Pesuruhjaya penjara S’pura dilantik pemimpin kanan MHA mula 1 Apr
Pesuruhjaya penjara S’pura dilantik pemimpin kanan MHA mula 1 Apr
Cik Shie Yong Lee, wanita pertama yang menerajui Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), akan mengakhiri tugasnya sebagai Pesuruhjaya Penjara pada 1 April.
Setelah 30 tahun berbakti cemerlang dalam Home Team, Cik Shie akan melepaskan jawatan itu untuk menyandang peranan kepimpinan kanan di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Tempatnya bakal diganti oleh Encik Matthew Wee Yik Keong, kini Timbalan Pesuruhjaya (Operasi dan Pemulihan).
Menurut kenyataan MHA pada 2 Februari, di bawah kepimpinan Cik Shie, “SPS secara konsisten kekal antara penjara paling selamat dan terjamin di dunia.”
“Ia dicirikan oleh pengurusan banduan yang berkesan serta kadar pengulangan jenayah yang rendah.
“SPS juga diiktiraf secara meluas dalam kalangan masyarakat pemulihan antarabangsa sebagai peneraju sejagat dalam bidang tersebut,” tulisnya.
Kementerian itu turut menyatakan bahawa SPS telah memanfaatkan teknologi dalam transformasi sejak Cik Shie mengambil alih jawatan pesuruhjaya pada Julai 2020.
Ini termasuk pelaksanaan liputan pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) dan analitik video di institusi penjara, mewujudkan persekitaran lebih selamat, serta pengenalan tablet bagi membolehkan banduan berhubung dengan keluarga melalui e-surat.
Automasi tugasan rutin turut membantu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan operasi, sekali gus membebaskan masa pegawai penjara untuk menjalin interaksi yang lebih bermakna dengan banduan bagi menyokong keperluan pemulihan mereka.
Ini di samping memimpin SPS dalam memperluas dan memperkukuh kerjasama dengan masyarakat bagi sama-sama membangunkan inisiatif untuk pemulihan dan penyepaduan semula banduan.
“Usaha tersebut telah membantu menggerakkan lebih ramai rakan masyarakat dan sukarelawan untuk menyokong keluarga banduan, serta meningkatkan modal ekonomi, sosial dan kemasyarakatan banduan bagi mengurangkan pengulangan kesalahan dengan lebih berkesan, demi Singapura yang lebih selamat,” tambah kenyataan itu.
Pelantikan tersebut sekali gus melakar kerjaya cemerlang Cik Shie, yang menabur bakti dalam Home Team selama tiga dekad.
Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting di SPS, termasuk sebagai Timbalan Pesuruhjaya Penjara dan Ketua Kakitangan, serta Pengarah (Pertahanan Awam dan Pemulihan), Bahagian Pembangunan Dasar di Ibu Pejabat MHA.
Sebagai pesuruhjaya, Cik Shie juga memimpin SPS dalam menyelaras pelan dan tindakan secara berkesan bagi menangani cabaran luar jangka ketika Covid-19.
Antaranya, pelaksanaan strategi pembendungan untuk memastikan situasi Covid-19 kekal terkawal, sambil memastikan program bagi banduan dapat diteruskan demi menyokong penyepaduan semula mereka ke dalam masyarakat.
Jawatan beliau kini akan diterajui Encik Wee, seorang lagi pegawai berpengalaman selama 27 tahun.
Encik Wee telah memegang beberapa jawatan kepimpinan utama, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Yellow Ribbon Singapore (YRSG) dan Yellow Ribbon Industries Pte. Ltd., Komander Kluster A, serta Pengarah Pemerintahan Pemulihan Masyarakat.
Sebagai Timbalan Pesuruhjaya Penjara (Operasi dan Pemulihan), beliau menerajui semakan terhadap Rangkaian Tindakan Masyarakat bagi Pemulihan Bekas Pesalah (Care Network), dengan penekanan baru terhadap pembangunan keupayaan sektor pascapenjagaan.
Ini merangkumi pengenalan program pementoran rentas sektor, pemerkasaan latihan sukarelawan serta memupuk kerjasama baru bagi meluaskan sokongan kepada para penerima manfaat.

