Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Maritim pamer dron pemantau, robot pemanjat dalam demonstrasi media

Jan 27, 2025 | 2:08 PM
Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura membuat demonstrasi teknologi baru mereka kepada media di Pangkalan Daerah Brani PCG pada 22 Januari.
Polis Pengawal Pantai (PCG) Singapura membuat demonstrasi teknologi baru mereka kepada media di Pangkalan Daerah Brani PCG pada 22 Januari. - Foto ST

Empat penyelam, mengenakan sut selam dan menggunakan alat penapis udara, memasuki air secara senyap dengan tembak submesingan dan sebuah peranti berbentuk seperti alat vakum besar. 

Mereka dalam misi untuk menyelamatkan kapten dan anak kapal dalam sebuah kapal yang jauh.

Penyelam tersebut merupakan anggota Skuadron Tindakan Khas (STS) elit Polis Pengawal Pantai Singapura (PCG), yang telah dikerahkan apabila kapten kapal membuat panggilan kecemasan selepas dua lanun bersenjata menaiki kapal itu di perairan Singapura.

Walaupun anak kapal berjaya menyembunyikan diri, kapten telah ‘dijadikan tebusan’ di bilik enjin kapal tersebut.

Latihan itu adalah sebahagian daripada demonstrasi kepada pihak media di Pangkalan Daerah Brani PCG pada 22 Januari.

Misi itu turut disokong oleh anggota STS lain yang telah melancarkan Diodon, sebuah dron amfibia lasak, yang berfungsi sebagai ‘mata’ mereka.

Dron buatan Perancis dengan jarak lebih kurang 4 kilometer itu, boleh terapung dan menegakkan ‘dirinya’ semula untuk terbang – sekali pun ia mendarat secara terbalik di dalam air.

Menurut laman web syarikat tersebut, sistem dan teknologi Diodon telah digunakan oleh tentera darat dan laut di Denmark, Britain, Perancis, dan Belanda.

Ia merupakan satu kemajuan penting dalam penguatkuasaan undang-undang maritim dan operasi keselamatan, serta bertujuan meningkatkan keupayaan STS, lapor The Straits Times (ST).

Latihan simulasi serangan lanun itu dilakukan di Boarding and Search Trainer, sebuah platform latihan untuk pegawai PCG yang berbentuk seperti sebuah kapal besar.

Ketika penyelam memasuki air, Diodon terbang dengan jarak lebih dekat dari kapal itu untuk mendapatkan pandangan lebih jelas mengenai aktiviti ‘lanun-lanun’ tersebut.

Diodon yang menyediakan rakaman masa nyata lebih tajam, membuat komander taktikal STS lebih sedar tentang situasi atas kapal yang membantunya dalam membuat keputusan. Maklumat itu kemudian disampaikan pada penyelam.

Dengan bantuan Diodon, penyelam STS berjaya menaiki sisi badan kapal tanpa dikesan, sedia dengan submesingan untuk mengalahkan lanun dan menyelamatkan kapten.

Dron itu sedang dinilai oleh Pusat Kepakaran Robotik, Automasi dan Sistem Tanpa Pemandu Agensi Sains dan Teknologi Pasukan Home Team (HTX Raus CoE).

Selain Diodon, satu lagi peranti baru berbentuk seperti alat vakum, Spyder, digunakan dalam latihan simulasi itu.

Spyder adalah robot pemanjat badan kapal yang membantu dalam pemanjatan taktikal serta penyusupan rahsia atas kapal.

Superintenden Polis, Encik Lee Ting Wei, yang juga ketua operasi dan keselamatan PCG, berkata STS memanfaatkan teknologi dan inovasi untuk menjalankan operasi khas maritim di bawah keadaan yang mencabar.

“Peranti ini membantu STS memperoleh kelebihan taktikal untuk meningkatkan keselamatan dan kejayaan dalam operasi khas maritim yang kompleks dan berisiko,” katanya.

Spyder, dengan berat sekitar 35 kilogram, menggunakan runut magnet untuk ‘memanjat’ sisi badan kapal.

Dibangunkan oleh HTX Raus CoE, Spyder yang dikendalikan tanpa wayar mengambil masa hanya sekitar tiga minit untuk sampai ke tepi dek atas kapal, dengan menggunakan cangkuk yang dilengkapi dengan tangga.

Kamera pada Spyder meningkatkan keselamatan operasi, kerana ia membolehkan pengendali memantau penempatan cangkuk itu secara masa nyata, serta menyediakan pengawasan dengan jarak lebih dekat.

Difahamkan sebelum penggunaan Spyder, proses menaiki kapal secara terselindung memakan masa dan memerlukan pengendali untuk meletakkan cangkuk yang disambungkan pada tiang di sisi kapal secara manual – satu tugas yang rumit di laut bergelora.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg