Pihak atau syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan kebakaran hutan dan menyebabkan jerebu di Singapura wajib melantik penilai pakar daripada sektor swasta, dengan kos ditanggung pihak atau syarikat itu sendiri.

Arahan bagi kewajipan sedemikian dikeluarkan Ketua Pengarah Perlindungan Persekitaran dan penilai akan mengemukakan laporan terus kepada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.

Beliau berkata demikian menyusuli pindaan kepada Rang Undang-undang Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (Pindaan) (THPA) yang dibentangkannya di Parlimen pada 4 November dan telah diluluskan sebulat suara.

Usul pindaan itu dibahaskan selama lebih lima jam, dengan sekurang-kurangnya 20 Anggota Parlimen (AP) menyuarakan kebimbangan dan usulan alternatif terhadap pindaan tersebut.

Cik Fu berkata: “Ini memberikan sokongan perundangan kepada panel penilai yang telah kami umumkan.

“Ketua Pengarah akan menentukan penilai tersebut dan terma penilaian dalam arahan yang dikeluarkan kepada sesetengah pihak. Pihak yang menerima arahan itu dikehendaki melantik penilai berkenaan dan perlu menanggung kosnya sendiri.”

Beliau memberi penekanan bahawa pelantikan penilai tidak bermakna pihak atau syarikat berkenaan telah melakukan atau disyaki melakukan kesalahan kerana penilaian itu adalah untuk “menentukan fakta relevan”.

Menurut kenyataan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada 4 November, pakar bebas ini akan menyiasat kawasan konsesi di lapangan, menilai langkah pencegahan dan pemadaman kebakaran dan meneliti kaitan korporat.

Penilai dilantik ini kemudian akan mengumpulkan maklumat yang diperolehi, sebelum menyerahkannya kepada NEA yang akan memutuskan tindakan seterusnya, berdasarkan maklumat berkenaan.

“Syarikat atau pihak boleh dibebaskan daripada kesalahan atau dikenakan tindakan penguatkuasaan lanjut.

“Penilai ini tidak menentukan kesalahan, keputusan berkaitan penguatkuasaan kekal bersama pihak berkuasa relevan dan pihak mahkamah akan menentukan tanggungjawab,” jelas Cik Fu.

Selain itu, MSE menyatakan pindaan kepada THPA memberi laluan kepada NEA, dengan persetujuan pendakwa raya, untuk mengenakan tindakan sivil di mahkamah ke atas pihak atau syarikat yang melakukan kesalahan secara berterusan, di bawah rangka kerja penalti sivil baharu.

Pihak atau syarikat sedemikian boleh dikenakan penalti maksimum $10 juta.

Sehubungan itu, Cik Fu menambah, kesemua 10 syarikat berdaftar di Singapura yang diberi notis NEA di bawah THPA telah menyerahkan maklumat yang diperlukan dan bersetuju melantik penilai di bawah panel pakar.

Pemeriksaan Berita Harian hasil pemfailan beberapa syarikat terbabit yang tersenarai di bursa SGX pada 2 November mendapati empat syarikat – Wilmar International, Bumitama Agri, First Resources dan Golden Agri Resources – telah melantik firma penyiasatan dan firma nasihat guaman secara sukarela daripada panel pakar.

Sekilas pindaan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan

  1. Denda agregat maksimum dinaikkan daripada $2 juta kepada $20 juta jika syarikat didapati bersalah sebabkan jerebu
  2. Mahkamah diberi kuasa kenakan penalti tambahan, berdasarkan keuntungan atau kerugian ekoran melakukan kesalahan
  3. Skop risiko jerebu diperluas, sekali gus membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap perbuatan yang menyebabkan atau menyumbang kepada kebakaran dan boleh timbulkan risiko jerebu di sini
  4. Syarat pembelaan lebih ketat, dengan syarikat terlibat wajib buktikan ia telah mengambil semua langkah munasabah cegah dan padam kebakaran
  5. Dokumen kini boleh diserahkan secara elektronik atau menerusi wadah alternatif seperti media awam, berbanding penyerahan secara peribadi atau pos dan faks
  6. Ketua Pengarah Perlindungan Persekitaran diberi kuasa tangkapan kepada pegawai, dan perbicaraan boleh dilakukan tanpa kehadiran tertuduh atau dipanggil in-absentia