Perumahan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan lega terima kunci flat sewa PPHS sementara tunggu BTO

Kini sewa flat tiga bilik di Boon Lay bawah Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS)
Jun 24, 2025 | 4:16 PM
Encik Muhammad Nasrullah Jarlani, Cik Nur Mizalina Abdul Rahman, pphs
Pasangan muda, Encik Muhammad Nasrullah Jarlani dan Cik Nur Mizalina Abdul Rahman, di rumah Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS) mereka di Boon Lay. - Foto BH oleh KHALID BABA

Setelah beberapa kali mencuba, Encik Muhammad Nasrullah Jarlani, 31 tahun, akhirnya menarik nafas lega apabila permohonannya untuk mendapatkan rumah di bawah Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS), diluluskan baru-baru ini.

Encik Nasrullah bersama isterinya, Cik Nur Mizalina Abdul Rahman, 29 tahun, menerima kunci rumah sementara mereka pada 4 Jun, dan kini menyewa flat tiga bilik itu di kawasan Boon Lay sementara menunggu flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Bukit Gombak mereka siap pada 2026.

Bagi pasangan yang berumah tangga pada Disember 2024 itu, kejayaan memperoleh rumah sementara tersebut merupakan satu kelegaan besar selepas beberapa kali gagal dalam permohonan.

Semasa dihubungi, Encik Nasrullah berkata: “Saya rasa amat gembira dan teruja bila dapat tahu permohonan kami berjaya. Ia memberi kami ruang lebih selesa sebagai pasangan baru berkahwin.”

Beliau turut berkongsi proses permindahan dan menghias rumah sementaranya melalui beberapa video di platform TikTok .

View post on TikTok

Video yang dimuat naik oleh Encik Nasrullah, yang lebih dikenali di TikTok dengan nama pengguna @nasrull.jarlani, telah meraih sambutan hangat dengan tontonan mencecah lebih 1.2 juta.

Video tersebut bukan sahaja menarik perhatian ramai, malah membuka ruang perbualan dalam kalangan pasangan muda yang turut menunggu kelulusan permohonan PPHS mereka.

Ramai berkongsi pengalaman sama – menunggu dalam ketidaktentuan atau menghadapi beberapa kali kegagalan dalam permohonan.

Menurut pasangan itu, walaupun tempoh menetap di rumah PPHS hanya selama 19 bulan, mereka tetap mengambil langkah awal untuk menjadikan rumah itu selesa dan mesra keluarga.

“Kami sudah mula menghias rumah sedikit demi sedikit.

‘Walaupun jauh dari keluarga, kami cuba sesuaikan diri dan jadikan rumah ini tempat yang benar-benar kami rasa milik sendiri,” tambahnya.

Keluarga mereka tinggal di kawasan Yishun dan Sembawang.

Flat sementara yang mereka diami kini dianggarkan berusia sekitar 50 tahun dan memerlukan penyesuaian kepada gaya rumah lama, termasuk susun atur dan kemudahan asas.

Antara cabaran utama yang dihadapi semasa berpindah adalah kesukaran membawa perabot ke rumah kerana lif yang disediakan hanya berhenti di tingkat tertentu – satu ciri biasa bagi blok-blok lama yang belum dinaik taraf sepenuhnya.

Dalam perkongsian beliau di TikTok, Encik Nasrullah turut memberi galakan kepada pasangan muda supaya tidak berputus asa dalam usaha memohon rumah di bawah skim itu.

“Saya harap perkongsian saya dapat memberi semangat kepada mereka yang sedang menunggu. Memang susah dan mencabar, tapi jangan berhenti mencuba,” kata beliau.

Beliau turut mengambil inisiatif memperkenalkan skim PPHS secara ringkas kepada pengikutnya, agar lebih ramai memahami kelayakan dan proses permohonannya.

Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS) diwujudkan sebagai sebahagian daripada pakej perkahwinan dan keibubapaan yang dipertingkatkan, untuk membantu pasangan yang menantikan siapnya flat BTO mereka dengan menyediakan pilihan perumahan sementara.

Skim itu terbuka kepada:

– Pasangan berkahwin atau di bawah Skim Tunang (sekurang-kurangnya seorang adalah pemohon rumah pertama kali),

– Ibu bapa tunggal yang bercerai atau balu dengan anak-anak.

– Pemohon mesti merupakan warga Singapura, tidak memiliki flat HDB sedia ada, dan pendapatan isi rumah tidak melebihi $7,000 sebulan.

– Pemohon juga perlu menyerahkan sijil perkahwinan dalam tempoh tiga bulan selepas mendapat kunci rumah PPHS.

Dalam kenyataannya 16 Jun lalu, HDB berkata kadar permohonan flat PPHS turun dengan ketara, sedang bekalan flat PPHS dinaikkan kepada 4,000 unit menjelang akhir 2025, berbanding hanya 800 unit pada 2021.

Dalam kenyataan itu, HDB turut mengumumkan skim baucar yang membantu mengurangkan kos sewa bagi pasangan muda dan keluarga yang sedang menunggu flat BTO mereka siap akan dilanjutkan selama enam bulan, iaitu hingga akhir 2025.

Di bawah skim tersebut pula, HDB mengagihkan baucar PPHS kepada keluarga yang layak dan sedang menyewa flat di pasaran terbuka.

Keluarga tersebut akan menerima $300 sebulan bagi menampung kos sewa dari Julai hingga Disember 2025.

“Saya rasa amat gembira dan teruja bila dapat tahu permohonan kami berjaya. Ia memberi kami ruang lebih selesa sebagai pasangan baru berkahwin... Kami sudah mula menghias rumah sedikit demi sedikit. Walaupun jauh dari keluarga, kami cuba sesuaikan diri dan jadikan rumah ini tempat yang benar-benar kami rasa milik sendiri.”
Encik Muhammad Nasrullah Jarlani.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg