Sekitar 3,700 isi rumah yang menetap di flat sewa awam telah berpindah ke flat sendiri, manakala 2,000 lagi telah menempah flat masing-masing dan menunggu ia siap dibina sepanjang lima tahun lalu.

Menyatakan demikian dalam jawapan kepada Berita Harian (BH), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berkata sekitar 5,700 isi rumah sewa telah meraih manfaat daripada langkah sokongan yang disediakan bagi membantu penghuni flat sewa awam memiliki rumah sendiri dari 2021 hingga 2025.

Daripada 3,700 isi rumah yang telah memiliki kediaman sendiri itu, sekitar tujuh daripada setiap 10 isi rumah membeli flat baharu daripada HDB, manakala selebihnya membeli flat jualan semula, kata HDB.

“Dari 2021 hingga 2025, sekitar dua pertiga daripada (3,700) isi rumah tersebut membeli flat dengan bantuan geran perumahan bagi pembeli kali pertama, seperti Geran Perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Dipertingkat, manakala kira-kira 120 isi rumah pula memanfaatkan Geran Perumahan Step-Up,” kata HDB.

Usaha menyokong keluarga berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri turut diperkukuh menerusi pelbagai skim perumahan HDB, termasuk Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah (HST) dan Skim Perumahan Permulaan Baru, tambah HDB.

Skim Perumahan Permulaan Baru, yang diperkenalkan pada 2016, turut diperluaskan kepada keluarga pembeli pertama ComLink+ yang menetap di flat sewa awam.

Pada masa yang sama, Geran Perumahan Permulaan Baru turut dipertingkat bagi menyediakan lebih banyak bantuan kewangan kepada keluarga pembeli kali kedua yang layak.

Geran tersebut boleh digunakan oleh keluarga pembeli rumah kali kedua untuk membeli Flat Fleksi 2 Bilik atau Standard 3 bilik dengan tempoh pajakan lebih singkat.

“Bermula penjualan Bina Ikut Tempahan (BTO) Februari 2026, skim tersebut turut diperluaskan kepada keluarga pembeli rumah kali pertama yang layak dalam kalangan penghuni flat sewa awam yang mempunyai anak.

“Sepanjang beberapa tahun lalu, Geran Perumahan Permulaan Baru telah ditambah untuk menawarkan lebih banyak bantuan kewangan kepada mereka yang menyewa, daripada $35,000 kepada $50,000 pada 2022, dan kepada $75,000 pada 2025,” kata HDB.

Selain skim nasional seperti Pakej Kemajuan ComLink+ oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan langkah sokongan pemilikan rumah HDB, usaha tersebut turut diperkukuh di tahap masyarakat menerusi inisiatif seperti Projek Dian@M³.

Diselaraskan oleh Pejabat Penyelarasan Penglibatan M³ (M³ ECO) di bawah Persatuan Rakyat (PA), inisiatif itu menghimpunkan agensi pemerintah, rakan masyarakat dan sukarelawan bagi menyokong keluarga Melayu/Islam yang menetap di flat sewa awam di seluruh kawasan M³@Bandar.

Menjawab pertanyaan BH, M³ ECO berkata rangkaian sokongan yang semakin berkembang telah membolehkan Projek Dian@M³ mendampingi lebih 900 isi rumah setakat Disember 2025, meningkat daripada 535 isi rumah pada 2024.

“Sukarelawan Projek Dian memainkan peranan penting dalam menyampaikan sokongan kepada keluarga di peringkat akar umbi, menangani jurang dalam penyampaian perkhidmatan serta memastikan tiada keluarga yang tercicir.

“Memandang ke hadapan, Projek Dian@M³ akan terus memperkukuh model yang dipacu sukarelawan, yang menjadi tunjang utama kejayaannya,” kata mereka.

Dalam responnys juga, M³ ECO berkata Projek Dian@M³ menambah nilai kepada skim nasional seperti ComLink+ dan langkah sokongan pemilikan rumah HDB.

Menerangkan lebih lanjut, M³ ECO menjelaskan bahawa inisiatif tersebut menyediakan pemahaman terhadap nuansa budaya yang diperlukan bagi menyokong masyarakat Melayu/Islam yang menetap di flat sewa awam secara lebih berkesan.

“Salah satu cabaran paling ketara ialah terdapat beberapa keluarga Melayu/Islam yang mungkin tidak tampil mendapatkan bantuan kerana bimbang akan stigma atau tidak pasti tentang sokongan yang ada untuk mereka.

“Dengan mengerahkan sukarelawan yang berkongsi latar belakang budaya serta mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat, inisiatif ini mampu membina kepercayaan, mengurangkan stigma dan mewujudkan suasana yang menggalakkan penglibatan yang bermakna,” kongsi M³ ECO.

Semasa menyampaikan ucapan Belanjawan 2026 itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata pakej tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, malah satu bentuk “kontrak sosial” yang mengiktiraf usaha keluarga untuk memperbaiki kehidupan mereka.

Ini seperti mendapatkan pekerjaan stabil, menabung untuk membeli rumah atau memastikan anak-anak mendaftar dan menghadiri prasekolah secara tetap, kata Encik Wong.