Topik diikuti
Pergi ke BHkuPesta Warisan S’pura 2026 ajak pengunjung teroka warisan maritim
Pesta Warisan S’pura 2026 ajak pengunjung teroka warisan maritim
Edisi ke-23 berlangsung dari 1 hingga 24 Mei, rangkum lebih 100 acara di serata S’pura
Pesta Warisan S’pura 2026 ajak pengunjung teroka warisan maritim
Pengunjung Pesta Warisan Singapura (SHF) 2026 berpeluang menjelajah sejarah Singapura menaiki sebuah bumboat atau tongkang menerusi pengalaman teater baharu yang diperkenalkan buat julung-julung kalinya di pesta tersebut.
Diberi nama A Bump Through Time, program itu membawa peserta menyusuri Sungai Singapura selama sejam bagi membolehkan mereka menyelami kehidupan pedagang pada era 1960-an.
Pengalaman tersebut merupakan antara sorotan baharu edisi ke-23 SHF, yang berlangsung dari 1 hingga 24 Mei dengan tema warisan maritim.
Menampilkan lebih 100 program di serata Singapura, pesta itu merangkumi persembahan budaya, laluan berpandu, bengkel dan pameran yang meneroka masyarakat serta tradisi yang dibentuk hasil hubungan lama Singapura dengan laut.
SHF 2026 dianjurkan oleh HeritageSG, anak syarikat di bawah naungan Lembaga Warisan Negara (NHB).
Semasa sesi previu untuk pihak media bagi SHF 2026 di ACM Green (ruang hijau di luar Muzium Tamadun Asia) pada 21 April, Pengarah Pesta, Encik Muhammad Qazim Abdul Karim, berkata pesta tersebut bertujuan menjadikan warisan lebih mudah diakses dengan mempersembahkan sejarah maritim Singapura menerusi pengalaman yang mendalam dan interaktif.
Menurut beliau, terdapat keperluan untuk melihat warisan bukan sekadar sebagai sesuatu yang datang dari masa lampau tetapi sebagai sesuatu yang sentiasa berkembang.
“Pada tahun ini (2026), kami melihat ada peluang untuk mendalami lagi peranan kita sebagai sebuah negara pulau.
“Pada masa yang sama, kami juga meneliti kaitan maritim serta mempersembahkannya dalam pelbagai cara, sama ada dari segi perdagangan mahupun budaya.
“Salah satu perkara yang kami sedari sepanjang perjalanan ini ialah Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) juga sedang menyambut ulang tahun ke-30.
“Oleh itu, saya rasakan ini merupakan satu lagi cara untuk mengangkat lagi kisah maritim kita dengan lebih tinggi,” ujar beliau.
Persembahan di tongkang itu membawa pengunjung membayangkan semula mercu tanda yang biasa dilihat sepanjang Sungai Singapura menerusi penceritaan dan persembahan teater.
Menyentuh tentang persembahan teater di tongkang itu, Encik Muhammad Qazim, berkata:
“Pengunjung dapat melihat keseluruhan bangunan itu secara penuh.
“Saya rasa itu menjadikannya lebih menakjubkan kerana mereka boleh membayangkan tempat di mana bot-bot dahulu berlabuh dan sebagainya.
“Oleh itu, kami mahu mempersembahkan landskap itu sebagai satu sudut pandang yang berbeza.”
Selain itu, pesta tersebut turut menawarkan program amali yang meneroka warisan maritim menerusi lensa berbeza.
Antara program yang diadakan di ruang hijau Muzium Tamadun Asia untuk SHF 2026 adalah program Haruman Nusantara: Bengkel Menghasilkan Minyak Wangi, oleh syarikat minyak wangi Aroma Nostalgia.
Dalam bengkel itu, peserta boleh menghasilkan wangian peribadi yang diilhamkan daripada tumbuhan dan rempah-ratus yang suatu ketika dahulu diperdagangkan merentasi lautan maritim di Asia Tenggara.
Syarikat itu akan memperkenalkan haruman terkini yang mendapat ilham dari laut sempena SHF 2026, yang dinamakan Ombak.
Pengasas bersama Aroma Nostalgia, Cik Norazika Nazri, memberitahu Berita Harian (BH), bahawa bengkel tersebut menggalakkan peserta berhubung dengan warisan melalui deria hidu.
“Melalui SHF, kami mahu orang ramai lebih mengenali rempah-ratus yang datang ke Singapura, serta memahami aroma ‘rumah’ dan bagaimana sepatutnya aroma rumah itu.
“Semasa bengkel, kami juga akan menggalakkan peserta merakamkan kenangan dan kisah mereka melalui rempah-ratus serta bahan-bahan yang akan disediakan kelak,” ujar beliau, yang juga bekas juruaudit.
Sementara itu, pengetahuan tradisional turut menjadi tumpuan dalam program, Anyaman Bubu: Menenun Perangkap Ikan & Kisah dari Laut, yang dikendalikan bersama oleh sukarelawan Kebon Dapor, satu taman herba bertema kampung itu, dan wadah pendidikan, Pasarfish.
Dalam bengkel tersebut, peserta berpeluang mempelajari cara menganyam perangkap ikan tradisional, atau dinamakan bubu, daripada buluh sambil menghayati amalan perikanan di rantau Asia Tenggara itu.
Pengasas Kebon Dapor, Raja Mohd Fairuz Mohd Yusoff, berkata usaha mempamerkan dan mengajarkan kemahiran tersebut dapat memastikan pengetahuan itu terus dikekalkan dengan generasi akan datang.
“Peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, semua peringkat umur dan latar pengalaman hidup yang berbeza, yang berkumpul untuk sama-sama berkongsi pengalaman mereka dalam kegiatan perikanan dan sebagainya.
“Kami juga mahu menggalakkan bentuk dialog semasa bengkel berlangsung dan peserta juga dapat belajar antara satu sama lain,” ujarnya.
Mereka yang berminat menyertai program SHF 2026 boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar menerusi laman web rasmi di pautan, https://www.heritage.sg/sgheritagefest.
Tiket bagi program terpilih akan mula dijual mula 12 tengah hari pada 22 April.
Antara program Pesta Warisan Singapura (SHF) 2026
- Jelajah Pelabuhan Ikan
Jelajah awal pagi ke pelabuhan perikanan terakhir Singapura di Jurong, sambil menyaksikan operasi pendaratan, pemprosesan dan pengedaran hasil laut serta memahami rantaian bekalan makanan laut negara.
- Persembahan Imersif: ‘Port of Dreams’
‘Persembahan promenade mendalam di Clifford Pier dan Hotel Fullerton Bay yang menghidupkan kisah sejarah pelabuhan Singapura melalui watak-watak dari masa lalu.
- Anyaman Bubu: Bengkel Anyaman Tradisional Perangkap Ikan
Bengkel amali menganyam perangkap ikan buluh (bubu) sambil mempelajari teknik perikanan tradisional serta kisah masyarakat pesisir di rantau ini.
- Bengkel Hasilkan Minyak Wangi Nusantara
Bengkel menghasilkan wangian peribadi menggunakan bahan dan aroma Asia Tenggara, sambil meneroka kaitan antara aroma, budaya dan memori.
- Teater interaktif di atas bumbot: ‘A Bump Through Time’
Pengalaman teater interaktif di atas tongkang yang membawa peserta menyusuri Sungai Singapura sambil menyelami kehidupan, perdagangan dan kisah masyarakat pada zaman 1960-an. Pengalaman ini tidak mesra kerusi roda.
- Kegiatan Kraf Bina Bot
Aktiviti kraf bersama ibu bapa dan anak untuk membina bot jong sambil mengenali peranan kapal tradisional dalam kehidupan masyarakat pesisir dan perlumbaan laut.
