Penumpang pesawat Singapore Airlines (SIA) terkandas di dalam kapal terbang itu selama sekitar empat jam di landasan lapangan terbang Hong Kong pada 10 September selepas ia tidak dapat berlepas kerana mengalami masalah teknikal.
Penerbangan SQ893 dijadualkan berlepas pada 3.40 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong ke Singapura.
Penumpang akhirnya turun dari pesawat kira-kira 8 malam dan penerbangan itu dibatalkan.
Cik Tan, salah seorang penumpang SQ893, berkata kapten pesawat itu telah membuat pengumuman awal mengenai masalah yang dialami pesawat tersebut dan pasukan kejuruteraan mereka akan membuat pemeriksaan lanjut.
Beliau menambah bahawa para penumpang berada dalam keadaan tenang sepanjang waktu mereka berada dalam pesawat, namun kabin pesawat menjadi hangat dan kurang aliran udara apabila lampu dan pendingin hawa terpadam buat seketika.
Sementara itu, mereka diberikan jus dan air, tambahnya lagi.
Sekitar 7.30 malam, para penumpang dimaklumkan bahawa penerbangan tersebut dibatalkan dan penumpang mula turun sejurus selepas itu, jelas beliau.
Menurut Cik Tan, beliau kemudian diberikan tiket menaiki pesawat Cathay Pacific, yang dijadualkan berlepas ke Singapura pada 1.40 pagi 11 September.
“Saya hanya tidak sabar untuk pulang ke rumah,” ujarnya.
Apabila ditanya mengenai insiden tersebut, jurucakap SIA menjelaskan bahawa Penerbangan SQ893 mengalami masalah teknikal di darat.
Meskipun para jurutera mereka telah membuat pelbagai percubaan untuk memperbaikinya, masalah tersebut tetap berterusan.
Oleh itu, penerbangan tersebut dibatalkan dan kesemua penumpang dan kakitangan dibenarkan keluar dari pesawat secara normal, tambahnya.
“SIA akan membantu menempatkan semula para penumpang yang terjejas dengan penerbangan alternatif. SIA memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi. Keselamatan penumpang dan kakitangan adalah keutamaan kami,” kata beliau lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg