar, Upper Thomson
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 6,952 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) untuk dijual pada 17 Jun.
Ia termasuk kira-kira 2,000 flat di Sembawang Utara dengan tempoh menunggu yang lebih singkat iaitu kurang dari tiga tahun.
Secara keseluruhan, tujuh projek BTO sedang ditawarkan di Ang Mo Kio, Bishan, Bukit Merah, Woodlands dan Sembawang.
Demikian menurut kenyataan HDB pada 17 Jun.
Terdapat dua projek Prime BTO dalam pelancaran ini – Berlayar Rise di Bukit Merah dan Lakeview Cascadia di Bishan.
Kadar penarikan balik subsidi telah ditetapkan pada 14 peratus untuk projek Bukit Merah dan 10 peratus untuk projek Bishan, yang terletak di Upper Thomson.
Dua projek Plus – Kebun Baru Breeze dan Kebun Baru Ridge di Ang Mo Kio – mempunyai kadar penarikan balik subsidi berjumlah 8 peratus.
Flat Prime dan Plus, yang lebih dekat dengan pusat bandar, nod pengangkutan serta kemudahan, disertakan dengan syarat jualan semula yang lebih ketat.
Ini termasuk Tempoh Penginapan Minimum (MOP) 10 tahun dan penarikan balik subsidi apabila dijual kelak.
Penarikan balik subsidi bermakna apabila flat sedemikian dijual, pemilik perlu membayar HDB sejumlah peratusan harga jualan semula atau penilaian, mana-mana yang lebih tinggi.
Baki tiga projek – Sembawang Brook, Sembawang Portico dan Woodgrove Acres di Woodlands – diklasifikasi di bawah Standard.
Flat-flat itu tidak mempunyai syarat penarikan balik subbsidi apabila dijual, dan ia disertakan dengan MOP lima tahun.
Projek Prime Berlayar Rise melibatkan jualan 1,976 flat.
Terletak di sepanjang Telok Blangah Road, bersebelahan stesen MRT Telok Blangah, ia terdiri daripada flat fleksi dua bilik, tiga dan empat bilik.
Pembeli perlu menunggu antara empat tahun dengan empat setengah tahun bagi flat sedemikian.
Harga (tanpa geran) adalah $247,000 hingga $406,000 untuk flat fleksi dua bilik; $435,000 hingga $591,000 untuk unit tiga bilik; dan $592,000 hingga $810,000 untuk flat empat bilik.
Projek Prime yang lain, Lakeview Cascadia, mempunyai 1,221 unit flat fleksi dua bilik dan empat bilik.
Ini merupakan unit perumahan awam pertama yang dilancarkan bagi jualan di kawasan Lakeview dekat Kolam Air MacRitchie, dalam tempoh lebih 40 tahun.
Tapak itu terletak di Upper Thomson Road bersebelahan dengan estet Lakeview, dan hanya lima minit berjalan kaki dari stesen MRT Marymount.
Dua daripada blok tersebut akan mempunyai sekitar 50 flat sewa awam.
Masa menunggu untuk sebuah unit di Upper Thomson Road ini adalah empat tahun tiga bulan.
Secara bersama, dua projek Plus di Ang Mo Kio akan menawarkan sejumlah 1,064 unit.
Projek yang lebih kecil, Kebun Baru Ridge, akan mempunyai tempoh menunggu selama tiga tahun satu bulan.
Terletak di seberang jalan dari Sekolah Perempuan CHIJ St Nicholas, ia mempunyai 485 unit flat tiga dan empat bilik.
Kebun Baru Breeze, yang terletak di sepanjang Ang Mo Kio Avenue 1, akan mempunyai 579 flat fleksi dua bilik dan empat bilik.
Tempoh menunggu bagi sebuah flat adalah empat tahun empat bulan.
Di Sembawang, dua projek Standard dengan tempoh menunggu yang lebih singkat akan menawarkan gabungan 2,035 unit di Sembawang Drive dan Sungei Sembawang.
Sembawang Portico di Admiralty Lane dan Sembawang Drive akan mempunyai tempoh menunggu selama dua tahun tujuh bulan.
Ia akan mempunyai 875 unit fleksi dua bilik, serta flat tiga, empat dan lima bilik.
Sembawang Brook, dengan tempoh menunggu selama dua tahun sembilan bulan, mempunyai 1,160 unit fleksi dua bilik; flat tiga, empat dan lima bilik; dan flat tiga generasi.
Harga (tanpa geran) kedua-dua projek itu adalah $139,000 hingga $225,000 untuk flat fleksi dua bilik; $250,000 hingga $344,000 untuk flat tiga bilik; $302,000 hingga $437,000 untuk flat empat bilik; dan $420,000 hingga $579,000 untuk flat lima bilik.
Flat tiga generasi di Sembawang Brook ialah antara $468,000 dengan $567,000.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata dalam catatan Facebook pada 17 Jun bahawa lebih satu pertiga daripada flat BTO itu mempunyai masa menunggu sekitar tiga tahun atau kurang.
Lebih banyak flat juga akan diketepikan untuk keluarga pertama dan kedua yang layak dengan tiga atau lebih anak, tambahnya.
