Pesuruhjaya Tinggi S’pura bidas ‘dakwaan tidak berasas’ media Australia terhadap sistem politik negara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesuruhjaya Tinggi S’pura bidas ‘dakwaan tidak berasas’ media Australia terhadap sistem politik negara

Mar 17, 2026 | 5:44 PM

Pesuruhjaya Tinggi S’pura bidas ‘dakwaan tidak berasas’ media Australia terhadap sistem politik negara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Australia, Encik Anil Nayar.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Australia, Encik Anil Nayar. - Foto fail

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Australia, Encik Anil Nayar, pada 17 Mac berkata rancangan radio penyiar nasional Australia, ABC Radio National Rear Vision, baru-baru ini melontarkan “dakwaan tidak berasas” mengenai sistem politik Singapura.

Menyentuh episod “Singapura dan bayang-bayang panjang Lee Kuan Yew”, Encik Nayar membidas hos, Encik Antony Funnell, dan beberapa pengulas yang menyifatkan Singapura sebagai “negara satu parti”, “autokrasi”, dan “kini menghampiri sebuah demokrasi yang cacat”.

Mereka turut menyamakan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) - yang diperkenalkan demi menjamin perwakilan kaum minoriti di Parlimen – sebagai “taktik”, antara “halangan-halangan” lain yang kononnya dirancang untuk menyekat pihak pembangkang.

Episod tersebut disiarkan pada 7 Mac.

Program tersebut dihoskan oleh penyampai dan wartawan Rear Vision, Encik Funnell, dengan menampilkan Penolong Profesor politik dan pentadbiran awam di Universiti Metropolitan Hong Kong, Dr Stephan Ortmann, dan Profesor Madya hubungan antarabangsa di Universiti Flinders, Dr Michael Barr.

Turut serta ialah Felow Penyelidik Kanan di jabatan tadbir urus dan ekonomi Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Dr Gillian Koh, dan Felow Kanan bagi Asia Tenggara dan Asia Selatan di Majlis Hubungan Luar Negeri (CFR), Encik Joshua Kurlantzick.

Menggariskan kelemahan dalam dakwaan yang dibuat dalam episod tersebut, Encik Nayar menyatakan:

“Apabila mendengar rancangan anda, penonton tidak akan tahu bahawa Singapura, unik di kalangan negara Asia Tenggara, tidak pernah mengisytiharkan darurat, tidak pernah berada di bawah pemerintahan tentera, dan tidak pernah sekali pun gagal mengadakan pilihan raya secara berkala, sepanjang sejarahnya sebagai sebuah negara merdeka.

“Mereka juga tidak akan diberitahu bahawa hampir setiap kawasan pilihan raya telah ditandingi dalam pilihan raya umum tahun lalu (2025), yang mencatatkan jumlah calon paling ramai daripada pelbagai parti dan bebas dalam sejarah kami.”

Beliau menambah bahawa Parti Pekerja (WP) telah kembali sebagai satu-satunya parti pembangkang di Parlimen, dengan peningkatan jumlah perwakilan.

“Malah, prestasi WP lebih cemerlang di kawasan GRC yang ditandinginya – memenangi dua daripadanya – berbanding di Kawasan Undi Perseorangan (SMC).

“Ini jelas bukan bukti bahawa GRC adalah ‘halangan’ yang tidak dapat diatasi,” tegasnya.

Mengenai penyingkiran Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh sebagai Ketua Pembangkang, Encik Nayar berkata bahawa Encik Funnell gagal menyatakan fakta penting tentang perkara tersebut - iaitu hal itu berlaku susulan sabitan jenayahnya kerana berbohong kepada jawatankuasa parlimen.

Menurutnya, “Anggota Parlimen dalam demokrasi berparlimen berasaskan sistem Westminster yang lain, termasuk Australia, akan dipaksa meletak jawatan jika didapati telah mengelirukan parlimen.”

Encik Nayar turut berkata, seorang pengulas telah mempersoalkan keadilan kehakiman Singapura dalam kes-kes politik.

“Ini merupakan satu tuduhan yang serius, namun dibuat tanpa sebarang bukti.

“Mahkamah-mahkamah Singapura dihormati secara meluas di peringkat antarabangsa kerana integriti, profesionalisme, dan kebebasannya, serta rutin dipilih oleh pihak-pihak dari seluruh dunia – termasuk negara-negara Komanwel – untuk menyelesaikan pertikaian antarabangsa yang kompleks,” ujarnya.

Dakwaan bahawa mahkamah yang sama ini bersikap adil dalam hal-hal bukan politik tetapi berkompromi dalam kes-kes politik sukar untuk diterima, tegas beliau.

Encik Nayar menambah, beliau tidak terkejut bahawa para pengulas yang dipilih untuk rancangan tersebut bersikap kritis terhadap sistem Singapura.

Ini kerana, sebahagian daripada mereka telah menyuarakan pandangan yang sama selama berdekad, dan sering meramalkan kejatuhan politik Singapura.

“Dari masa ke masa, Singapura telah membuktikan ramalan-ramalan ini meleset, biarpun sistem politik dan pengundi kami terus berkembang.

“Apa yang mengejutkan ialah ABC, sebuah penyiar kebangsaan yang berwibawa, menyiarkan rancangan yang memaparkan laporan berat sebelah sedemikian, dan gagal memenuhi piawaian ketelitian kewartawanan yang diharapkan oleh pendengar anda,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg