Di langit luas Idaho di Amerika Syarikat, pesawat pejuang F-15SG dan F-16 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) berlegar pantas pada altitud tinggi, manakala helikopter AH-64D Apache berterbangan di altitud lebih rendah.
Pada masa yang sama, pesawat tanpa pemandu (UAV) Heron 1 berterbangan berjam-jam lamanya di lapisan pertengahan udara, sementara dron kecil seperti Skydio X10, Ascent Spirit dan Neros Archer, terbang lebih dekat dengan permukaan bumi untuk meninjau lebih dekat sekitar medan latihan.
Demikian sekilas gambaran Latihan Forging Sabre 2025 (XFS25), yang menyaksikan kerjasama antara peralatan tentera tanpa manusia dengan yang dikendalikan manusia dalam operasi serangan moden dapat disaksikan.
Ia merupakan detik kenderaan canggih yang disifatkan persis ‘mata di langit’ digandingkan dengan lancar bersama peralatan terkini, yang dianggap seperti ‘mata di bumi.’
Heron 1, yang sering digelar sebagai ‘mata setia SAF di langit’, mampu terbang sehingga 36 jam tanpa henti bagi menyediakan pemantauan kawasan luas serta menandakan sasaran bagi menjurus serangan untuk pesawat pejuang.
Juruterbang F-16C/D, Kapten Javier Tan Jun Juan, 30 tahun, berkata:
“Apabila sasaran bergerak masuk ke tempat perlindungan, pesawat pejuang tidak lagi mempunyai ‘mata’ ke atas sasaran tersebut.
“Pada ketika itu, dron mengambil alih dan memainkan peranan sebagai ‘mata di bumi’ untuk terus mengekori dan memantau sasaran yang tersembunyi atau bergerak di celah-celah bangunan atau kawasan terlindung.”
Justeru, apabila ia ingin menyerang, Heron 1, akan mengeluarkan pancaran laser ke arah sasaran.
Dalam pada itu, pesawat pejuang F-16 yang membawa bom turut dilengkapi penderia laser.
Apabila bom dilepaskan, ia akan ‘mengunci’ pancaran cahaya tersebut sehingga tepat pada sasaran.
Dalam erti kata lain, seumpama seekor kucing yang mengejar pancaran cahaya laser apabila ia diacukan ke arahnya.
Setiap aset memainkan peranan berbeza namun saling melengkapi.
Antara ciri lain, Heron 1, mampu berada lama di udara serta memberi kesedaran tentang keadaan sekitar dari altitud tinggi, sementara dron mikro dan mini berupaya mengenal pasti sasaran dari jarak dekat.
F-15SG pula mampu mencapai kelajuan Mach 2.5 dan membawa pelbagai senjata serangan udara-ke-darat.
Manakala F-16, yang dinaik taraf dengan sistem avionik moden, menawarkan kelincahan dan kelenturan untuk misi serangan taktikal serta pertahanan udara.
Melengkapkan kedua-dua pesawat pejuang itu ialah helikopter AH-64D Apache yang terbang di altitud lebih rendah daripada Heron 1.
Helikopter AH-64D Apache berfungsi sebagai helikopter serangan jarak dekat dan terbang rendah untuk memberi sokongan udara menggunakan meriam 30 milimeter (mm), roket dan peluru berpandu Hellfire.
Ia menyerang sasaran yang dikenal pasti atau ditandakan oleh Heron 1 atau dron kecil, melengkapkan kuasa serangan F-15SG dan F-16 yang menggempur dari jarak jauh.
Sebanyak 12 F-15SG, 10 F-16, empat helikopter AH-64D Apache, tiga Heron 1 UAV dan satu Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 digunakan bagi XFS25.
Kesemua aset tersebut membentuk ekosistem pelbagai lapisan yang menyatukan daya ketahanan, ketepatan dan kuasa tembakan.
Menekankan evolusi tersebut, Leftenan Kolonel (LTC) Lim Swee Ann, daripada Pusat Peperangan dan Taktik Sistem Pesawat Tanpa Pemandu atau UAS (UWTC) RSAF, berkata:
“Sebenarnya, semua ini meningkatkan keupayaan SAF dalam mengesan dan menyerang sasaran dengan lebih berkesan… ia tentang bagaimana dron daripada pelbagai jenis digunakan secara bersepadu, agar setiap satu menyumbang kekuatan unik masing-masing untuk meningkatkan keberkesanan misi.
“Kali ini, kami juga telah menggabungkan operasi antara peralatan tentera yang dikendalikan manusia dengan tanpa manusia.
“Secara ringkas, rangkaian sensor ini digunakan untuk memantau medan pertempuran, sebelum mengarahkan pesawat pejuang atau helikopter penyerang melaksanakan serangan.”
Hal itu semakin penting dalam konteks konflik kontemporari di seluruh dunia, apabila penyepaduan dan kerjasama antara manusia dengan teknologi merupakan sesuatu yang perlu dan tidak dapat dielakkan, tambah LTC Lim.
“Dalam erti kata lain, ia membolehkan kami mendapat yang terbaik daripada kedua-dua dunia – di satu pihak, kebijaksanaan manusia, kuasa tembakan dan jangkauan, manakala di pihak lain, ketahanan, ketepatan serta keupayaan bertahan,” tambahnya.
Bagi juruterbang seperti Kapten Tan, ruang latihan luas di Idaho – 20 kali ganda lebih besar dari Singapura – memberi peluang unik untuk melaksanakan penyepaduan itu dalam keadaan sebenar.
“Latihan Forging Sabre memberi kami peluang unik untuk berlatih bersama peralatan tentera tanpa manusia.
“Dengan kerjasama ini, ia membolehkan kami, sebagai sebuah angkatan udara, memperoleh kesedaran yang lebih menyeluruh dan berterusan tentang apa yang berlaku di medan pertempuran,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg