Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesanan SMS dari polis, bank jaya tangkis penipuan lebih $47j

Jul 5, 2024 | 5:47 PM
Polis dan bank menggunakan teknologi bagi membantu kenal pasti pelanggan bank yang berpotensi menjadi mangsa penipuan.
Polis dan bank menggunakan teknologi bagi membantu kenal pasti pelanggan bank yang berpotensi menjadi mangsa penipuan. - Foto ST

Pusat Anti-Penipuan (ASC) dan enam bank di sini telah mengeluarkan amaran berjaga-jaga kepada lebih 9,810 pelanggan bank bagi mengelakkan kerugian sebanyak $47 juta.

Dalam satu kenyataan semalam, pihak polis berkata ia telah bekerjasama dengan DBS Bank, UOB, OCBC Bank, Standard Chartered Bank, HSBC, dan Bank GXS dalam gerakan berselaras itu yang dijalankan sekitar dua bulan, antara 1 Mei dengan 30 Jun.

Para pegawai ASC dan bank-bank berkenaan telah menghantar lebih 13,984 pesanan ringkas (SMS) kepada lebih 9,810 pelanggan bank-bank tersebut yang berpotensi menjadi mangsa penipuan.

Teknologi Automasi Proses Robotik (RPA) digunakan dalam operasi yang diselaraskan itu bagi mengesan bakal mangsa penipuan berkaitan pekerjaan, pelaburan, panggilan rakan palsu dan e-dagang.

Teknologi RPA menggunakan bot atau kecerdasan buatan untuk menganalisis data bagi mengenal pasti corak, anomali atau kejanggalan, dan trend yang mungkin menunjukkan adanya penipuan.

Teknologi ini memperkemas pemprosesan dan perkongsian maklumat, kata polis.

Sebaik sahaja aktiviti yang mencurigakan dikesan, polis dan bank dapat campur tangan dengan cepat dan memaklumkan penerima melalui mesej teks supaya mereka boleh menghentikan pemindahan kewangan selanjutnya.

Pengesanan awal bagi mencari mereka yang berpotensi menjadi mangsa, telah berjaya memutuskan lebih daripada 2,805 kejadian penipuan yang sedang berlaku.

Polis menggalakkan orang ramai supaya melindungi diri mereka daripada ditipu dengan menambahkan ciri keselamatan seperti pengesahan dua faktor pada peranti elektronik dan aplikasi perbankan mereka, menyemak tanda-tanda penipuan serta memaklumkan pihak berkuasa dan pihak lain tentang sebarang penipuan yang sedang berlaku.

“Jika ada sesuatu yang bunyinya terlalu bagus, ia mungkin memang tidak benar, dan satu penipuan,” kata polis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg