Mulai 5 Disember, kira-kira tiga juta rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas pada 2026 akan menerima bayaran tunai antara $100 dengan $600 sebagai sebahagian daripada Pakej Jaminan yang dipertingkatkan yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.
Namun, bagi Encik Abdullah Ali, 76 tahun, pesara, beliau menganggap Pakej Jaminan tersebut sebagai penghargaan buat warga Singapura, khususnya warga emas yang telah lama berkhidmat untuk negara.
Beliau – yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) 4-bilik di Marsiling dengan isterinya, Cik Kalsom Abu Bakar, 75 tahun, suri rumah, bersama anak bujangnya, Encik Azhari Abdullah – pernah berkhidmat selama 45 tahun dengan sebuah agensi pemerintah, sebelum bersara pada 2014.
Encik Abdullah mempunyai empat anak yang lain, yang sudah berumah tangga dan tidak lagi menetap bersama beliau.
“Untuk warga dan keluarga yang tak bekerja lagi seperti saya, saya amat berterima kasih kepada pemerintah kerana pakej ini dapat membantu golongan pesara dan warga yang lain.
“Ini pun, saya tidak mahu membazir. Ia membantu saya dalam perbelanjaan makanan, barangan rumah dan keperluan barangan yang lain.
“Kita belanja apa yang perlu dengan sebaik mungkin,” kata Encik Abdullah.
Pembayaran tunai itu adalah sebahagian daripada Pakej Jaminan yang dipertingkatkan, dengan jumlah yang diagihkan bergantung pada pendapatan yang boleh dinilai dan bilangan hartanah yang dimiliki.
Ia bertujuan membantu menampung kos sara hidup isi rumah Singapura dan menyediakan lebih banyak sokongan untuk keluarga berpendapatan rendah hingga sederhana, kata Kementerian Kewangan (MOF) pada 7 November.
Semasa dihubungi Berita Harian (BH) pada 7 November, Encik Abdullah berkata bayaran tunai dari Pakej Jaminan itu akan saling melengkapi dengan bayaran bulanan yang beliau terima menerusi CPF Life (Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Yang Lanjut Usia) iaitu sebanyak kira-kira $1,000.
Itu pun, katanya, akan dibelanjakan dengan cermat.
“Saya hanya belanja sebulan sekali, itu pun kalau ada keperluan.
“Tapi, kadang-kadang, apabila anak-anak dan cucu datang, isteri saya akan masak lebih dan saya akan belanja lebih sedikit untuk keluarga,” katanya.
Pakej Jaminan kali pertama diumumkan pada 2020 dengan penambahan sebanyak $6 bilion dan ditambah lagi sebanyak $640 juta semasa Belanjawan 2022 untuk mengimbangi kesan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Semasa Belanjawan 2023, pakej tersebut ditambah lagi sebanyak $3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan yang diagihkan kepada $9.6 bilion.
Penambahbaikan selanjutnya telah dibuat dan kini ia menyediakan lebih daripada $10 bilion dalam bentuk pembayaran tunai, tokokan MediSave dan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), serta rebat U-Save tambahan dan rebat GST kepada isi rumah.
Mereka yang menghubungkan Kad Pengenalan Pendaftaran Kebangsaan (NRIC) mereka kepada PayNow sebelum 23 November, akan menerima pembayaran terlebih dahulu, menjelang 5 Disember, kata MOF.
Sementara itu, mereka yang belum menghubungkan NRIC mereka kepada PayNow, tetapi mempunyai akaun bank DBS, POSB, OCBC atau UOB, boleh memberikan maklumat akaun bank mereka di laman web GovBenefits sebelum 29 November, untuk menerima pembayaran tunai melalui Giro menjelang 16 Disember.
Bagi mereka yang tidak menghubungkan NRIC mereka kepada PayNow, atau tidak mempunyai akaun bank yang sah, golongan ini akan menerima pembayaran mereka melalui GovCash menjelang 22 Disember.
MOF berkata penerima yang layak akan dimaklumkan melalui SMS dengan pengenalan pengirim gov.sg.
Mesej tersebut akan dihantar sebelum dan selepas pembayaran tunai dikreditkan.
Mereka yang ingin mengetahui kelayakan untuk pembayaran tersebut boleh melayari govbenefits.gov.sg untuk maklumat lanjut, atau hubungi 1800-2222-888.
“
“Untuk warga dan keluarga yang tak bekerja lagi seperti saya, saya amat berterima kasih kepada pemerintah kerana pakej ini dapat membantu golongan pesara dan warga yang lain.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg