Golongan kurang upaya tidak seharusnya dipinggirkan kerana kelainan fizikal mereka, sebaliknya diterima dan disertakan dalam kehidupan seharian masyarakat.

Malah, pelajar Sijil Nitec Lanjutan dalam pengurusan acara daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, Cik Arfah Aniqah Mohamad Abu Alam, 19 tahun, berharap masyarakat dapat melihat individu kurang upaya sebagai sebahagian individu dalam kehidupan seharian dan bukannya golongan yang patut dibiarkan hidup terasing.

Pesanan itu diketengahkannya bersama empat rakan sekumpulan menerusi projek Minds Beyond Labels -Building Friendship and Inclusion through Everyday Interactions kepada peserta Seminar Pelajar Antarabangsa ITE-Majlis Latihan Vokasional (VTC) dari Singapura dan Hong Kong semasa hari pertama seminar berkenaan pada 23 Jun.

Projek tersebut menggalakkan persahabatan antara pelajar dengan belia berkeperluan khas menerusi bengkel, lawatan pembelajaran serta pelbagai kegiatan bersama, yang bertujuan memupuk pemahaman dan keterangkuman.

Ia antara 21 projek yang dipamerkan sempena seminar tiga hari itu, yang dirasmikan Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, di ITE Kolej Central, 2 Ang Mo Kio Drive.

Sejak diperkenalkan pada 2007, Singapura dan Hong Kong bergilir-gilir menjadi tuan rumah seminar tersebut, dengan edisi dwitahunan ini menandakan ia dianjurkan bagi tahun ke-10.

Bertemakan ‘Suara Belia dalam Dunia yang Kian Berubah’, seminar itu menghimpunkan lebih 600 pelajar daripada ITE, Majlis Latihan Kejuruan (VTC) Hong Kong dan Universiti Politeknik Shenzhen (SZPU), China, bagi membincangkan isu berkaitan kemampanan, kecerdasan buatan (AI), identiti serta keterangkuman.

Dalam ucapannya, Dr Janil berkata kemahiran teknikal semata-mata tidak lagi mencukupi dalam menghadapi dunia yang semakin dipengaruhi oleh tekanan perubahan iklim, gangguan teknologi dan ketidaktentuan geopolitik.

Bahkan, beliau menggalakkan pelajar supaya “melibatkan diri dengan sifat ingin tahu, mendengar dengan fikiran terbuka, dan bersedia melihat dunia daripada perspektif berbeza”, sambil memanfaatkan seminar itu.

“Dunia hari ini dibentuk pelbagai perubahan, termasuk tekanan perubahan iklim, gangguan teknologi dan ketidaktentuan geopolitik. Walaupun kemahiran teknikal terus menjadi penting, para belia juga perlu memiliki daya penyesuaian, pemikiran kritikal serta keupayaan bekerjasama merentasi budaya dan disiplin.

“Itulah sebabnya platform seperti ini penting. Ia memberi peluang kepada anda untuk bertukar idea dan melihat dunia daripada sudut pandangan berbeza, daripada pandangan anda sendiri.

“Cabaran yang kita hadapi hari ini semakin kompleks dan tidak boleh diselesaikan dalam satu bidang sahaja, malah kita berdepan dengan apa yang sering disebut sebagai ‘masalah rumit’ yang memerlukan pelbagai pendekatan dan perspektif,” kata Dr Janil.

Sepanjang seminar yang berlangsung hingga 25 Jun itu, pelajar dari Singapura dan Hong Kong diberi peluang bertukar idea, berkongsi pandangan serta menjalin persahabatan yang turut disertai dengan lawatan pembelajaran ke kawasan ikonik Singapura seperti Kampong Gelam, Chinatown, Jejak Warisan Kawasan Sivik dan Gardens by the Bay.

Pada 2026, pelajar dibahagikan kepada tiga tema utama, iaitu Innovative Cities: Sustainability in Urban Futures (Bandar Inovatif: Kelestarian dalam Masa Depan Bandar), Smart Shifts: AI and the Future World (Peralihan Pintar: AI dan Dunia Masa Depan) serta Shared Stories: Identity, Inclusion & Global Citizenship (Kisah Bersama: Identiti, Keterangkuman & Kewarganegaraan Sejagat).

Bagi Cik Arfah, peluang berinteraksi dan bertukar pandangan dengan peserta dari Hong Kong merupakan antara pengalaman paling dinantikan.

Ini lebih-lebih lagi dalam isu keterangkuman di negara luar Singapura bukan sekadar topik projek baginya, malah berkait rapat dengan pengalaman peribadinya.

Beliau mengimbas kembali pengalaman dari keluarganya sendiri, di mana ibu saudaranya yang mempunyai ketidakupayaan intelektual dan memerlukan penjagaan harian.

“Sejak saya dilahirkan, saya membesar bersama ibu saudara yang mempunyai ketidakupayaan intelektual. Beliau tidak boleh bercakap atau bergerak sendiri dan memerlukan bantuan untuk menjalani kehidupan seharian.

“Nenek saya merupakan penjaga utamanya. Disebabkan bimbangkan pandangan orang ramai, keluarga kami kadangkala berasa ragu-ragu untuk membawanya keluar ke tempat awam kerana tidak semua orang memahami keadaannya.

“Saya berharap dapat memahami bagaimana isu keterangkuman ditangani di Hong Kong dan sama ada pelajar berkeperluan khas di sana berdepan cabaran yang serupa untuk diterima dalam kalangan rakan sebaya,” ujarnya.