Singapura akan terus meningkat keupayaan maritimnya pada tahun-tahun mendatang, termasuk pemerolehan pesawat baru untuk melengkapi pesawat ronda maritim P-8 Poseidon Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, berkata demikian semasa lawatannya ke Pangkalan Tentera Udara Mountain Home (MHAFB) di Idaho, Amerika Syarikat, pada 12 September.
Beliau menjelaskan bahawa pesawat P-8, yang dijangka mula berkhidmat pada awal 2030-an, bukan sekadar menggantikan aset sedia ada.
Beliau berkata: “Kita tidak memberi tumpuan pada aset semata-mata, sebaliknya pada keupayaan.
“Kini, keupayaan yang kita perlukan ialah meningkatkan keupayaan situasi dalam persekitaran keselamatan maritim yang mencabar. Dan seperti yang kita tahu, persekitaran ini telah banyak berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”
Mengakui bahawa persekitaran maritim kini menjadi “lebih sesak dan lebih tidak tersusun”, beliau menekankan pentingnya bagi Singapura mengekalkan gambaran menyeluruh tentang laluan laut di sekitarnya.
Beliau menjelaskan:
“Untuk memiliki keupayaan situasi yang baik, kita memerlukan pelbagai keupayaan termasuk apa yang boleh diperoleh dengan P-8, tetapi juga keupayaan lain yang boleh melengkapi kemampuan P-8. Ini dapat meningkatkan keupayaan situasi dalam sekitaran keselamatan maritim.”
Ini kerana “setiap platform membawa keupayaan yang berbeza”.
Meskipun tidak menjelaskan aset-aset lain yang ingin diperolehi, Encik Chan menegaskan bahawa pemerolehan aset termasuk P-8 dan aset-aset lain pada masa hadapan, berdasarkan keperluan operasi dan keberkesanan kos.
“Apabila SAF memerlukan sesuatu, kita tidak hanya melihat pada kos permulaan. Kita juga mengambil kira kos jangka panjang sepanjang tempoh hayat platform.
“Ia juga termasuk keupayaan kejuruteraan, agar setiap dolar pertahanan dimanfaatkan sepenuhnya,” tambah beliau.
Singapura mengumumkan bahawa ia akan memperoleh empat pesawat peronda maritim P-8 Poseidon, dengan penghantaran dijangka pada awal 2030-an.
Pesawat tersebut bakal meningkatkan keupayaan SAF untuk memantau kegiatan maritim, mengesan potensi ancaman dan bertindak balas dengan pantas terhadap insiden di laut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg