Sekurang-kurangnya sebulan sekali, Pusat Penjaja Jurong West, sebuah Pusat Penjaja Perusahaan Sosial (SEHC), kendalian JW50 Hawker Heritage, menganjurkan acara nyanyian, festival muzik dan bengkel kesihatan.

Bagi penjaja seperti Cik Noor Aisha Mohamed Ibrahim, 36 tahun, yang menjual makanan India Muslim di gerai Al Nadhira Indian Muslim Food, inisiatif sedemikian telah membantunya menarik lebih ramai pelanggan ke gerainya.

Beliau menghargai sokongan yang diberikan pengendali berbanding pengalamannya berniaga di sebuah kedai kopi.

Cik Noor Aisha telah berniaga di Pusat Penjaja Jurong West selama dua tahun sejak 2023.

Gerai pertamanya, yang beliau tubuhkan bersama suaminya, terletak di sebuah kedai kopi di Bukit Batok West Avenue 9 sebelum beliau berpindah ke sebuah medan selera di kawasan perindustrian di Henderson Road.

Selain membantu menarik lebih ramai pelanggan, Cik Noor Aisha berkata bahawa pengendali menawarkan sekitaran stabil dan memberi sokongan padu kepada penjaja.

“Pengendali cepat bertindak apabila ada kerosakan atau masalah penyelenggaraan.

Sebagai contoh, apabila paip longkang di gerai saya tersumbat, mereka akan panggilkan tukang paip. Kadang-kala, apabila saya lambat mendapat pinggan dan sudu garfu yang sudah dicuci, mereka akan bantu menyelesaikan masalah itu,” kata Cik Noor Aisha.

Beliau menambah bahawa pengendali juga menganjurkan sesi maklum balas pada setiap suku tahun, dikenali sebagai sesi Kumpulan Maklum Balas Penjaja, di mana para penjaja digalakkan menyuarakan keprihatinan mereka, manakala pengendali akan berkongsi maklumat terkini mengenai penambahbaikan yang telah dilaksanakan.

“Kami percaya semangat masyarakat dibina melalui penglibatan yang kerap dan pengalaman yang kami lalui bersama. Maka, kami menggalakkan komunikasi rapat dengan penjaja dengan sering melibatkan mereka dalam kegiatan yang dianjurkan dan mengadakan perbincangan jika sesuatu keputusan perlu dilakukan,” kata pengurus divisyen dari Chang Cheng Holdings Pte Ltd, Encik Henry Tan.

“Buat pelanggan, kami mencipta peluang untuk mereka berkumpul dan berinteraksi menerusi pelbagai acara kemasyarakatan dan sambutan perayaan di samping membantu menyokong penjaja tempatan kita.

“Antara acara tersebut termasuk sambutan Tahun Baru Cina, persembahan masyarakat dan kegiatan mesra keluarga seperti konsert mini, From Boon Lay With Love, acara mempromosikan makanan dan kempen musiman serta usaha bekerjasama dengan sekolah, akar umbi dan kumpulan setempat,” kata Encik Tan.

Selain itu, kadar sewa gerai yang berpatutan membantu menstabilkan perniagaan Cik Noor Aisha.

Kadar sewa gerai yang jauh lebih rendah di SEHC berbanding di kedai kopi dan medan selera perindustrian, telah membantu beliau mengekalkan harga makanannya.

Menurut NEA, pengendali tidak dibenarkan menaikkan kadar sewa atau meraih keuntungan daripada caj perkhidmatan yang disalurkan terus kepada pihak ketiga, seperti perkhidmatan pembersihan meja dan pencucian pinggan mangkuk berpusat sepanjang tempoh penyewaan.

Dasar ini memastikan para penjaja mempunyai gambaran penuh tentang kos yang perlu ditanggung ketika menandatangani perjanjian sewaan, sekali gus menyokong penyediaan pilihan makanan yang mampu milik kepada masyarakat.

Persekitaran inklusif di Pusat Penjaja Perusahaan Sosial

Pusat Penjaja Perusahaan Sosial pertama, Pusat Penjaja Ci Yuan, dibuka pada 2015 dan kini terdapat sebanyak 16 SEHC yang terletak di merata Singapura. 

Skim ini bermatlamat membantu pusat penjaja yang baru dibina mencapai kejayaan dengan memastikan kehadiran pengunjung yang berterusan, menawarkan pilihan makanan yang pelbagai bagi memenuhi keperluan yang sentiasa berubah, serta menjamin daya maju pusat penjaja tersebut dalam jangka panjang.

Matlamat ini dicapai dengan kerjasama antara pengendali makanan dan minuman yang berpengalaman dan penjaja yang berdedikasi. 

“Di JW50 Hawker Heritage Pte Ltd, Pusat Penjaja Jurong West bukan setakat sebuah ruang makan. Sebagai Pusat Penjaja Perusahaan Sosial, kami mewujudkan persekitaran inklusif, di mana penduduk dapat menikmati makanan bermutu pada harga berpatutan sementara penjaja diberi peluang untuk membina perniagaan yang mampan. Pada masa yang sama, kami turut memperkukuh hubungan masyarakat menerusi pelbagai program, acara dan kerjasama yang memberi manfaat kepada penduduk setempat,” kata Encik Tan.

Katanya lagi, Pusat Penjaja Jurong West komited untuk menyokong usahawan muda dalam industri perkhidmatan makanan menerusi Program Gerai Inkubasi (ISP) lakarannya sendiri. 

Menerusi inisiatif tersebut, pengendali itu bermatlamat menawarkan penjaja beraspirasi peluang untuk menimba pengalaman, mencipta ekosistem di mana penjaja muda dapat belajar daripada penjaja berpengalaman dan membantu membina perniagaan mereka.

Mereka turut menggalakkan inovasi, menyokong pendigitalan dan penggunaan pembayaran tanpa tunai.

Dalam usahanya untuk mengekalkan harga makanan yang berpatutan meskipun berdepan dengan kenaikan kos bahan, Cik Noor Aisha membina hubungan yang kukuh dengan pembekalnya yang beliau kenali sejak beliau memulakan perniagaan makanan.
Dalam usahanya untuk mengekalkan harga makanan yang berpatutan meskipun berdepan dengan kenaikan kos bahan, Cik Noor Aisha membina hubungan yang kukuh dengan pembekalnya yang beliau kenali sejak beliau memulakan perniagaan makanan. - Foto BH oleh KHALID BABA

 Memastikan semua orang mampu menjamu selera

Memilih untuk menjadi penjaja generasi muda, Cik Noor Aisha telah meninggalkan pekerjaannya dalam bidang korporat selama lima tahun selepas mendirikan rumah tangga bersama suaminya, yang sudah lama berkecimpung dalam bidang makanan dan minuman.

Mereka akhirnya memutuskan untuk menubuhkan sebuah gerai makanan India Muslim, menamakan gerai mereka sempena anak perempuan tunggal mereka.

Kini, Cik Noor Aisha membuka gerainya setiap hari dari 6.30 pagi hingga 9 malam, kecuali Ahad, di mana gerainya tutup pada 1.30 petang – menjual hidangan kegemaran ramai seperti prata dan tosai untuk sarapan; dan aneka jenis nasi dan mi goreng serta briyani untuk hidangan tengah hari dan malam.

Beliau juga menawarkan hidangan sihat dan nilai berharga $3 bagi set capati dengan kurma sayur atau tosai masala.

Hidangan nilai merupakan sebahagian daripada pilihan makanan yang ditawarkan di Pusat Penjaja Perusahaan Sosial pada pelbagai julat harga, selaras dengan misi pusat penjaja itu untuk menawarkan pilihan makanan yang berpatutan kepada masyarakat.

Pengendali mewajibkan setiap penjaja di SEHC menawarkan sekurang-kurangnya satu hidangan nilai, manakala membenarkan makanan lain dijual pada harga yang lebih tinggi.

Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), hidangan nilai menyumbang sekitar lima hingga 20 peratus daripada hidangan yang dijual di SEHC. 

Dalam usahanya untuk mengekalkan harga makanan yang berpatutan meskipun berdepan dengan kenaikan kos bahan, Cik Noor Aisha membina hubungan yang kukuh dengan pembekalnya yang beliau kenali sejak beliau memulakan perniagaan makanan.

“Sejujurnya, semua bekalan makanan dan gas saya telah meningkat harga, tetapi saya tetap berusaha mengekalkan harga makanan supaya saya dapat terus melayani pelanggan warga emas,” kata Cik Noor Aisha.

Gerai Cik Noor Aisha tersenarai dalam aplikasi digital baharu, AmiAPP yang dibangunkan oleh pengendali pusat penjaja. 
Gerai Cik Noor Aisha tersenarai dalam aplikasi digital baharu, AmiAPP yang dibangunkan oleh pengendali pusat penjaja.  - Foto BH oleh KHALID BABA

Pengendali sediakan aplikasi digital buat penjaja

Dalam era digital ini, Cik Noor Aisha tidak menggunakan media sosial untuk mempromosikan gerainya, walaupun beliau sedar terdapat pelanggan yang memuat naik gambar makanan dan gerainya di platform media sosial.

Namun begitu, beliau mengetahui bahawa gerainya tersenarai dalam aplikasi digital baharu, AmiAPP, yang dibangunkan oleh pengendali pusat penjaja. Aplikasi tersebut bertujuan meningkatkan kemudahan serta menawarkan nilai tambah kepada pelanggan dalam ekosistem pusat penjaja.

Melalui AmiAPP, pelanggan boleh menikmati diskaun sebanyak lima peratus bagi pembayaran yang dibuat menerusi aplikasi tersebut. Mereka juga boleh membuat tempahan awal makanan dengan mudah melalui kod QR yang disediakan di meja makan, sekali gus mewujudkan pengalaman menjamu selera yang lebih lancar dan mudah.

Apabila ditanya sama ada terdapat perkara yang ingin dilakukannya secara berbeza sepanjang mengendalikan perniagaannya, beliau hanya menjawab ringkas:

“Saya gembira di sini.”

Buka gerai halal pertama di Pusat Penjaja Perusahaan Sosial: pengendali beri sokongan padu kepada penjaja

Gerai Maxwell Chicken Rice di Pusat Penjaja Perusahaan Sosial, Pusat Penjaja Bukit Canberra menawarkan aneka hidangan seperti mi kari, nasi ayam panggang, nasi ayam putih, nasi kutlet ayam goreng dan mi sup bagi hidangan sarapan, tengah hari dan malam. 
Gerai Maxwell Chicken Rice di Pusat Penjaja Perusahaan Sosial, Pusat Penjaja Bukit Canberra menawarkan aneka hidangan seperti mi kari, nasi ayam panggang, nasi ayam putih, nasi kutlet ayam goreng dan mi sup bagi hidangan sarapan, tengah hari dan malam.  - Foto BH oleh KHALID BABA

Apabila Cik Chai Yoke Fong, 52 tahun, buat julung-julung kalinya mahu menubuhkan sebuah gerai makanan halal, beliau memilih untuk menyertai Pusat Penjaja Perusahaan Sosial (SEHC).

Menurutnya, ini membolehkan beliau menerokai persekitaran baru, meluaskan pengalaman dan membangunkan dirinya secara peribadi dan profesional – selepas beliau menimba pengalaman berharga dalam operasi harian, pengurusan stok serta mengendalikan pelbagai tuntutan ketika menjalankan sebuah gerai makanan secara berdikari di sebuah kedai kopi kejiranan.

Lantaran itu, beliau membuka gerai makanan halal pertamanya, Maxwell Chicken Rice, di Pusat Penjaja Bukit Canberra, kendalian Canopy Hawkers Group Pte Ltd, dua tahun lalu pada Mei 2024, dengan tujuan untuk menyajikan makanan bermutu dan berpatutan kepada masyarakat.

Gerainya kini popular dengan sajian mi kari, antara sajian sarapan yang telah mendapat pujian daripada pelanggannya. 

Selain itu, beliau menjual nasi ayam panggang, nasi ayam putih, nasi kutlet ayam goreng dan mi sup bagi hidangan tengah hari dan malam. 

Sejajar dengan misi utama pusat penjaja untuk menawarkan pilihan makanan yang berpatutan kepada masyarakat, beliau juga menawarkan sup bihun sebagai hidangan nilai pada harga $3.30, sejajar dengan misi pusat penjaja untuk menawarkan pilihan makanan yang berpatutan, yang telah mendapat sambutan baik daripada para pelanggan. 

Ramai pelanggannya terdiri daripada pelanggan tetap dan berulang, termasuk penduduk setempat, pekerja pejabat serta keluarga yang tinggal di kawasan tersebut.

Namun, untuk terus menyediakan makanan berpatutan kepada masyarakat, Cik Chai perlu bijak mengurus kos bahan, utiliti dan tenaga kerja yang kian meningkat. 

Beliau melakukan demikian dengan merancang pembeliannya dengan teliti, cuba mengurangkan pembaziran dan mengekalkan hubungan baik dengan pembekalnya. 

Mujurlah, pengendali memberi sokongan kepada penjaja dengan mencarikan pembekal yang menawarkan harga lebih berpatutan bagi bahan-bahan utama seperti beras, telur, minyak dan bahan keperluan lain, kata Cik Chai.

“Usaha ini membantu penjaja mengurangkan kos operasi dan mengurus perbelanjaan perniagaan mereka dengan lebih cekap. Sokongan pengendali menunjukkan komitmen mereka untuk membantu penjaja mengekalkan perniagaan mereka dan memelihara harga makanan yang berpatutan buat pelanggan,” kata Cik Chai. 

Pengendali Pusat Penjaja Bukit Canberra, Canopy Hawkers Group Pte Ltd mengukuhkan interaksi masyarakat di samping meningkatkan jumlah pelanggan di pusat penjaja itu dengan menganjurkan sekitar 12 acara dalam tempoh setahun termasuk meraikan perayaan utama warga Singapura.
Pengendali Pusat Penjaja Bukit Canberra, Canopy Hawkers Group Pte Ltd mengukuhkan interaksi masyarakat di samping meningkatkan jumlah pelanggan di pusat penjaja itu dengan menganjurkan sekitar 12 acara dalam tempoh setahun termasuk meraikan perayaan utama warga Singapura. -

Berusaha memahami keperluan pelanggan Melayu/Islam

Pengendali memang menghargai sumbangan para penjaja, kata pengurus pusat, dari Canopy Hawkers Group Pte Ltd, Encik Mr Lionel Chan.

“Kami berusaha mewujudkan persekitaran operasi yang mampan dan menyokong bagi menarik serta mengekalkan penjaja berpengalaman dan penjaja generasi baharu.

“Ramai daripada penjaja kami merupakan kumpulan pertama yang berniaga sejak pusat ini dibuka pada tahun 2022. Mereka telah melalui tempoh yang mencabar dan tidak menentu, berjaya mengekalkan perniagaan masing-masing, serta menerima sokongan berterusan daripada komuniti setempat.

“Maka, kami menghargai penjaja kami dan berharap mereka dapat terus menawarkan hidangan berpatutan kepada masyarakat sepanjang tempoh ini,” kata Encik Chan. 

Namun, selain memberi sokongan kepada penjaja, pengendali juga membolehkan pemegang kad Generasi Perintis, Generasi Merdeka dan ComCare mendapat diskaun apabila mereka membeli di gerai penjaja.

Dalam pada itu, pengendali cuba menggalakkan pelanggan mengamalkan tabiat pemakanan yang lebih sihat dengan mempromosikan pilihan makanan lebih sihat dan memaparkan maklumat kalori makanan menerusi inisiatif  ‘hidangan berkhasiat Canopy’ yang boleh didapati di setiap gerai penjaja. 

Bagi mengukuhkan interaksi masyarakat di samping meningkatkan jumlah pelanggan di pusat penjaja itu, pengendali akan menganjurkan sekitar 12 acara dalam tempoh setahun termasuk meraikan perayaan utama warga Singapura. 

Antara acara masyarakat yang telah dianjurkan pada tahun ini adalah sambutan Tahun Baru Cina, di mana pengendali menganjurkan pelbagai kegiatan seperti persembahan tarian singa, permainan memutar roda dan memberikan hadiah dan oren. 

Pada Ramadan lalu, pengendali telah memberikan kurma percuma kepada pelanggan Islam yang sedang berbuka puasa. 

“Acara sedemikian membantu menarik keluarga, penduduk dan pengunjung ke pusat penjaja, mencipta suasana jamuan yang lebih mesra dan menggalakkan lebih ramai pelanggan ke gerai. Dalam keadaan mencabar, usaha-usaha sedemikian amat membantu untuk perniagaan kecil seperti saya, kata Cik Chai. 

Acara-acara tersebut juga membantu mewujudkan kesedaran tentang gerai beliau di kalangan pelanggan Melayu/Islam.

Pengasas gerai Maxwell Chicken Rice, Cik Chai Yoke Fong mengikuti kelas di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebagai persediaan untuk peperiksaan pensijilan halal dan sentiasa mendapatkan maklum balas daripada pelanggan Muslim.
Pengasas gerai Maxwell Chicken Rice, Cik Chai Yoke Fong mengikuti kelas di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebagai persediaan untuk peperiksaan pensijilan halal dan sentiasa mendapatkan maklum balas daripada pelanggan Muslim. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Sebagai seorang bukan Islam yang mengendalikan gerai halal, saya berusaha keras untuk memahami keperluan halal dan mengekalkan piawaian yang betul.

“Setiap tahun, saya mengikuti kelas di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebagai persediaan untuk peperiksaan pensijilan halal dan sentiasa mendapatkan maklum balas daripada pelanggan Muslim saya.

“Saya terus mempelajari lebih lanjut tentang budaya dan amalan rakan-rakan Muslim dan pelanggan daripada pelbagai kaum dan latar belakang saya. Bagi saya, ia bukan sekadar mengusahakan perniagaan, tetapi juga menghormati budaya dan tradisi masyarakat yang kami layani untuk mendapatkan kepercayaan mereka,” kata Cik Chai.

Sejauh ini, segolongan besar pelanggannya terdiri daripada orang Melayu yang telah berkongsi bahawa mereka berasa yakin dan selesa mengunjungi gerainya kerana mereka dapat melihat keikhlasan dan usaha yang beliau lakukan untuk mengekalkan piawaian halal dengan betul.

“Kepercayaan dan sokongan berterusan mereka sangat bermakna bagi saya,” kata Cik Chai.
Bagi membantu penjaja menarik pelanggan, pengendali telah membangunkan program kesetiaan aplikasi mudah alih yang menawarkan baucar diskaun dan mata kesetiaan yang terkumpul melalui pembelian makanan dari pusat penjaja, di mana pelanggan boleh menebus makanan berdasarkan mata yang diperolehi.

Inisiatif tersebut telah disambut baik kerana ia memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan, menggalakkan pembelian dan kunjungan berulang, dan membantu menyokong penjaja melalui penglibatan pelanggan yang lebih kukuh dan kunjungan yang berterusan.

Apakah Pusat Penjaja Perusahaan Sosial?

Pusat Penjaja Perusahaan Sosial (SEHC) telah dibangunkan dengan tiga matlamat utama:

  1. Akses kepada pilihan makanan lebih berpatutan – Memastikan penduduk boleh mendapat pelbagai pilihan buat hidangan sarapan, tengah hari dan malam, di mana pengendali diwajibkan mengekalkan standard kemampuan harga sebagai sebahagian daripada komitmen mereka di bawah syarat tender.
  1. Mengurus campuran makanan yang baik – Memastikan setiap pusat penjaja menawarkan aneka pilihan makanan yang memenuhi keperluan masyarakat.
  1. Menarik pelanggan menerusi pelbagai kegiatan – Menganjurkan acara dan kegiatan untuk menarik pengunjung dan memastikan pusat penjaja kekal meriah dan sibuk 

Pendekatan tersebut membantu pusat penjaja berkembang maju secara ekonomi sambil memulihara peranan penting pusat penjaja sebagai ruang masyarakat yang menyajikan budaya makanan Singapura yang pelbagai.

Kini, terdapat 16 SEHC kendalian FairPrice Group, Timbre+Hawkers, Fei Siong Social Enterprise, Canopy Hawkers Group Pte Ltd dan JW50 Hawker Heritage. 

Secara keseluruhan, SEHC memberi manfaat kepada kededua penjaja dan pelanggan, dan pertubuhan mereka mantap di masyarakat dengan melebihi 90 peratus penghunian gerai pada 2025. 

Berdasarkan tinjauan-tinjauan yang dijalankan baru-baru ini, melebihi 80 peratus penjaja dan pelanggan yang ditinjau berpuas hati dengan pelbagai aspek pengurusan SEHC.

Rencana ini disampaikan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

-