Peruncit elektrik harus memaklumkan kepada isi rumah yang melanggani khidmatnya sebanyak dua kali apabila kontrak elektrik mereka tamat tempoh dan bakal diperbaharui semula secara automatik, di bawah ketetapan baru Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), mulai 19 Jun 2026.
Langkah itu bagi membolehkan pelanggan sedemikian mempunyai lebih banyak masa untuk bertindak sewajarnya, kata EMA dalam satu kenyataan pada 19 Disember.
Badan penyelia itu berkata peruncit elektrik harus berbuat demikian melalui kiriman pos, e-mel atau komunikasi elektronik seperti khidmat pesanan sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tempoh tamat kontrak dan dalam tempoh tiga hari dari tarikh pembaharuan kontrak secara automatik atau auto-renewal.
EMA menambah, tempoh tangguh untuk pelanggan membatalkan pembaharuan secara automatik dan mengelakkan caj tamat kontrak awal juga telah dinaikkan daripada 30 hari kepada 60 hari.
Pelaksanaan keperluan baru itu adalah bagi melindungi kepentingan isi rumah yang mempunyai kontrak elektrik dengan pembaharuan secara automatik.
“EMA menerima maklum balas daripada pengguna isi rumah, mereka terlepas notis pemberitahuan peruncit yang memaklumkan mereka mengenai pembaharuan kontrak secara automatik yang akan datang.
“Tambahan pula, apabila pengguna isi rumah sedar kontrak mereka telah diperbaharui secara automatik, ia berlaku selepas tempoh 30 hari, menyebabkan mereka tertakluk pada caj tamat kontrak awal di bawah kontrak yang diperbaharui,” kata EMA.
Buat masa ini, peruncit hanya perlu memaklumkan kepada pelanggan sekurang-kurangnya 10 hari sebelum kontrak elektrik tamat tempoh dan akan diperbaharui secara automatik, dengan pemberitahuan itu dilakukan sekali sahaja.
Sekitar 45,000 kontrak elektrik isi rumah diperbaharui secara automatik pada 2024, membentuk sekitar 15 peratus daripada pembaharuan tahunan bagi pengguna isi rumah, tambah EMA.
Keperluan baru itu tidak tertakluk kepada pengguna yang mendapatkan khidmat elektrik pada tarif terkawal daripada SP Group.
Ketua Eksekutif EMA, Encik Puah Kok Keong, berkata langkah yang diambil memastikan pelanggan isi rumah “mempunyai maklumat yang jelas dan tepat pada masanya sebelum kontrak elektrik mereka diperbaharui secara automatik”.
“Ini akan memperkasakan mereka untuk menilai pilihan pembelian elektrik dengan lebih baik dan memilih pelan elektrik pilihan mereka,” ujarnya.
Awal dari itu, EMA telah mengenakan peraturan lebih ketat untuk peruncit elektrik sejak Ogos 2023.
Peruncit elektrik mesti mempunyai modal berbayar minimum sekurang-kurangnya $1 juta apabila memohon atau memperbaharui lesen mereka.
Ia untuk memastikan peruncit sedemikian boleh dipercayai dan mempunyai kedudukan kewangan yang mencukupi, kata EMA.
Peruncit juga memerlukan kelulusan EMA dalam melantik jawatan penting, seperti ketua pegawai eksekutif.
Peraturan itu dikenakan apabila enam peruncit elektrik terpaksa keluar dari pasaran pada 2021, manakala dua yang lain menamatkan kontrak lebih awal, menyebabkan beberapa pelanggan terpaksa mencari pembekal alternatif.
EMA berkata rangka kerja kawal selia yang dipertingkat merupakan salah satu langkah untuk mengukuhkan struktur pasaran yang berdaya saing.
Pasaran tenaga elektrik Singapura telah dibuka kepada keluarga dan pemilik perniagaan kecil sejak April 2018 bagi memberikan mereka pilihan lebih luas dalam memilih peruncit tenaga elektrik.
Menukil laman web rasmi openelectricitymarket.sg yang dikendalikan pengendali grid dan bahan tenaga utama negara, SP Group, terdapat sekurang-kurangnya 10 peruncit elektrik yang menjual elektrik kepada pengguna isi rumah sehingga Disember.
Ia termasuk Geneco, Keppel Electric, Tuas Power, Sembcorp Power, Senoko Energy, PacificLight, Sunseap Energy, Diamond Electric, Union Power dan Flo Energy.
“
“EMA menerima maklum balas daripada pengguna isi rumah, mereka terlepas notis pemberitahuan peruncit yang memaklumkan mereka mengenai pembaharuan kontrak secara automatik yang akan datang. Tambahan pula, apabila pengguna isi rumah sedar kontrak mereka telah diperbaharui secara automatik, ia berlaku selepas tempoh 30 hari, menyebabkan mereka tertakluk pada caj tamat kontrak awal di bawah kontrak yang diperbaharui.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg