Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 perkara utama dalam sidang Parlimen 5 Nov

Nov 5, 2025 | 10:04 PM
Parlimen bersidang pada 5 November.
Parlimen bersidang pada 5 November. - Foto ST

Sidang Parlimen pada 5 November menyaksikan Anggota Parlimen (AP) mengutarakan soalan berkenaan cadangan daripada panel semakan berkaitan kes Megan Khung yang dikeluarkan pada 23 Oktober.

Di samping itu, Akta Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) (OSRA), yang bertujuan untuk memberikan perlindungan dan penyelesaian yang lebih berkesan buat mangsa bahaya dalam talian, turut dibahaskan dan diluluskan di Parlimen.

Berikut lima perkara utama yang dikongsi semasa sidang Parlimen pada 5 November.

1. Desmond: Pusat penyelerasan perkhidmatan sosial bakal ditubuh, perkukuh perlindungan kanak-kanak

Sebuah pusat penyelarasan perkhidmatan sosial baru akan ditubuhkan bagi mengenal pasti kes penderaan kanak-kanak dengan lebih berkesan.

Di samping itu, semua kematian kanak-kanak akan disemak secara bebas pada masa hadapan, sebagai tindak balas susulan kematian kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, Megan Khung.

Encik Desmond Lee, Menteri bertanggungjawab bagi Integrasi Perkhidmatan Sosial, mengumumkan langkah ini serta beberapa langkah lain untuk mempertingkat perlindungan dalam sistem perlindungan kanak-kanak di Parlimen pada 5 November.

2. MSF mohon maaf, tidak berniat tuding jari, salahkan agensi

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah memohon maaf kepada Beyond Social Services (BSS) atas ‘salah faham’ dalam respons awalnya terhadap kes Megan Khung.

Menteri Bertanggungjawab bagi Penyepaduan Perkhidmatan Sosial, Encik Desmond Lee, berkata demikian semasa menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Encik Cai Yinzhou (GRC Bishan-Toa Payoh), di Parlimen pada 5 November.

3. Pei Ming: Kesilapan dua pegawai polis ‘satu pelanggaran serius’

Kesilapan dua pegawai polis yang tidak mematuhi prosedur operasi dalam kes Megan Khung merupakan satu “pelanggaran serius” yang mengakibatkan tragedi.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, berkata demikian di Parlimen pada 5 November, sambil menyatakan bahawa tuntutan terhadap pegawai polis terus meningkat.

Encik Goh, yang juga Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), berkata pegawai polis sering terpaksa membuat keputusan yang sukar setiap hari dan kesilapan boleh berlaku di bawah tekanan.

4. Mangsa dalam talian boleh lapor suruhanjaya baru jika platform tidak bertindak dalam tempoh 24 jam

Mangsa bahaya dalam talian boleh menghantar laporan kepada Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC) sekiranya platform dalam talian gagal bertindak terhadap tuntutan mangsa dalam tempoh 24 jam, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Beliau berkata platform dalam talian, seperti Facebook atau Instagram, kekal menjadi saluran utama bagi menyelesaikan sebarang tuntutan terhadap kandungan keterlaluan yang telah dikemukakan oleh pengguna.

5. Edwin: Mangsa bahaya dalam talian boleh tuntut ganti rugi dari Mahkamah

Mangsa bahaya dalam talian akan mendapat akses kepada penyelesaian yang berkesan dan adil dengan menuntut ganti rugi yang didapati adil dan saksama oleh Mahkamah, kata Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong.

Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) (OSRA) akan membolehkan mangsa menuntut ganti rugi seperti pampasan atau mengambil kira keuntungan pelaku yang meraih manfaat daripada bahaya tersebut.

Beliau berucap di Parlimen pada 5 November semasa perbahasan Rang Undang-Undang OSRA, bagi menggariskan rangka kerja tort berkanun rang undang-undang baru itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg