Sekitar 80 pelajar berbilang kaum dari lima sekolah rendah di Yishun telah berkumpul untuk menyertai pertandingan antara sekolah di Pesta Bahasa @ Chong Pang pada 6 Julai, dengan tujuan menggalak penghayatan lebih mendalam terhadap bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak.
Acara tersebut, yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Chong Pang dan disokong Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), turut menarik kedatangan lebih 350 penduduk.
Pesta tersebut juga merupakan yang kali pertama dianjurkan oleh jawatankuasa tersebut sejak pandemik Covid-19 pada 2020.
Sekolah yang menyertai pertandingan itu termasuk Sekolah Rendah Yishun, Sekolah Rendah Ahmad Ibrahim, Sekolah Chongfu, Sekolah Rendah Huamin dan Sekolah Rendah Xishan, dan turut menarik penyertaan murid bukan Melayu.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, yang juga penasihat pertubuhan akar umbi GRC Nee Soon, berkata acara tersebut adalah penting untuk menyemai cinta terhadap bahasa Melayu dan budaya dalam kalangan kanak-kanak.
“Melalui Pesta Bahasa Utara @ Chong Pang, kami berharap dapat membantu anak muda kita membangunkan penghargaan yang mendalam terhadap bahasa Melayu.
“Kami berbesar hati kerana peserta Melayu dan bukan Melayu juga tampil untuk mempamerkan kecekapan mereka dalam bahasa Melayu.
“Kami mempunyai masyarakat yang bersatu padu di Nee Soon, dan terdapat kesediaan untuk mempelajari dan menghargai bahasa, budaya dan tradisi kaum lain,” kata Encik Shanmugam.
Pesta Bahasa Utara pertama kali dianjurkan oleh MAEC Chong Pang pada 2014 untuk memupuk minat dan mengukuhkan kemahiran komunikasi dalam bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.
Pertandingan antara sekolah rendah bertujuan untuk memupuk dan memelihara minat mempelajari bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda khususnya murid sekolah rendah.
Melalui pertandingan tersebut, para peserta diberi peluang menonjolkan bakat mereka melalui nyanyian, bercerita, puisi dan banyak lagi melalui bahasa dan sastera Melayu.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang turut hadir semasa acara tersebut berkata, beliau berharap lebih ramai keluarga akan menerapkan pembelajaran bahasa Melayu di rumah.
“Inisiatif seperti ini memberikan wadah bagi anak-anak kita untuk mempelajari dan melihat bahawa bahasa Melayu itu aktif, hidup dan boleh digunakan di peringkat masyarakat dan di rumah mereka.
“Saya rasa gembira kerana kita juga memberi ruang untuk memupuk kesenian dan budaya kepada anak-anak kita dan mereka mendapat keseronokan dalam proses pembelajaran bahasa Melayu,” kata Dr Faishal, yang juga penasihat bagi pertubuhan akar umbi GRC Nee Soon.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg