Pemerintah kekal komited membantu rakyat Singapura menangani tekanan kos sara hidup dan akan mengambil langkah yang diperlukan untuk membantu mereka mengharungi masa sukar seberapa lama yang diperlukan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Bercakap dalam satu video mengenai kebimbangan rakyat tentang kenaikan kos pada 3 Mac, Encik Wong memberi jaminan bahawa pemerintah akan memastikan terdapat sumber mencukupi bagi menangani cabaran ekonomi, termasuk menyediakan penjagaan lebih baik untuk warga emas.
“Harga barang semakin meningkat, dan ini memberi kesan kepada banyak keluarga.
“Kenaikan ini dapat dirasai dalam perbelanjaan harian, baik ketika membeli barang keperluan, membayar bil, mahupun menguruskan kos sara hidup,” kata Encik Wong yang juga Menteri Kewangan.
Maka itu, pemerintah menyediakan bantuan tambahan seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025, bagi mengurangkan kos sara hidup.
Ia termasuk Pakej SG60 khas, yang memberi baucar $600 kepada semua rakyat Singapura berusia antara 21 dengan 59 tahun pada 2025, manakala warga emas berusia 60 tahun dan ke atas akan menerima $800.
Selain itu, setiap isi rumah bakal menerima baucar CDC sebanyak $800, dengan $500 akan diagihkan pada Mei dan baki $300 pada Januari 2026.
“Kita akan terus melakukan apa yang perlu untuk membantu rakyat Singapura menghadapi masa-masa sukar ini, seberapa lama yang diperlukan,” ujar Encik Wong, yang mengakui sesetengah pihak bertanya sama ada kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) memburukkan lagi keadaan kos sara hidup.
Namun, beliau menegaskan bahawa “hakikatnya, apa yang kita hadapi ini menjangkaui GST”.
Encik Wong menjelaskan tekanan inflasi didorong faktor sejagat seperti peperangan dan gangguan rantaian bekalan, sambil menekankan bahawa tiada negara terkecuali daripada kesannya.
Singapura turut rasai tekanan yang sama, terutama sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka yang bergantung pada import bagi hampir semua keperluan, tambah beliau.
Mengimbas kembali awal dekad ini, Encik Wong berkata Singapura berdepan ketidaktentuan besar dalam menangani pandemik Covid-19, dengan banyak perkara tidak diketahui, termasuk tempoh pandemik itu, mutasi virus, dan gelombang jangkitan seterusnya.
Kewangan negara ini ketika itu amat terjejas, dan pemerintah terpaksa mendapatkan kelulusan Presiden untuk menggunakan rizab negara sebanyak lima kali.
“Kami tidak pasti sama ada kami mempunyai sumber yang mencukupi untuk pulih daripada Covid-19, mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat, dan menjaga kebajikan warga emas.
“Kami juga tidak tahu sejauh mana defisit fiskal yang akan kami tanggung,” kata Encik Wong.
Menurutnya, keputusan untuk menaikkan GST “bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi ia merupakan langkah yang perlu dan bertanggungjawab”, yang hanya dilaksanakan setelah ekonomi menunjukkan tanda pemulihan yang stabil.
Namun, untuk mengurangkan kesan kenaikan cukai itu, pemerintah memberi Pakej Jaminan bagi menangguhkan kesan GST kepada ramai rakyat Singapura.
“Kita tahu bahawa setiap bentuk sokongan adalah penting, dan kami akan sentiasa bersama anda,” kata Encik Wong yang menjelaskan bahawa pakej tersebut dipertingkatkan beberapa kali bagi memberikan perlindungan tambahan terhadap kenaikan kos hidup.
Pakej Jaminan, yang pertama kali diumumkan dalam Belanjawan 2020, pada asalnya menyediakan $6 bilion untuk mengurangkan kesan kenaikan GST kepada rakyat Singapura.
Selepas beberapa penambahbaikan, jumlah bantuan kini melebihi $10 bilion, merangkumi pembayaran tunai, tambahan MediSave, Baucar CDC, serta rebat U-Save dan bayaran khidmat serta penyelenggaraan (S&CC) tambahan kepada isi rumah di seluruh negara.
Beliau menegaskan bahawa pemerintah akan memastikan sumber yang mencukupi untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
Ini termasuk memberikan penjagaan yang lebih baik kepada warga emas serta bersiap sedia menghadapi dunia yang semakin berisiko, bergolak, dan tidak menentu.
“Inilah kita sebagai rakyat Singapura: kita saling menjaga, kita mengatasi cabaran bersama, dan kita melakukan segala yang mampu untuk memastikan keajaiban Singapura terus berlanjutan, generasi demi generasi,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg