Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Australia meterai MOU perkukuh kerjasama tenaga

Perjanjian termasuk perkongsian amalan kawal selia pasaran gas, elektrik
Oct 28, 2025 | 5:42 PM
MOU, s’pura, australia, tenaga
Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi merangkap Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng (kiri), menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) pada 28 Oktober antara Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dengan Pengawal Selia Tenaga Australia (AER) yang ditandangani Ketua Eksekutif EMA, Encik Puah Kok Keong (dua dari kiri); dan Timbalan Pengerusi AER, Encik Justin Oliver (dua dari kanan). Di sisi mereka ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Singapura, Encik Allaster Cox. - Foto EMA

Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Pengawal Selia Tenaga Australia (AER) pada 28 Oktober bagi memperkukuh pertukaran kawal selia dan kerjasama bersangkutan tenaga.

MOU tersebut dimeterai semasa Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (Siew) ke-18 yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands, dari 27 hingga 31 Oktober.

Menurut kenyataan EMA pada 28 Oktober, perjanjian itu melakar rangka kerja bagi kedua-dua badan pengawal selia untuk menggalakkan kerjasama dan perkongsian amalan kawal selia mengenai pasaran gas dan elektrik.

Ini di samping memudahkan pertukaran pengetahuan yang lebih besar mengenai teknologi rendah karbon dan memperdalam kerjasama bagi platform pelbagai hala demi menyokong peralihan tenaga Asia-Pasifik.

Kegiatan kerjasama di bawah perjanjian itu termasuk perkongsian pengetahuan dan pengalaman, program latihan dan pertukaran, serta dialog antara EMA dengan AER.

Ketua Eksekutif EMA, Encik Puah Kok Keong, berkata pengawal selia tenaga memainkan peranan penting terhadap usaha peralihan tenaga.

“EMA teruja dapat memperdalam kerjasama kami dengan AER mengenai amalan terbaik kawal selia dan teknologi tenaga rendah karbon.

“Ini meneruskan rentak kerjasama tenaga dua hala kami yang hebat dan hubungan diplomatik ke-60 antara Singapura dengan Australia,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi AER, Encik Justin Oliver, berkata melalui perkongsian kepakaran dan pengalaman ini, ia dapat memperkukuh usaha menyokong keselamatan tenaga dan peralihan tenaga bagi seluruh rantau Asia Tenggara.

Keselamatan tenaga merupakan sesuatu yang diketengahkan Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi merangkap Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Selain jalinan kerjasama antara EMA dengan AER, beliau berkata Singapura akan memperkukuhkan keselamatan tenaga melalui penubuhan syarikat GasCo dan terminal gas asli cecair (LNG) yang kedua di sini.

Ketika berucap di forum Singapura-Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) sempena hari kedua Siew, pada 28 Oktober, beliau berkata:

“GasCo akan menyatukan pemerolehan gas bagi mendapatkan bekalan dengan harga yang berdaya saing untuk sektor kuasa, manakala terminal (LNG) baru ini akan meningkatkan kapasiti import sebanyak 50 peratus.

“Ini di samping membolehkan Singapura mengimport gas dari sumber sejagat.

“Kedua-dua ini secara bersama akan memastikan sistem tenaga di sini kekal teguh, mudah lentur dan bersedia untuk menyokong peralihan Singapura ke arah masa hadapan yang lebih bersih dan mapan.”

GasCo adalah syarikat yang ditubuhkan pada Mei 2025 untuk menyatukan pembelian dan bekalan gas asli bagi sektor tenaga supaya bekalan mantap dan selamat pada harga yang berdaya saing.

Ia dimiliki sepenuhnya oleh pemerintah dan bertujuan menggabungkan permintaan daripada syarikat penjanaan kuasa dan merundingkan kontrak gas yang lebih baik.

Terminal LNG kedua pula dikendalikan oleh Singapore LNG Corporation (SLNG) di Pelabuhan Jurong dan dijangka menghasilkan daya pengeluaran sehingga lima juta tan setiap tahun (mtpa) iaitu pengembangan sekitar 50 peratus daripada kapasiti terminal sedia ada.

Sementara itu, pada hari kedua Siew, antara lain, ia turut menyaksikan pembangunan draf rangka kerja yang dijangka memudahkan perdagangan rentas sempadan bagi Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) di Asia Tenggara.

Ia dibangunkan Singapura bersama-sama penetap piawaian antarabangsa untuk atribut tenaga, kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), EMA dan Yayasan Piawaian Penjejakan Antarabangsa, dalam satu kenyataan bersama pada 28 Oktober.

Ini bermakna syarikat di Singapura boleh membeli REC yang berasal daripada sumber tenaga boleh diperbaharui di negara jiran dan membuat tuntutan eksklusif ke atas pelepasan mereka disebabkan pembelian elektrik.

Sungguhpun syarikat sudah dapat membeli REC di luar negara, adalah rumit untuk menjejak atribut terhadap alam sekitar merentas sempadan disebabkan oleh perbezaan dalam peraturan pemerintah bagi seluruh rantau Asean, tambah kenyataan itu.

“EMA (Penguasa Pasaran Tenaga) teruja dapat memperdalam kerjasama kami dengan AER (Pengawal Selia Tenaga Australia) mengenai amalan terbaik kawal selia dan teknologi tenaga rendah karbon. Ini meneruskan rentak kerjasama tenaga dua hala kami yang hebat dan hubungan diplomatik ke-60 antara Singapura dengan Australia.”
Encik Puah Kok Keong, Ketua Eksekutif Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg