Dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu, Singapura harus terus memperkukuh keupayaannya dan terus bekerjasama dengan negara yang berfikiran sehaluan seperti Amerika Syarikat, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, pada 12 September.
Bercakap kepada media semasa lawatannya ke Pangkalan Tentera Udara Mountain Home (MHAFB) di Idaho, Amerika Syarikat, di mana Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sedang mengadakan latihan Forging Sabre 2025, beliau berkata kerjasama sedemikian penting bagi memelihara keselamatan serantau.
Singapura bukan sahaja perlu terus bekerjasama rapat dengan rakan luar, malah membina kekuatan ketenteraan yang mantap melalui anggota yang terlatih, integrasi kukuh antara perkhidmatan SAF serta keupayaan menyesuaikan diri dengan pantas.
Encik Chan melawat Amerika buat kali pertama sebagai Menteri Pertahanan dari 9 hingga 13 September.
Beliau ditemani Panglima Tentera Udara, Mejar-Jeneral Kelvin Fan, serta para pegawai kanan Kementerian Pertahanan (Mindef).
Encik Chan berkata: “Kita kini berdepan dengan persekitaran yang semakin tidak menentu.
“Oleh itu, kita harus melakukan dua perkara dengan baik, iaitu terus bekerjasama dengan rakan sehaluan seperti Amerika untuk menggalak keselamatan serantau, serta membina keupayaan yang kukuh agar pihak lain mahu bekerjasama dengan kita.”
Beliau menjelaskan bahawa hal tersebut merangkumi kedua-dua aspek pemerolehan aset dan latihan ketenteraan, yang pada akhirnya bertujuan memperkukuh keupayaan kebolehoperasian.
“Kita mahu pastikan kita dapat meningkatkan kebolehoperasian antara SAF dengan angkatan bersenjata lain agar kita dapat beroperasi bersama,” tambahnya.
Encik Chan berkata demikian sedang Singapura giat memodenkan keupayaan pertahanannya, termasuk pemerolehan empat pesawat ronda maritim P-8 Poseidon yang dijangka diterima pada awal 2030-an, bagi menggantikan pesawat ronda maritim Fokker-50 yang semakin usang serta memperkukuh keupayaan pemantauan maritim.
Singapura juga dijangka menerima pesawat pejuang F-35 pertamanya menjelang akhir 2026, yang akan ditempatkan di Pangkalan Pengawal Kebangsaan Udara Ebbing di Arkansas bersama negara rakan lain.
Selain membeli pesawat baru atau menyertai latihan berbilang negara, keutamaan SAF adalah untuk memperkukuh kebolehoperasian dalam kalangan angkatan tentera dan dengan rakan luar, kata Encik Chan.
Bagi SAF, ini bermakna memastikan tentera darat, laut dan udara serta Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS) dapat beroperasi sebagai satu pasukan dengan lancar.
Latihan berskala besar di luar negara menyediakan ruang yang diperlukan untuk tujuan demikian, sambil merujuk kepada Latihan Forging Sabre di Amerika dan Latihan Wallaby di Australia sebagai contoh.
“Ini adalah antara beberapa tempat di dunia di mana kita boleh jalankan sasaran menyeluruh — daripada perancangan peringkat tinggi hinggalah ke langkah taktikal,” katanya.
Encik Chan turut menekankan kepentingan keupayaan menyesuaikan diri, menggambarkan “keupayaan adaptasi serentak” SAF sebagai satu kelebihan utama.
Tidak seperti dahulu, di mana pengajaran hanya dimasukkan dalam kitaran latihan berikutnya, kini anggota dan jurutera memperhalusi proses, algoritma dan sistem secara langsung semasa latihan dijalankan.
“Ketika proses sedia ada digunakan, jurutera dan operator sentiasa menambah baik, serta menambah keupayaan baru tanpa menunggu kitaran latihan seterusnya,” ujar beliau.
Ini “mengurangkan masalah menunggu untuk latihan berikutnya sebelum kita dapat mengejar perubahan.”
“Ia bukan soal betapa canggihnya sistem senjata anda atau betapa sempurnanya proses anda pada permulaan.
“Kerana dalam sebarang operasi, anda perlu menyesuaikan diri. Keupayaan untuk menyesuaikan diri sebenarnya adalah kelebihan yang melangkaui kemampuan senjata,” terang Encik Chan.
Di MHAFB, Encik Chan bertemu anggota SAF yang mengambil bahagian dalam XFS25 yang berlangsung dari 6 hingga 21 September.
XFS25 merupakan edisi latihan ke-10 dan ia melibatkan lebih 800 anggota dari seluruh SAF dan Masyarakat Teknologi Pertahanan.
Selain itu, Encik Chan menyaksikan bagaimana SAF menajamkan keupayaannya melalui eksperimen, latihan dan pengesahan keupayaan menerusi skop latihan yang lebih meluas serta senario lebih kompleks.
Encik Chan juga berpeluang berinteraksi dengan keluarga anggota yang bertugas di Detasmen Peace Carvin V.
Terdahulu semasa lawatannya ke Amerika, Encik Chan telah ke Washington D.C. untuk bertemu pemimpin kanan, termasuk anggota Kongres Amerika bagi mengukuhkan lagi hubungan pertahanan dua hala yang telah lama terjalin.
Beliau juga mengunjungi kemudahan pengeluaran Lockheed Martin di Fort Worth, Texas, di mana beliau diberi taklimat mengenai program F-35, keupayaannya dan proses pengeluarannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg