Topik diikuti
Pergi ke BHkuPesta Penulis S’pura 2026 perluas program dengan genre jenayah, misteri
Program berbilang bahasa diperluas, acara Melayu kupas kaitan syair dengan kewartawanan masa kini
Pesta Penulis S’pura 2026 perluas program dengan genre jenayah, misteri
Buat julung-julung kalinya, karya jenayah dan misteri bakal diberi tumpuan khusus di Pesta Penulis Singapura (SWF) 2026.
Menerusi segmen Crime and Mystery Spotlight, pengunjung boleh mengikuti pelbagai program berkaitan penulisan dalam genre jenayah dan misteri.
Antaranya ialah program Old Crimes, Fresh Takes, yang menghimpunkan penulis Canada, Cik Silvia Moreno-Garcia, serta penulis tempatan, Cik Jean Tay; dan Cik Ovidia Yu, bagi membincangkan bagaimana bahan sejarah dan arkib boleh diolah menjadi karya fiksyen jenayah.
Berlangsung antara 13 dengan 22 November, edisi ke-29 pesta itu menghimpunkan lebih 300 penulis, penceramah dan pengendali menerusi lebih 200 program.
SWF 2026 mengangkat tema Hidden in Plain Sight, yang meneroka bagaimana naratif dalam sastera, media dan pengalaman hidup boleh didedahkan, disembunyikan atau ditafsir semula.
Pesta itu dianjurkan Arts House Group (AHG) dan ditugaskan Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
Dalam masa sama, SWF 2026 turut memperluaskan pengisian berbilang bahasa dengan lebih banyak acara dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil, selain menyediakan khidmat tafsiran langsung dan terjemahan digital bagi beberapa sesi terpilih.
Pengisian dalam ketiga-tiga bahasa itu dikendalikan kurator tamu, Encik Chan Cheow Thia, Encik Muhammad Ilyia Kamsani dan Encik Neelakandan Sivanantham, yang menghimpunkan suara serta karya dari Singapura dan rantau ini.
Antara pengisian bahasa Melayu ialah program Syair dan Kewartawanan dalam Alam Melayu menerusi SEA xChange iaitu segmen yang mengetengahkan Asia Tenggara menerusi perbincangan mengenai sastera, seni bina, cerita rakyat, penghijrahan dan kehidupan seharian.
Program itu dikendalikan pensyarah muda Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Dr Muhammad Najib Noorashid, bersama penulis veteran yang juga mantan wartawan dan Editor Rencana Berita Harian (BH), Encik Raman Daud.
Ia mengupas kaitan antara tradisi puisi Melayu klasik dengan bentuk kewartawanan dan pelaporan masa kini.
Edisi kali ini turut mempunyai makna tersendiri buat Pengarah Pesta, Encik Yong Shu Hoong, apabila ia menjadi tahun terakhir beliau menerajui SWF.
Menurut Encik Yong, tema Hidden in Plain Sight dipilih bagi menggalak pengunjung melihat sesuatu isu daripada pelbagai sudut dan tidak sekadar menerima apa yang dilihat pada zahirnya.
“Bagi edisi terakhir saya sebagai Pengarah Pesta, Hidden in Plain Sight dirasakan satu tema yang sesuai.
“Selain sastera, tema ini turut mencerminkan keadaan semasa apabila perkembangan AI dan penipuan menjadikan kita semakin sukar membezakan antara yang benar dengan yang palsu.
“Saya berharap pengunjung pesta dapat mengikuti perbincangan mengenai isu semasa dan perkara yang mencetuskan pemikiran dengan fikiran terbuka,” kata Encik Yong dalam satu kenyataan media.
Pengunjung juga boleh menggunakan kredit Pas Budaya SG bagi menyertai kegiatan pesta, manakala beberapa kegiatan ditawarkan secara percuma.
Tiket bagi program SWF 2026 boleh ditempah melalui laman https://www.singaporewritersfestival.com/