Singapura perlu membuat penilaian dan persiapan yang mencukupi sebelum ia membuat keputusan beralih kepada penggunaan tenaga nuklear.
Ini merangkumi penilaian teknologi nuklear secara terperinci, pembangunan dasar yang kukuh dan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat.
Demikian menurut Pengarah Pejabat Tenaga Nuklear Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Encik Darryl Chan, pada 29 Oktober.
Pejabat itu baru ditubuhkan untuk menerajui usaha Singapura dalam menilai penggunaan teknologi tenaga nuklear bagi penjanaan kuasa.
Encik Chan berkata demikian semasa perbincangan mengenai tenaga nuklear dalam Forum Singapura-Amerika Syarikat yang merupakan sebahagian daripada acara Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (Siew) ke-18.
Siew berlangsung dari 27 hingga 31 Oktober di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands.
Sebelum itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi merangkap Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata Singapura sedang membina ekosistem tempatan bagi tenaga nuklear.
Semasa berucap, beliau berkata pembentukan ekosistem itu tertumpu pada tiga teras utama – menyediakan badan pengawal seliaan pemerintah, bidang akademik yang khusus pada nuklear dan penglibatan sektor swasta.
Ini sedang Singapura menilai secara serius penggunaan tenaga nuklear di sini, tambahnya.
“Tenaga nuklear boleh mengubah keadaan pada masa hadapan (dalam penggunaan) tenaga kita. Tetapi ini bukan sekadar perbualan mengenai teknologi atau keupayaan. Ia adalah mengenai kepercayaan,” kata Dr Tan.
Ini lebih-lebih lagi dengan rantau Asia Tenggara yang tidak mempunyai sebarang kilang tenaga nuklear yang beroperasi buat masa ini, tambahnya.
Semasa perbincangan panel tersebut, Encik Chan berkata Singapura akan memberi tumpuan kepada teknologi lebih canggih.
Ini termasuk reaktor yang akan diberi lesen, dibina dan digunakan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, katanya.
Beliau berkata demikian dalam responsnya kepada moderator perbincangan itu dan juga ketua eksekutif Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-Asean, Encik Brian McFeeters, yang bertanya tentang keutamaan tenaga nuklear Singapura dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Singapura masih belum membuat sebarang keputusan mengenai penggunaan tenaga nuklear.
Namun, ia sedang giat menilai sama ada jenis tenaga sedemikian boleh menjadi pilihan yang boleh dilaksanakan pada masa hadapan.
Khususnya, negara ini sedang memantau perkembangan teknologi nuklear berkaitan reaktor modular kecil (SMR).
Ini merupakan reaktor canggih dan padat yang boleh dipasang di kilang dan kemudian digunakan di kawasan bandar yang padat.
Ia juga difahamkan lebih selamat berbanding reaktor tradisional yang besar, tetapi masih dalam fasa penyelidikan.
Encik Chan berkata dalam mengkaji teknologi ini, Singapura berharap dapat bekerjasama dengan vendor teknologi untuk “mengkaji dan membuat keputusan lebih baik berkaitan fungsi teknologi ini”.
Ini bermakna bukan memahami teknologi tersebut semata-mata, tetapi memastikan sistem keselamatan untuk reaktor canggih sebegini boleh berfungsi dalam apa jua keadaan.
Dalam pada itu, Dr Tan berkata Singapura sedang mengambil langkah untuk “memastikan masa depan” grid kuasanya memandangkan keperluan tenaganya dijangka semakin kompleks.
Ini lebih-lebih lagi dengan rancangan Singapura untuk mengimport tenaga boleh diperbaharui, serta permintaan elektrik lebih tinggi dari pusat data dan kenderaan elektrik.
Semasa berucap dalam acara berasingan iaitu di Persidangan Industri Bekalan Kuasa Elektrik, beliau berkata Singapura merancang untuk mengimport enam gigawatt kuasa bersih menjelang 2035, sekali gus mewujudkan keperluan untuk kabel penghantaran kuasa rentas sempadan yang panjang.
Singapura juga perlu menguruskan ketidaktentuan kuasa solar dan angin yang diimport, kerana output kuasa mungkin berbeza-beza mengikut keadaan cuaca.
Ini memberi cabaran operasi baru kepada grid tenaga, tambah beliau.
“Permintaan elektrik Singapura dijangka meningkat secara ketara dengan pertumbuhan beban intensif elektrik, seperti pusat data dan kenderaan elektrik.
“Pengurusan grid akan menjadi lebih kompleks dengan profil beban baru ini,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg