Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesalah bakal sambut Hari Raya bersama keluarga

Mar 25, 2025 | 11:54 PM
Meskipun baru pertama kali melakukan kesalahan, Nizar bertekad membuktikan kepada orang tersayang bahawa dia tidak akan mengulangi kesilapan lalu. Dia merancang menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarganya serta merancang perjalanan keluarga selepas tamat program memakai alat pantauan elektronik  sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka.
Meskipun baru pertama kali melakukan kesalahan, Nizar bertekad membuktikan kepada orang tersayang bahawa dia tidak akan mengulangi kesilapan lalu. Dia merancang menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarganya serta merancang perjalanan keluarga selepas tamat program memakai alat pantauan elektronik sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka. - Foto BH oleh KHALID BABA

Pada hari pertama berbuka puasa bersama rakan sepenjara, Nizar (bukan nama sebenar) terkenangkan masakan ibunya dan detik indah yang dilalui bersama isterinya di meja makan mereka.

Apatah lagi dengan Hari Raya bakal menjelang, pesalah berusia 34 tahun itu menanti dengan penuh debaran dan kerinduan untuk kembali ke pangkuan keluarganya.

“Saya biasanya berbuka puasa bersama keluarga pada hari pertama Ramadan. Namun, ini adalah kali pertama saya berbuka puasa tanpa keluarga (di sisi). Meskipun saya rasa saya masih okay, ia adalah cabaran terbesar yang saya perlu hadapi.

“Saya berbuka puasa bersama rakan sel saya di sini. Kami duduk di dalam sel dan makan makanan penjara bersama-sama,” kongsi Nizar.

Anak bongsu daripada empat beradik itu menghitung hari menjelang 28 Mac, apabila dia akan ditempatkan dalam program berasaskan masyarakat tepat pada masanya untuk sambut Hari Raya.

Di bawah program ini, Nizar dibenarkan pulang ke rumah, namun perlu memakai alat pantauan elektronik dengan pergerakannya dihadkan.

Justeru Hari Raya tahun ini amat bermakna – memandangkan ia menandakan kepulangan Nizar ke rumah setelah enam bulan meringkuk di penjara.

Nizar dijatuhkan hukuman penjara selama setahun kerana penyalahgunaan dadah pada September 2024.

Meskipun baru pertama kali melakukan kesalahan, dia mengakui bahawa masa di penjara telah memberi peluang kepadanya untuk merenung kembali kesilapan yang telah dilakukannya.

Lantas perkara pertama yang terlintas di lubuk fikirannya adalah untuk berbincang bersama keluarganya dan meyakinkan mereka bahawa dia tidak akan kembali terjerumus dalam kancah dadah.

“Saya ingin habiskan banyak masa di luar bersama mereka (keluarga) dengan melakukan aktiviti bersama seperti bersukan dan membuktikan kepada mereka yang saya bukan seperti dahulu,” tambahnya.

Nizar juga memberitahu Berita Harian (BH) bahawa apabila dibebaskan dari penjara kelak, dia ingin bersatu semula dengan isterinya.

Menurutnya hubungannya dengan isterinya amat rapat, maka dia bertekad menghabiskan lebih banyak masa dengan pasangan hidupnya itu.

“Perkara pertama yang saya nak buat sudah tentu, peluk dan cium isteri saya. Setahu saya, ini adalah paling lama saya berpisah dengan beliau,” tambahnya.

Pada 25 Mac, Nizar serta beberapa pesalah lain berpeluang berbuka puasa dengan kurma dan air putih bersama Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim di Pusat Pemulihan Dadah (DRC) di Institusi S1, Kompleks Selarang Park.

Para banduan kemudian dihidangkan sajian nasi, ayam bakar dan sayur sawi di sel kurungan masing-masing.

Namun Nizar akur dirinya tetap rindukan masakan ibunya, apatah lagi yang sering dihidangkan di rumah ketika Hari Raya.

“Saya rindu masakan rendang daging, sambal goreng, sambal sotong ibu saya dan tidak lupa, serunding,” kongsi Nizar.

Di sebalik menyambut Hari Raya yang bakal menjelang, Nizar bertekad untuk membina semula kehidupannya dengan menunjukkan kepada keluarganya bahawa dia tidak akan mengulangi kesilapan lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg