Sebuah pesawat elektrik yang direka, dibangunkan dan dibina di Singapura telah menamatkan fasa pertama ujian penerbangannya di Cochstedt, Jerman.

Prototaip pesawat elektrik berlepas dan mendarat secara vertikal (eVTOL) itu dibina oleh pasukan yang merangkumi lebih 20 pelajar dan alumni, serta Profesor James Wang dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Varian dengan rentang sayap lapan meter dan versi tiga meter itu merupakan demonstrasi teknologi penyelidikan dan tidak direka untuk membawa penumpang buat masa ini, menurut kenyataan universiti itu pada 25 Ogos.