Mengambil inspirasi daripada warisan kawasan Mount Pleasant sebagai tapak akademi polis yang pertama di Singapura, taman permainan di projek Bina Ikut Tempahan (BTO) baru di Mount Pleasant Crest akan menampilkan struktur utama berbentuk kereta polis dan elemen lain seperti corak tanda jalan raya.
Ciri-ciri sedemikian bukan sahaja menimbulkan rasa seronok dan ghairah dalam kalangan kanak-kanak yang bermain, malah menggalak mereka meneroka senario melakonkan peranan penuh imaginasi bersama rakan-rakan – sekali gus membangunkan kemahiran motor dan berfikir mereka.
Taman permainan di Mount Pleasant Crest itu – sebuah projek BTO yang dilancarkan pada Oktober 2025 dan dijangka siap dibina menjelang 2031 – adalah sebahagian projek Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), di mana sebuah Rangka Kerja Nilai-Nilai Bermain yang baru telah dirintis.
Rangka kerja itu memberi panduan bagi reka bentuk taman permainan baru di estet kejiranan HDB dalam usaha menggalak permainan yang bersifat fizikal, sosial dan kreatif dalam kalangan kanak-kanak.
Ini diusahakan dengan tujuan untuk secara aktif menyokong pembangunan menyeluruh dalam kalangan kanak-kanak, merentas kumpulan usia yang berbeza.
HDB ,dalam kenyataannya pada 3 Disember, berkata mulai Januari 2026, rangka kerja baru itu akan digunakan bagi taman permainan yang dibina di pembangunan BTO yang baru ditender, dan juga taman HDB baru. Ia juga akan diperluas kepada Majlis Bandaran yang menyenggara dan memudahkan kerja-kerja naik taraf taman permainan di estet HDB.
Di Mount Pleasant Crest, taman permainan di situ akan menampilkan ciri-ciri seperti struktur memanjat, gelongsor dan trampolin yang memberi peluang kepada kanak-kanak kecil membangunkan kemahiran motor. Ini selain panel permainan yang menggalak kemahiran berfikir.
Ciri-ciri permainan tersebut akan direka bentuk dengan tujuan membangunkan kemahiran sosial kanak-kanak, kata HDB, dengan kanak-kanak boleh bermain secara sendiri, dengan teman atau secara berkumpulan bagi senario bermain yang lebih kompleks.
Taman permainan bagi kanak-kanak lebih besar pula akan memberi tumpuan pada permainan fizikal dan berkumpulan.
Dua struktur besar yang dihubungkan dengan jambatan jaring akan menggalak kanak-kanak memanjat dan merangkak antara dua struktur itu, dengan adanya juga gelongsor tiub melengkung yang membolehkan mereka gelongsor ke bawah.
Bakal ditampilkan juga ialah trampolin dan buaian rajut (hammock swing) yang membantu kanak-kanak belajar cara mengimbangi diri dan membangunkan penyelarasan melalui kegiatan melompat dan berayun, manakala peralatan gantung membina kekuatan lengan mereka.
Di samping itu, palang imbang (balancing beams) dan busut kecil di taman permainan itu akan mewujudkan halangan menyeronokkan yang membolehkan kanak-kanak mempertingkat koordinasi dan pergerakan tubuh mereka.
“Bersama, taman permainan ini menunjukkan bagaimana rangka kerja itu akan mewujudkan lebih banyak pengalaman bermain yang menyeronokkan dan kaya pembangunan untuk kanak-kanak di semua peringkat usia.
“Penduduk HDB boleh menjangkakan lebih banyak taman permainan yang membantu menggalak permainan yang menebar imaginasi dan menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak,” kata HDB lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg