Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) yang ditubuhkan pada 1989 dan kini terletak di Pasir Ris, bakal menganjurkan Pesta Amal sebagai salah satu usaha mengumpul dana bagi menyokong pelbagai program dan operasinya.
Rumah perlindungan ini yang telah berkhidmat selama 35 tahun, menyediakan tempat tinggal kepada anak-anak dan remaja lelaki, termasuk penghuni termuda yang berusia lapan tahun.
Misi utama RKM adalah untuk memperkasakan kanak-kanak ini dengan menyediakan persekitaran yang selamat, sokongan pendidikan, latihan kemahiran hidup, terapi, kaunseling, serta pembangunan bakat dan hubungan positif.
Demi mencapai misi ini, RKM mengajak orang ramai turut serta dalam Pesta Amal yang akan diadakan pada 31 Ogos hingga 1 September 2024, dari 10 pagi hingga 6 petang.
Pesta Amal ini adalah satu daya usaha penting untuk mengumpul dana yang akan digunakan bagi pelbagai program dan kegiatan di RKM.
Ini bertujuan memberi harapan dan mengubah kehidupan kanak-kanak ini ke arah yang lebih baik.
Sepanjang acara dua hari ini, pelbagai kegiatan yang sesuai untuk seisi keluarga akan diadakan, termasuk persembahan, forum keibubapaan, ceramah agama, dan banyak lagi.
Antara acara yang dinantikan ialah forum agama bertajuk, ‘Anak Dulu vs Anak Sekarang’, yang akan dibawakan oleh Ustaz Muhamad Nuzhan Halim dan Ustazah Syariati Sulaiman pada 31 Ogos 2024, dari 8 malam hingga 9.30 malam.
Pesta Amal ini akan dirasmikan oleh tetamu kehormat, Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.
Pengunjung juga akan dihiburkan dengan kemunculan istimewa selebriti tempatan, Gurmit Singh, serta persembahan daripada penyanyi terkenal seperti Alyph (Sleeq), Bushmen, Ryan Sufiyan, The Subordinates, dan ramai lagi.
Selain itu, terdapat pelbagai reruai makanan, minuman, serta barangan seperti Mango Crispy Kunafa, Kream dan Frites, Croissant Tarik, dan banyak lagi jenama terkenal yang akan turut serta.
Presiden Persatuan Muhammadiyah merangkap Pengerusi RKM, Ustaz Muhammad Azri Azman, mengajak seluruh masyarakat hadir dan menyokong usaha RKM.
Beliau berkata: “RKM sedang menyambut 35 tahun perkhidmatan untuk anak-anak yang memerlukan perlindungan.
“Oleh itu, saya menyeru masyarakat agar terus menyokong usaha kami dalam memberi penjagaan terbaik untuk anak-anak ini.
“Saya juga mengundang anda semua datang beramai-ramai ke Pesta Amal RKM hujung minggu ini untuk menghulurkan sumbangan anda dan mengenali RKM dengan lebih dekat.”
CARA MENDERMA
1. Hantarkan cek atas nama MWH dan kirim ke alamat 101 Pasir Ris Road, Singapura 519154.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun bank DBS Autosave 017-010046-7.
3. PayNow ke UEN S58SS0020CMWH.
* Kunjungi laman web, https://mwh.muhammadiyah.org.sg untuk maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg