Perumahan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rangka kerja baru bimbing reka bentuk taman permainan di estet HDB mulai Jan 2026

Dec 3, 2025 | 6:01 PM
reka bentuk taman permainan,  estet HDB, kanak-kanak, sosial dan kreatif
Lakaran artis menunjukkan taman permainan di estet Mount Pleasant Crest, sebuah projek BTO yang dilancarkan pada Oktober 2025, di mana Rangka Kerja Nilai-Nilai Bermain yang baru oleh HDB dirintis. Ia akan menampilkan pelbagai ciri kegiatan fizikal untuk kanak-kanak termasuk dua struktur besar yang dihubungkan dengan jambatan jaring yang menggalak kanak-kanak memanjat dan merangkak antara dua struktur itu. - Foto HDB

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan memperkenalkan sebuah rangka kerja baru mulai Januari 2026 yang memberi panduan bagi reka bentuk taman permainan di estet kejiranan dalam usaha menggalak permainan yang bersifatkan fizikal, sosial dan kreatif dalam kalangan kanak-kanak.

Ini dengan tujuan secara aktif menyokong pembangunan menyeluruh dalam kalangan kanak-kanak merentas kumpulan usia berbeza.

Di bawah Rangka Kerja Nilai-Nilai Bermain itu, peralatan dan struktur taman permainan boleh mengambil pelbagai bentuk di luar reka bentuk konvensional, contohnya buaian yang terdiri daripada buaian tradisional hinggalah yang berbentuk kayu balak atau sarang burung.

Rangka kerja baru itu akan digunakan bagi taman permainan di pembangunan Bina Ikut Tempahan (BTO) yang baru ditender, serta taman HDB baru.

Ia juga akan diperluas kepada Majlis Bandaran yang menyenggara dan memudahkan kerja naik taraf taman permainan di estet HDB.

Pengarah (Landskap) HDB, Encik Leonard Cai, berkata demi memastikan taman permainan terus memenuhi keperluan dan corak permainan yang berubah, HDB telah berunding dengan pihak berkepentingan berbeza untuk membangunkan rangka kerja baru itu.

“Rangka kerja ini akan memastikan taman permainan kita menawarkan pelbagai ciri bermain yang lebih luas untuk menyokong pembangunan menyeluruh kanak-kanak, mempertingkat pengalaman bermain untuk mencetuskan imaginasi kanak-kanak dan mencipta kenangan zaman kanak-kanak yang menggembirakan,” kata beliau.

HDB telah mendapatkan pandangan daripada pihak berkepentingan berbeza, seperti ibu bapa, karyawan pembangunan awal kanak-kanak dan kesihatan, serta pakar taman permainan, dalam melakarkan rangka kerja itu.

Rangka kerja itu menekankan tiga aspek utama – fizikal, sosial dan kreatif – dengan setiap aspek itu mempunyai set nilai-nilai dan manfaatnya untuk mewujudkan taman permainan yang seronok dan menarik, kata HDB dalam kenyataannya pada 3 Disember.

Selain itu, ia mengimbangi pertimbangan seperti keselamatan, kesesuaian usia dan kesediaan ruang.

Misalnya, aspek fizikal memberi tumpuan pada nilai-nilai bermain seperti berayun, memanjat dan merangkak, yang membantu kanak-kanak mempertingkat kemahiran motor serta belajar cara mengimbangi diri.

Aspek sosial pula menekankan nilai-nilai bermain secara sendirian, dengan sahabat atau secara berkumpulan melalui pelbagai peluang interaksi seperti trampolin, jongkang-jongket dan merry-go-round – yang memupuk unsur kerjasama dan semangat berpasukan.

Sementara itu, aspek kreatif menekankan unsur sentuhan, imaginatif dan kognitif – contohnya, panel permainan – yang menggalak penerokaan dan eksperimen, memperkukuh keupayaan menyelesaikan masalah dan mempertingkat pembangunan deria.

Rangka kerja itu turut memberikan panduan reka bentuk mengikut kumpulan usia.

Bagi kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun, taman permainan akan direka dengan mengutamakan permainan kreatif dan imaginatif selain fizikal.

Ini termasuk dengan menampilkan reka bentuk tematik dengan ciri-ciri permainan seperti bentuk yang diinspirasikan alam semula jadi, busut dan corak lantai yang terang. Lubang pasir juga boleh diperkenalkan di lokasi taman yang sesuai bagi pembangunan deria.

Bagi kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun pula, taman permainan akan menampilkan ciri-ciri yang menggalak permainan fizikal dan berkumpulan, dengan taman permainan yang lebih besar juga boleh menampung peralatan tambahan seperti merry-go-round.

Rangka kerja baru itu dirintis di Mount Pleasant Crest, sebuah projek BTO yang dilancarkan pada Oktober 2025 dan dijangka siap dibina menjelang 2031.

Taman permainan di estet itu akan menampilkan komponen bertemakan trafik, seperti struktur berbentuk kereta polis dan corak tanda jalan raya, untuk memberi peluang kepada kanak-kanak meneroka permainan lakon peranan yang imaginatif.

Reka bentuk taman permainan di estet HDB telah menjalani pelbagai transformasi sejak beberapa dekad lalu.

Pada tahun 1960-an, taman permainan menampilkan gelongsor, buaian dan jongkang-jongket tradisional, sebelum berubah menjadi taman permainan kreatif yang berbentuk seperti naga, haiwan dan buah-buahan pada 1970-an dan 1980-an.

Pada dekad 1990-an yang seterusnya, taman permainan mula memperkenalkan struktur bersepadu yang menggabungkan pelbagai unsur-unsur bermain, seperti gelongsor, jambatan, struktur memanjat dan panel permainan.

Reka bentuk taman permainan menyaksikan perubahan lagi semasa tahun 2000-an apabila Taman Permainan 3G diperkenalkan, di mana kawasan bermain dan senaman ditempatkan di lokasi yang sama untuk membolehkan keluarga menikmati masa riadah bersama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg