Dengan berbekalkan sebuah buku nota kecil dan pen, beliau tekun mendengar dan mencatat keprihatinan penduduk.
Keprihatinan itu kemudian disuarakannya di Parlimen, agar dapat membantu memperbaiki kehidupan rakyat Singapura.
Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Undang-Undang) yang juga calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Jurong East-Bukit Batok, Encik Murali Pillai, percaya untuk menjadi Anggota Parlimen (AP) yang berkesan, seseorang itu perlu berpijak di bumi nyata melalui pelbagai cara.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), beliau berkata sebahagian besar dasar yang diutarakannya di Parlimen adalah hasil maklum balas penduduk di SMC Bukit Batok, kawasan yang diterajuinya sejak 2016.
Jika dipilih untuk terus berkhidmat, beliau ingin membantu menangani isu-isu yang dihadapi oleh penduduk Bukit Batok.
Menurut Encik Murali, beliau mendapat inspirasi untuk membawa buku nota itu daripada bapanya, Encik P. Kunjan Pillai, yang merupakan antara pengasas PAP pada 1954.
Beliau berkata mendiang ayahnya itu akan sentiasa membawa sebuah buku nota untuk mencatat segala perbelanjaannya walaupun beliau hanya membelanjakan lima sen.
“Apabila saya bekerja sebagai peguam, saya juga mula membawa buku nota dan pen kerana apabila saya berbincang dengan rakan sekerja, kadang-kadang datang ilham atau terdapat perkara yang perlu dilakukan, dan saya tidak mahu terlupa. Jadi, saya akan terus tulis, dan ia akhirnya menjadi satu tabiat.
“Apabila saya menceburi dunia politik, sudah tentu pen dan buku nota itu turut ikut bersama saya,” katanya.
Encik Murali merupakan antara calon pasukan PAP dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) bagi kawasan GRC Jurong East-Bukit Batok.
Pasukan itu terdiri daripada Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; serta dua muka baru; Encik David Hoe dan Encik Lee Hong Chuang.
GRC Jurong East-Bukit Batok merupakan sempadan baru yang diperkenalkan bagi GE2025.
Ia terdiri daripada beberapa kawasan – antaranya Jurong, Bukit Batok, Clementi, Yuhua dan Hong Kah North – serta mempunyai 142,510 pengundi.
Walaupun demikian, kawasan GRC Jurong East-Bukit Batok tidak asing bagi Encik Murali.
Encik Murali memulakan perjalanannya sebagai sukarelawan di PAP Bukit Batok pada 2000, apabila beliau berkhidmat sebagai setiausaha cawangan dari 2007 hingga 2011.
Beliau kemudian menjadi AP SMC Bukit Batok sejak 2016.
Melalui lawatan ke rumah di Bukit Batok, Encik Murali telah menerapkan amalan untuk sentiasa membawa bersama buku nota dan pen untuk mencatatkan keprihatinan penduduk, yang kemudiannya diketengahkan ke Parlimen.
Beliau, yang biasanya melakukan tiga lawatan ke rumah dalam seminggu, berkata:
“Lawatan ke rumah dilakukan selain daripada sesi tinjauan kawasan dan kunjungan ke kedai kopi. Melalui semua ini, kita dapat mengetahui apakah yang sedang berlaku dan apakah yang dibincangkan oleh penduduk kita.
“Sebab itulah saya rasa sangat bertuah kerana berpeluang mengemukakan beberapa soalan di Parlimen dan bercakap tentang pelbagai isu yang membimbangkan penduduk kita – kerana ia hasil daripada maklum balas yang saya terima.”
Menurutnya, antara saranan penduduk Bukit Batok yang beliau telah utarakan di Parlimen ialah pemberian levi konsesi bagi pembantu rumah untuk keluarga yang mempunyai anggota dewasa dengan isu kesihatan mental atau intelektual.
Sebelum ini, levi konsesi hanya diberikan kepada keluarga dengan anggota yang mengalami kecacatan fizikal.
Beliau turut mengutarakan keprihatinan pasangan muda yang gagal mendapatkan Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS) ketika menunggu flat Bina Ikut Tempahan (BTO) mereka siap.
Beliau mengusulkan supaya mereka diberi subsidi sewa, yang kemudian diterima dalam Belanjawan 2025.
Selain itu, selepas beliau mendapati ramai bekas banduan mengalami kesukaran mendapatkan pekerjaan, Encik Murali menyarankan agar pemerintah memberi sokongan gaji supaya majikan akan berasa lebih tertarik untuk menerima bekas pesalah.
“Ini hanyalah beberapa contoh, ada lagi yang lain, tetapi sekadar untuk memberi gambaran bahawa sebenarnya kita cukup bertuah kerana mempunyai dialog dan komunikasi kerap dengan penduduk Bukit Batok,” kata Encik Murali.
Encik Murali ingin meneruskan usaha membantu penduduk Bukit Batok mengatasi kos sara hidup, terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan.
Encik Murali berkata setakat ini, mereka sudah mempunyai beberapa program, seperti skim baucar makanan dan barangan runcit serta bank makanan hangat di Bukit Batok, hasil kerjasama dengan Jamiyah Singapura.
Mengulas peluang pasukannya di GRC Jurong East-Bukit Batok bagi GE2025, Encik Murali berkata “politik tidak pernah boleh diramal”.
“Saya pasti ini akan menjadi pertarungan yang sengit dan kami akan memberikan yang terbaik sebagai sebuah pasukan, yang dipimpin oleh Cik Grace Fu, untuk mengetengahkan bagaimana kami menangani kebimbangan rakyat Singapura… dan berharap mereka akan memberi kami peluang menjadi wakil yang dipilih bagi meningkatkan kehidupan mereka,” katanya yang bakal bertanding dengan pasukan baru.
Mengalu-alukan kerjasama dengan pasukan barunya itu, Encik Murali, menambah:
“Saya benar-benar bersyukur kerana mendapat peluang bekerja bersama Cik Grace Fu, yang mempunyai kebolehan dan pengalaman yang luar biasa.
“Saya juga sangat berterima kasih atas peluang untuk bekerja rapat dengan Cik Rahayu, yang bagi saya adalah wajah belas kasihan di (kawasan) barat.”
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama dengan muka baru, Encik Hoe, yang bangkit setelah melalui perjalanan yang mencabar ekoran membesar dalam keluarga kurang berkemampuan.
Encik Lee pula memiliki keberanian luar biasa selepas menandingi GE2015 dan GE2020 di SMC Hougang.
Berhubung cara mendapatkan sokongan penduduk, Encik Murali menjawab:
“Tiada jalan pintas. Kita perlu kemukakan usaha kita kepada penduduk dan kita lakukan ini melalui lawatan ke rumah, tinjauan di kawasan kejiranan, serta kunjungan ke kedai-kedai kopi.
“Kami benar-benar perlu membuat persiapan rapi, maka kami telah menyediakan manifesto dan akan menyampaikannya kepada penduduk.”
“
“Sebab itulah saya rasa sangat bertuah kerana berpeluang mengemukakan beberapa soalan di Parlimen dan bercakap tentang pelbagai isu yang membimbangkan penduduk kita – kerana ia hasil daripada maklum balas (penduduk) yang saya terima.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg