Isu pemasangan jubin di dua kolam renang di kondominium eksekutif (EC) yang baru di Sengkang telah menyebabkan penutupan kemudahan tersebut berulang kali sejak April.
Ia menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan dan kualiti di kalangan sesetengah penduduk.
Seorang penduduk EC Ola di Anchorvale Crescent itu berkata beliau bimbang tentang mutu kerja-kerja binaan selepas pihak pengurusan nampaknya tidak menyelesaikan isu itu selepas dua bulan.
“Terdapat tepian tajam di lantai kolam dan jika anda tidak berhati-hati, ia boleh menyebabkan kecederaan,” kata seorang penduduk yang tidak mahu namannya disiarkan.
Kolam renang kanak-kanak khususnya mempunyai banyak jubin yang tertanggal, katanya sambil menambah sesetengah penduduk telah berkongsi dalam kumpulan sembang dalam talian bahawa ada kanak-kanak yang cedera akibat masalah itu, lapor The Straits Times (ST).
Kolam renang itu dibuka semula pada pertengahan April tetapi ditutup semula pada akhir April kerana masalah jubin tertanggal, tambahnya.
Sebuah lagi kolam untuk renang pusingan 50 meter, dibuka semula pada akhir Mei tetapi masih terdapat beberapa jubin yang hilang, kata penduduk.
EC sebanyak 548 unit, yang disebut-sebut sebagai pembangunan mewah bertemakan Sepanyol, memperoleh permit untuk penghunian sementara pada April 2024.
Ia dibangunkan bersama oleh syarikat tempatan Evia Real Estate dan Gamuda Land yang berpangkalan di Malaysia.
“Kondominium ini masih baru tetapi mengecewakan kerana sudah ada isu berulang berkaitan jubin kolam renang,” kata seorang lagi penduduk.
Jurucakap pengurusan hak milik strata perbadanan kondo eksekutif (MCST) itu berkata ejen pengurusannya telah dimaklumkan mengenai jubin tertanggal di dua kolam itu pada akhir Mac, dan kededua kolam ditutup untuk pemeriksaan pada 2 April.
Kerja pembaikan untuk menggantikan jubin bermula pada 10 April. Bilangan jubin sedemikian di kededua kolam adalah “agak kecil”, katanya.
Walaupun kolam kanak-kanak dibuka semula pada 19 April selepas kerja pembaikan selesai, ia ditutup semula pada 29 April kerana kerja pembaikan itu didapati tidak memuaskan, kata jurucakap itu.
Justeru, katanya, “kami akan memecahkan semula semua jubin sedia ada di kolam kanak-kanak dan memasang semula permukaan dengan satu set jubin yang baru”.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Low berpuas hati dengan keputusan MCST untuk memasang semula jubin lantai kolam kanak-kanak itu.
“Ia menunjukkan bahawa pihak pengurusan memandang serius isu ini,” kata pengarah jualan berusia 46 tahun itu, yang memaklumkan MCST mengenai jubin tertanggal pada akhir Mac.
Jurucakap Red Dot Pool Engineering, sebuah syarikat penyenggaraan kolam renang, berkata adalah luar biasa untuk jubin tercabut di kolam renang yang agak baru.
Syarikat itu biasanya melihat isu sedemikian selepas 10 tahun.
MCST menjangkakan kerja-kerja pembaikan di kolam renang dewasa selesai dalam masa dua minggu dan kolam kanak-kanak selesai pada Julai, bergantung kepada keadaan cuaca.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg