Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Piawaian baru bantu pusat data S’pura jimat kos, tenaga, tingkat kecekapan

Jun 8, 2023 | 4:03 PM
PIAWAIAN BARU: Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary berucap di ATxEnterprise, sebahagian acara Asia Tech x Singapore yang diadakan di Singapore Expo pada Khamis. 
PIAWAIAN BARU: Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary berucap di ATxEnterprise, sebahagian acara Asia Tech x Singapore yang diadakan di Singapore Expo pada Khamis.  - Foto ST

Pusat data di negara tropika seperti Singapura menggunakan banyak tenaga kerana ia perlu memberi kuasa kepada sistem penyejukan yang membolehkan alat itu beroperasi dalam lingkungan suhu tertentu.

Tetapi sebuah piawaian yang baru diperkenalkan mempunyai matlamat untuk menjadikan pusat data di sini lebih cekap dari segi tenaga dan membantu dalam penjimatan wang dengan membolehkan ia beroperasi pada suhu lebih tinggi, kata Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Khamis.

Suhu operasi boleh dinaikkan secara bertahap ke 26 darjah celsius atau lebih, membolehkan pusat ini meraih manfaat daripada penjimatan tenaga penyejukan antara 2 dengan 5 peratus bagi setiap kenaikan 1 darjah celsius.

Piawaian itu menetapkan garis panduan bagi industri untuk menaikkan suhu operasi pusat data dengan cara selamat dalam iklim tropika yang panas dan tahap kelembapan lebih tinggi, kata IMDA.

Ia menyatakan bahawa piawaian itu dibangunkan setelah berunding dengan pakar industri.

Menurut IMDA, sistem penyejukan merangkumi sehingga 40 peratus penggunaan tenaga keseluruhan pusat data, dengan ramai pengendali memilih untuk menggunakan alat mereka pada suhu 22 darjah celsius dan ke bawah.

Pusat data bertanggungjawab bagi kira-kira 7 peratus daripada penggunaan elektrik keseluruhan Republik ini pada 2020, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Sehingga Januari 2022, terdapat lebih 70 pusat data operasi di Singapura.

Piawaian baru itu diumumkan Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Dr Janil Puthucheary di Singapore Expo pada Khamis. Ia merupakan sebahagian Pelan Induk Ketersambungan Digital yang baru dilancarkan, lapor akhbar The Straits Times.

Berucap di ATxEnterprise - sebahagian acara Asia Tech x Singapore - Dr Janil menukil contoh satu pengendali pusat data yang menggunakan piawaian baru itu telah jimat kos tenaga kira-kira $250,000 dalam setahun.

“Kami mengundang lebih ramai pengendali pusat data agar menggunakan piawaian ini untuk mencapai penjimatan kos lebih besar buat diri mereka dan untuk menyebarluaskan kemampanan pada tahap lebih luas merentas sektor pusat data,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg