Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

601 banduan penjara M’sia dibebaskan sempena Aidilfitri

Mar 25, 2025 | 11:57 AM
Banduan di Penjara Marang, Terengganu, antara 601 yang dibebaskan pada 24 Mac daripada 34 penjara seluruh Malaysia, menerusi Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Aidilfitri.
Banduan di Penjara Marang, Terengganu, antara 601 yang dibebaskan pada 24 Mac daripada 34 penjara seluruh Malaysia, menerusi Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Aidilfitri. - Foto BERNAMA

KAJANG (Selangor): Syawal 2025 menjadi sambutan paling bermakna buat 601 banduan daripada 34 penjara di seluruh Malaysia, apabila mereka dibebaskan pada 24 Mac menerusi Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani sempena Aidilfitri.

Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara, Pesuruhjaya Penjara Zainah Pardi, berkata mereka yang dibebaskan berumur lingkungan 21 hingga 68 tahun, dengan empat daripadanya wanita.

Beliau berkata kebanyakan banduan yang dibebaskan melibatkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya dan peluang kedua diberikan kepada banduan yang menunjukkan perubahan positif sepanjang menjadi penghuni penjara.

“Seperti pemberian PBSL sebelum ini, prospek yang diberikan PBSL ini akan dipantau oleh 100 Pusat Pegawai Parol Daerah di seluruh negara bagi memastikan mereka berada di dalam kawasan yang ditetapkan sepanjang tempoh pemantauan.

“Sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB), mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan tidak mengulangi kesalahan lampau,” katanya selepas majlis penyerahan BPSL Ihsan Madani di Kompleks Penjara Kajang, Selangor, lapor Berita Harian Malaysia.

Cik Zainah menjelaskan antara syarat yang membolehkan seseorang banduan diberikan PBSL ialah individu itu mestilah menjalani hukuman penjara di bawah tiga tahun, telah melalui program pemulihan di dalam penjara, berkelakuan baik dan sihat tubuh badan.

Tempoh pemantauan PBSL pula berbeza mengikut individu kerana ia bergantung kepada baki hukuman seseorang pesalah dengan tempoh paling singkat yang pernah diberikan ialah 10 hari, manakala paling lama dua tahun.

“Dalam tempoh pemantauan PBSL itu, lazimnya terdapat majikan yang berminat mengambil mereka ini bekerja dan OBB perlu mendapatkan perakuan daripada penjara terlebih dulu bagi tujuan berkenaan.

“Sebahagiannya akan ditempatkan di syarikat swasta dan mereka akan dibayar gaji minimum sepertimana yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata pemberian PBSL terbanyak sempena Aidilfitri 2025 melibatkan Penjara Kluang di Johor dengan 68 banduan, manakala paling sedikit Penjara Sungai Petani, Kedah, iaitu hanya seorang banduan.

Seorang banduan yang hanya dikenali sebagai Idris bersyukur diberikan BPSL yang membolehkannya keluar daripada penjara lebih awal berbanding tarikh sebenar tamat hukuman pada 4 Jun 2025.

Lebih manis, lelaki yang dipenjarakan kerana kesalahan dadah itu ditawarkan pekerjaan di sebuah restoran di Putrajaya yang turut menyediakan kemudahan tempat tinggal sepanjang tempoh menjalani PBSL.

“Saya amat bersyukur dapat keluar menjelang sambutan Aidilfitri dan ada majikan yang sudi menawarkan pekerjaan kepada orang seperti saya. Saya tidak akan sia-siakan peluang kedua ini dan akan melakukan yang terbaik demi tiga anak saya,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg