SPH Logo mobile
Langgan|

Pesawat pejuang F-35 pertama Singapura dijangka tiba akhir 2026

Pesawat pejuang F-35 pertama Singapura dijangka tiba akhir 2026

Antara 20 yang ditempah, direka di kemudahan pengeluaran Angkatan Udara AS, Lockheed Martin
Sep 12, 2025 | 2:31 PM

Pesawat pejuang F-35 pertama Singapura dijangka tiba akhir 2026

LOCKHEED MARTIN, CHAN CHUN SING
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, diberi taklimat mengenai program F-35, keupayaannya serta proses pengeluarannya semasa lawatan pengenalan ke Amerika Syarikat baru-baru ini. - Foto LOCKHEED MARTIN

Pesawat pejuang F-35 pertama daripada 20 yang ditempah Singapura dijangka diserahkan menjelang akhir 2026.

Demikian menurut Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan pada 12 September.

Pesawat itu sedang direka di kemudahan pengeluaran Lockheed Martin di Fort Worth di Texas, Amerika Syarikat.

Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, yang kini dalam lawatan pengenalan ke Amerika dari 9 hingga 13 September, mengunjungi kemudahan itu pada 12 September.

Dalam ucapannya di situ, Encik Chan berkata, pembinaan dan penghantaran pesawat berkenaan bukan sekadar peristiwa penting, malah sebahagian daripada perjalanan panjang kerjasama Singapura dengan pemerintah Amerika, Angkatan Udara Amerika, Lockheed Martin, serta masyarakat di Pangkalan Pengawal Kebangsaan Udara Ebbing.

“Ini kerana setiap daripada kita perlu bersatu untuk membolehkan keupayaan ini direalisasikan,” katanya.

Pangkalan Pengawal Kebangsaan Udara Ebbing di Fort Smith, Arkansas, akan menjadi lokasi latihan pesawat pejuang F-35 RSAF pada masa hadapan.

Encik Chan turut dijadual melawat anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di Pangkalan Tentera Udara Mountain Home, Idaho, yang sedang menjalani Latihan Forging Sabre.

Buat kali pertama, SAF memperkenalkan unit dron dan digital baru dalam latihan luar negara tersebut.

Tiga jenis dron digunakan, iaitu Skydio X10, yang boleh beroperasi tanpa isyarat GPS; Neros Archer, dron gaya perlumbaan; serta dron Ascent Spirit, yang direka untuk terbang secara berkumpulan atau ‘autonomous swarming’, bagi meneroka kawasan luas tanpa kawalan manusia secara langsung.

Ketiga-tiganya melengkapi SAF dengan keupayaan fleksibel yang menambah kekuatan sistem tanpa pemandu berskala besar, di samping menekankan kepentingan penyepaduan manusia dan mesin.

Di Idaho, SAF berlatih dalam persekitaran lebih luas dan mencabar berbanding di Singapura. 

Latihan itu penting bagi memenuhi keperluan menghadapi konflik sejagat yang kian memuncak, termasuk antara Israel dengan Iran serta Ukraine dengan Russia. 

Keadaan tersebut mendorong SAF untuk terus memperkukuh keupayaannya sekiranya perlu bertindak di medan pertempuran.

Antara usaha yang dijalankan termasuk memperluas penggunaan dron serta menempatkan pasukan jurutera perisian yang mampu mengemas kini sistem pertempuran secara langsung.

Aspek baru dalam Forging Sabre kali ini jturut merangkumi penyertaan pasukan Tangkas Berinovasi Digital Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) (RAiD), yang buat julung-julung kali mengambil bahagian dalam latihan tersebut.

Latihan Forging Sabre berkembang pesat sejak edisi pertama pada 2005, yang ketika itu hanya melibatkan pesawat pejuang F-16, pasukan komando dan artileri.

Selain itu, kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan lebih ketara dalam latihan kali ini.

Melalui penyepaduannya dalam sistem maklumat arahan dan kawalan SAF, AI menyokong komander pasukan meneliti data dalam jumlah besar serta membuat keputusan dengan lebih cepat dan tepat bagi operasi rumit.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg